Ramadan tahun ini (2021/1442H) pasti akan menjadi pengalaman yang berbeza memandangkan adanya wabak Covid-19 sejak tahun lalu. Keadaan semasa telah menarik perhatian kita sebagai umat Islam untuk memikirkan bagaimana kita boleh berkembang pada bulan yang diberkati ini dengan pelbagai langkah yang harus diambil.
Walaupun begitu, marilah kita melihat kembali salah satu amalan sunnah mu’akkadah yang sangat digalakkan pada bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu setiap tahun iaitu Solat Terawih. Solat Terawih ialah antara ritual-ritual yang memeriahkan semangat Ramadan. Begitulah amalan yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya.
Komitmen keagamaan kita ialah untuk memastikan pemahaman yang tepat mengenai peraturan dan kualiti Solat Terawih. Berikut adalah 5 perkara yang perlu anda ketahui mengenai Solat Terawih untuk membantu memenuhi komitmen kami:
Memahami kelebihan Solat Terawih akan menjadikan kita lebih konsisten dan fokus dalam menunaikan Solat tersebut. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Tidak ada yang harus menjadi lebih penting bagi seorang Muslim daripada dosanya diampunkan kerana ia menyumbang kepada kejayaan dan kebahagiaan abadi di akhirat. Nabi Muhammad s.a.w. menegaskan bahawa melakukan dosa itu merupakan kekurangan manusia.
“Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah orang yang bertaubat”
(Hadith Riwayat Imam At-Tirmīdhī & Ibn Mājah)
Selain bertaubat, melakukan amalan-amalan kebajikan juga dapat menghapuskan dosa. Solat Terawih merupakan antara amalan yang memberi ganjaran yang besar kepada seorang Muslim apabila ianya dikerjakan. Ini berdasarkan ayat Al-Quran,
إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
"Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk.”
(Surah Hūd, 11:114)
Solat Terawih merupakan salah satu solat malam (qiyām al-layl) kerana ianya ditunaikan selepas Solat Ishā‘ sehingga sebelum masuknya Fajr Ṣādiq (atau waktu Subuh). Ianya dilakukan dengan 2-raka‘āt seperti nawāfil iaitu solat-solat Sunnah sebelum atau selepas solat-solat wajib.
Solat Terawih boleh ditunaikan secara berjemaah ataupun bersendirian. Namun, menunaikannya secara berjemaah lebih digalakkan (mustaḥab).
Niat yang dibaca untuk Solat Terawih:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَراوِيحِ رَكعَتَينِ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat Sunnah Terawih dua raka'at kerana Allah ta'ala
Niat untuk Solat Terawih secara berjemaah adalah seperti berikut: Imam harus membaca:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَراوِيحِ رَكعَتَينِ إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat Sunnah Terawih sebagai Imam dua raka'at kerana Allah ta'ala
Makmum (Pengikut Imam) harus membaca:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَراوِيحِ رَكعَتَينِ مَأمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat Sunnah Terawih sebagai Makmum dua raka'at kerana Allah ta'ala
Selain menegakkan Rukun-rukun dan Syarat-syarat Solat Terawih, adalah penting untuk kita menerapkan juga etika atau Adab-adab ketika menunaikannya.
Memiliki niyyah (niat) yang betul adalah penting ketika memulakan segala bentuk ibadah. Ia membuatkan seorang hamba menyedari akan Penciptanya dan membantunya memperoleh iḥsān dalam solatnya. Iḥsān ialah renungan yang dalam. Ia membuat seorang Muslim mengerjakan solatnya atau segala bentuk ibadah dengan penuh keikhlasan. Dalam sebuah ḥadīth yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi s.a.w. mentakrifkan iḥsān seperti berikut:
أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Beribadah kepada Allah seakan-akan kamu melihatNya, jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia yang melihatmu.”
