Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
12 September 2025 / 19 Rabiulawal 1447H
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita tanamkan sifat takwa kepada Allah s.w.t., dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. membalas usaha ikhlas kita dalam mentaati-Nya, dengan mengurniakan keindahan syurgaNya kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara yang dikasihi sekalian,
Dalam bulan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., kita menzahirkan kecintaan kepada Baginda dengan pelbagai cara. Ada yang lebih selesa menzahirkan cinta secara bersendiri, ada pula yang cenderung menyertai sambutan maulid yang meriah.
Perbezaan cara ini mencerminkan kepelbagaian pandangan yang wujud di kalangan para ulama. Bahkan, para sahabat Nabi s.a.w. juga berbeza pendapat dalam beberapa perkara. Namun, mereka tidak membiarkan perbezaan itu menjadi penghalang kepada perpaduan, keharmonian dan kasih sayang sesama mereka.
Saudaraku,
Tahukah anda, apakah prinsip yang dipegang oleh para sahabat Rasulullah s.a.w., serta para ulama silam agar perbezaan tidak menjadi punca perpecahan? Jawapannya terdapat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143. Firman Allah s.w.t.:
Yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu sebagai umat yang bersederhana dan adil.”
Allah s.w.t. menggambarkan umat Islam sebagai ummatan wasata – umat yang sederhana dan adil, umat yang tidak terjerumus ke dalam tindakan ekstrem, umat yang menzahirkan kebijaksanaan dan keadilan dalam semua urusan: ibadah, sosial, ekonomi dan hubungan sesama manusia.
Prinsip wasatiyyah ini amat jelas dihayati oleh para ulama silam ketika mereka berdepan dengan perbezaan tafsiran.
Saudara yang saya muliakan,
Terdapat tiga cara utama untuk kita mengamalkan prinsip wasatiyyah dalam kehidupan seharian:
Pertama: Memahami dan menghormati perbezaan pandangan.
Selagi ada ruang ijtihad di kalangan ulama, kepelbagaian pandangan pasti wujud. Ia memperkenalkan perspektif berbeza dan memperdalam kefahaman agama kita. Semua ini hanya boleh berlaku selagi mana perbahasan tersebut berada dalam ruang lingkup yang dibolehkan syarak.
Contohnya, berkenaan sambutan Maulidurrasul. Sesetengah umat Islam tidak cenderung mengamalkannya, manakala sebahagian yang lain mengharuskannya kerana terdapat gabungan amalan yang baik seperti berselawat dengan disertakan adab-adabnya, membaca al-Quran dan meneliti sirah Nabi s.a.w. Kedua-dua pendirian ini sahih belaka dan perlu dihormati.
Kedua: Membina pandangan berdasarkan ilmu dan bimbingan ulama muktabar.
Sebelum memutuskan untuk menyertai atau menjauhkan diri daripada sesuatu amalan, kita perlu membuat kajian, meneliti dan kemudian merujuk kepada para asatizah atau ulama yang dikenali kewibawaan keilmuannya. Pendirian yang kita ambil mestilah bersandarkan hujah yang berdiri atas dasar dan tradisi keilmuan Islam yang sebenarnya, bukan sangkaan, fanatik terhadap pegangan sendiri, emosi, mahu pun pengaruh sosial.
Ketiga: Menghormati hak orang lain untuk berpegang pada pandangan ilmiah yang muktabar.
Setiap individu berhak berpegang pada pendapat yang terhasil daripada keyakinan kajian ilmiah, bimbingan ulama, dan niat yang ikhlas. Sama ada akhirnya kita memilih untuk menyertai sesuatu perkara atau sebaliknya, setiap pilihan wajar dihormati demi menjaga perpaduan umat.
Sidang jemaah yang dikasihi,
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Anfal, ayat 46:
Yang bermaksud: “Dan taatilah Allah dan Rasul-Nya, serta janganlah kamu berbantahan sehingga kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan; dan bersabarlah; sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”
Sebagai pencinta Rasulullah s.a.w., kita tidak sepatutnya membiarkan perbezaan cara menzahirkan kasih sayang kepada Baginda s.a.w. menjadi punca perpecahan. Sebaliknya, kita perlu menjiwai prinsip wasatiyyah, supaya perpaduan, kasih sayang dan saling hormat-menghormati terus terpelihara.
Daripada terperangkap dalam perbahasan yang tiada penghujungnya, marilah kita menoleh ke dalam diri kita sendiri:
Apakah yang telah kita amalkan untuk terus memuliakan Rasulullah s.a.w.? Selain memperbanyakkan selawat ke atas Baginda, sejauh manakah kita telah meneladani dan menghidupkan sunnah Baginda dalam tutur kata, akhlak, dan perbuatan kita? Apakah usaha kita untuk memupuk rasa cinta kepada Baginda dalam generasi muda, agar ia terus bersemi dan menjadi cahaya yang membimbing kita sepanjang hidup?
Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita hikmah, kerendahan hati dan kekuatan untuk kekal bersatu seperti sebuah binaan yang kukuh, yang saling menguatkan dan menyokong antara satu sama lain. Dan semoga Allah s.w.t. memekarkan lagi cinta kita terhadap Rasulullah s.a.w., serta menjadikan kita umat yang menghidupkan ajarannya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.