(Hadith Riwayat Imam Muslim)
Untuk mendapatkan iḥsān, kita harus selalu mengingatkan diri kita untuk memiliki niat yang betul. Kita juga harus meningkatkan fokus kita dengan memahami bacaan-bacaan sewaktu Solat Terawih dan tetap termotivasi dengan ganjaran yang boleh diperolehi dari Solat Terawih.
Islam mementingkan kesucian fizikal dan rohani dalam setiap aspek kehidupan. Ianya mencerminkan keimanan kita sebagaimana yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,
الطَّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ
"Kesucian adalah separuh dari Iman”
(Hadith Riwayat Imam Muslim)
Oleh itu, seorang Muslim harus menjaga kebersihan solatnya secara menyeluruh selain wudhū’ yang merupakan antara Syarat-syarat Solat. Allah s.w.t. berfirman,
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
"Allah mengasihi orang-orang yang selalu berpaling kepadaNya dan orang-orang yang menjaga kebersihan dirinya.”
(Al-Baqarah, 2:222)
Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t berfirman,
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
“Dan pakaianmu (Wahai Muhammad), maka hendaklah engkau bersihkan.”
Dalam memperhatikan kebersihan fizikal kita, kita juga harus mengelakkan daripada bersikap terlalu berhati-hati atau was-was. Was-was akan membawa kepada tindakan yang tidak perlu dan implikasi-implikasi yang lain seperti ketidakupayaan untuk fokus ketika solat.
Kita juga harus berusaha menegakkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dengan menggunakan air dengan bijak. Nabi Muhammad s.a.w. dapat melaksanakan wudu dengan hanya menggunakan satu mudd (kira-kira setengah liter) air. Marilah kita berusaha untuk tidak membazir walau sedikitpun air.
Menutup ‘awrah (bahagian badan yang perlu ditutup) adalah keperluan agama. Namun, berpakaian cantik semasa solat amat digalakkan.
Sekiranya kita mengenakan pakaian yang cantik ketika bertemu dengan orang, marilah kita berpakaian cantik juga ketika solat untuk menunjukkan rasa syukur kita atas nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita. Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmīzī, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
إِنَّ اللهَ يُحِبُّ أَنْ يُرَى أَثَرُ نِعْمَتِهِ عَلَى عَبْدِهِ
"Sesungguhnya Allah suka melihat tanda kurniaNya pada hambaNya.”
Persoalan tentang bilangan raka‘āt Solat Terawih, sama ada ianya lapan atau dua puluh (tidak termasuk Solat Witr) telah menjadi perdebatan yang berpanjangan dalam masyarakat Islam. Kedua-duanya mempunyai asas yang sah. Maka itu, tiada pihak boleh menyalahkan pihak yang lain atau menghakiminya atas dosa yang dilakukan.
Ikhtilāf (perbezaan Ilmiah) tentang bilangan raka‘āt yang mana yang lebih baik dilaksanakan telah dibincangkan oleh cendekiawan-cendekiawan Muslim masa lalu. Mereka tidak hanya memahami sebab-sebab bagi pendapat-pendapat yang mereka pegang tetapi mereka juga menerapkan etika (ādāb) iaitu bersetuju untuk tidak setuju, menghormati dan menahan diri dari menimbulkan kemarahan orang lain.
Mereka yang mengatakan bahawa Solat Terawih mempunyai lapan raka‘āt mengikuti apa yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang dijelaskan oleh Isteri Baginda ‘Āishah r.a. dalam sebuah Hadith Riwayat Imam Al-Bukhārī:
مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً
“Rasulullah s.a.w. tidak pernah (melakukan Solat Sunnah) di bulan Ramadan dan bulan-bulan lainnya lebih dari sebelas rakaat. “
(Hadith Riwayat Imam Al-Bukhārī)
Hadith ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melaksanakan Solat Sunnah secara konsisten sebanyak sebelas raka'āt (termasuk tiga raka'at Solat Sunnah Witr) pada setiap malam Ramadan dan diluar Ramadan. Solat Terawih sebanyak dua puluh rakaat pula dimulakan pertama kali oleh Sahabat Baginda, Sayyidina 'Umar ibn al-Khaṭṭāb r.a. sewaktu zaman kekhalifahan beliau, seperti yang dilaporkan oleh sejumlah Tābi'īn (pengikut para Sahabat).
Sā'ib ibn Yazīd berkata: ‘Umar ibn al-Khaṭṭāb r.a. mengumpulkan orang-orang pada bulan Ramadan untuk dipimpin oleh Ubay ibn Ka‘b dan Tamīm al-Dārī r.a. dalam Solat Sunnah dua puluh satu raka'āt. Mereka membaca ratusan ayat Al-Quran dan bersurai sebelum waktu subuh. Bilangan raka'āt dalam riwayat-riwayat ḥadīth berbeza-beza; ada yang menyatakan dua puluh raka'āt dan ada juga yang menyatakan dua puluh satu dan dua puluh tiga raka'āt. Sebab utama ‘Umar r.a. meningkatkan bilangan rakaat - dan juga inisiatif-inisiatif lain dalam pengaturan solat - adalah untuk mengumpulkan umat Islam ketika itu supaya mereka mengoptimumkan waktu dan usaha mereka pada bulan Ramadan dengan ‘ibādah yang banyak.
Setelah mengetahui sebab-sebab kedua-dua pandangan tersebut, kita dapat menyimpulkan bahawa barangsiapa yang memilih untuk melaksanakan lapan raka‘āt, dia boleh melakukannya, dan barangsiapa yang ingin melaksanakan dua puluh raka‘āt, atau lebih, dia juga boleh melakukannya. Apa yang penting ialah kita harus berusaha sedaya upaya untuk melakukan sebanyak mungkin‘ibādah sambil meningkatkan kualiti dan kuantitinya pada bulan Ramadan. Penting juga untuk kita melengkapkan diri kita dengan akhlāq yang terbaik dalam hubungan kita dengan orang lain.
Solat Witr adalah antara solat-solat malam (qiyām al-layl). Sebagaimana Witr bermaksud bilangan ganjil, ia dilaksanakan dengan bilangan raka‘āt yang ganjil seperti satu, tiga, lima dan seterusnya.
Solat Witr amat digalakkan oleh Nabi s.a.w. Sebilangan Ḥanafī menganggapnya wajib tetapi sebahagian besar ulama menganggapnya Sunnah Muakkadah (sangat digalakkan). Dalam sebuah ḥadīth yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi s.a.w. bersabda,
مَنْ خَافَ أَنْ لَا يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ ، وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ ، فَإِنَّ صَلَاةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ ، وَذَلِكَ أَفْضَلُ
"Dia yang mengira bahawa dia mungkin tidak akan bangun di akhir malam, maka tunaikanlah Solat Witr pada bahagian awalnya; dan dia yang pasti akan bangun di bahagian akhirnya, maka tunaikanlah Witr pada akhir malam tersebut, kerana solat pada akhir malam dihadiri (oleh para malaikat), dan itu lebih baik."
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim)
Solat Witr biasanya merupakan solat yang terakhir untuk dilaksanakan antara solat-solat malam yang lain seperti selepas Solat Terawih. Nabi s.a.w. bersabda,
"Jadikan Solat Witr solat terakhirmu pada malam hari."
(Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhārī dan Muslim)
Dalam hal ini, telah timbul persoalan tentang bolehkah kita melaksanakan apa-apa jenis solat lagi setelah selesai Solat Witr. Ini merupakan persoalan yang wajar kerana dalam situasi seperti selesainya Solat Terawih dan Witr di masjid, akan ada banyak lagi masa untuk menunaikan lebih banyak solat di rumah sebelum Subuh.
Persoalan ini dapat diatasi dengan yang berikut:
كَانَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّيْ رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْوِتْرِ وَهُوَ جَالِسٌ
“Nabi s.a.w. Solat dua raka‘āt sesudah Witr dalam keadaan duduk ”
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)
3. Apa yang tidak dibenarkan adalah melaksanakan Solat Witr yang lain dalam satu malam. Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak ada dua kali Witr dalam satu malam." (Diriwayatkan oleh Imam a-Tirmīdhī dan al-Nasā'i)
Dengan itu, tidak salah untuk kita laksanakan solat-solat lain setelah Solat Witr pada malam yang sama. Malah, kita digalakkan untuk terus meningkatkan kerohanian kita dengan ‘ibādah yang banyak sepanjang malam-malam Ramadan.
Walaupun kita inginkan Solat Terawih di masjid bersama saudara-saudara Islam yang lain, ia tidak dapat dilaksanakan buat sementara waktu oleh kerana keperluan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan akibat wabak covid19 melebihi keinginan kita untuk solat berjemaah di masjid-masjid atau di tempat-tempat awam.
Solat Terawih masih boleh dilaksanakan secara berjemaah di rumah.
Sekiranya ada yang ragu-ragu dalam pembacaan Surah-surah Al-Quran yang lain terutama bagi mereka yang melakukan solat Terawih bersendirian atau secara berjemaah sebagai Imam, mereka boleh membaca Surah-surah yang sesuai dengan kemampuan mereka seperti Surah Al-Ikhlas, walaupun berulang kali. Seseorang juga boleh memegang Al-Quran yang ringkas dan kecil ketika solat, dengan peringatan untuk tidak melebihi tiga pergerakan luar solat (tiada kaitan dengan solat).
Ramadan kali ini juga memberi kita kesempatan untuk mempelajari Surah-surah yang lain dan meningkatkan penghayatan kita dalam bacaan ayat-ayat Al-Quran.
Secara umum, setiap solat yang dilaksanakan di rumah akan membawa kepada rahmat Allah, terutama bagi siapa yang melaksanakannya dan membawa kebaikan kepada seluruh keluarga. Nabi s.a.w. bersabda,
إِذَا قَضَى أَحَدُكُم الصَّلاَةَ فِي مَسْجِدِهِ، فَلْيَجْعَلْ لِبَيْتِهِ نَصِيْبًا مِنْ صَلاَتِهِ، فَإِنَّ اللهَ جَاعِلُ فِي بَيْتِهِ مِنْ صَلاَتِهِ خَيْرًا
“Sekiranya salah seorang dari kamu menunaikan solatnya di masjid, maka dia harus membuat sebahagian dari solatnya di rumahnya, kerana Allah s.w.t. telah menjadikan solatnya di rumahnya sebagai alat kebaikan. "
(Diriwayatkan oleh Muslim)
Tidak ada keperluan untuk kita solat berjemaah bersama dalam talian untuk mewujudkan semangat yang sama seperti di masjid. Para cendekiawan dan ulama agama tidak menyetujui solat berjemaah secara maya.
Selain faedah rohani yang boleh kita perolehi dari solat di rumah, marilah kita mengambil peluang ini untuk mengeratkan hubungan kita dengan ahli keluarga sebagai keuntungan sosial.
Ini akan membantu kita untuk tetap termotivasi walaupun berasa sedih dan berduka kerana tidak dapat ke masjid.
Ada diantara kita yang mungkin tidak yakin untuk melaksanakan solat atau menjadi Imam Solat Terawih di rumah. Namun, yakinlah bahawa anda boleh melaksanakan solat ini bersama ahli keluarga atau rakan serumah anda di rumah anda. Sekiranya anda tidak pasti, anda boleh menghubungi Asatizah tempatan kita dan mengemukakan sebarang pertanyaan. Anda juga boleh melihat panduan Terawih ini yang menampilkan Ustaz Irwan Hadi dan selebriti tempatan Marina Yusoff dan keluarganya.
Marilah kita berusaha untuk mendapatkan yang terbaik dari bulan Ramadan yang akan datang dalam batasan yang ada dan tetap berfikiran positif terhadap Pencipta kita atas cabaran-cabaran yang kita hadapi.