collections khutbah Uswatun Hasanah – Sikap Memberi
Uswatun Hasanah – Sikap Memberi

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

8 Oktober 2021 / 1 Rabiulawal 1443H

Uswatun Hasanah – Sikap Memberi

Muslimin dan Muslimah yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Semoga dengan itu, kita dapat membentuk diri agar menjadi seorang yang bersifat mulia.

Saudara dan Saudari,

Sekiranya kita memerhatikan hadis-hadis Nabi Muhammad (s.a.w.), kita akan dapati bahawa Baginda (s.a.w.) adalah seorang pemimpin yang sangat suka memberi. Baginda (s.a.w.) tidak pernah menolak hajat dan permintaan sesiapa sahaja yang dalam keadaan memerlukan.

Bahkan, jika kita merujuk sirah Rasulullah (s.a.w.), kita juga akan dapati bahawa Baginda (s.a.w.) akan tetap memberi sama ada Baginda (s.a.w.) mempunyai harta yang banyak mahupun sedikit. Kurangnya harta tidak menjadi penghalang bagi Baginda (s.a.w.) untuk menghulurkan bantuan. Itulah matlamat utama kita di muka bumi ini, menjadi insan yang berbudi dan berbakti. Ini bertepatan dengan firman Allah (s.w.t):

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau wahai Muhammad berada di atas akhlak mulia yang agung.” (Al-Qalam ayat 4).

Pada hadis yang lain, Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Berilah hadiah sesama kamu nescaya kamu saling kasih mengasihi.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Saudara dan Saudari,

Hadis ini menyuntik fitrah dan lumrah kita. Sebagai manusia, kita akan rasa gembira apabila menerima hadiah atau pemberian dari orang lain. Apatah lagi jika pemberian itu amat berguna dan berharga buat kita. Pemberian seperti itu akan mencetuskan rasa penghargaan kepada orang yang memberi. Seterusnya ia akan membuka ruang perasaan yang senang dan gembira lantas mewujudkan kemesraan di antara penerima dan pemberi.

Itulah yang digalakkan dalam Islam. Kasih sayang dan kemesraan yang terjalin sesama insan akan menambahkan lagi kebaikan dalam hidup bermasyarakat.

Namun, dalam melaksanakan seruan agama untuk banyak memberi, hendaklah kita sentiasa beringat untuk melakukan kebaikan secara adil. Dalam memberi atau menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, hendaklah kita tidak terlepas pandang terhadap tuntutan yang utama. Pihak yang paling utama yang perlu diberi perhatian adalah ahli keluarga kita sendiri. Mereka lah yang paling utama mendapat keihsanan dari kita. Janganlah sampai terlalu bersemangat untuk memberi dan menghulurkan bantuan di luar, sehinggakan ahli keluarga sendiri berada dalam keadaan yang memerlukan. Bak kata pepatah, anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.

Saudara dan Saudari,

Menghulurkan sumbangan bukan sekadar memberikan wang atau harta kepada mereka yang memerlukan, tetapi apa sahaja yang bermanfaat dan dapat mendekatkan diri kepada Allah, juga dianggap sebagai sedekah.

Sebagai contoh, menyumbang kepada kebaikan masyarakat, sama ada menjadi sukarelawan di masjid-masjid atau badan-badan kemasyarakatan, memberi kata-kata perangsang dan semangat kepada mereka yang sedang mengalami kesulitan atau membahagiakan seseorang di dalam kesedihan dan kesusahan, juga boleh dimaksudkan sebagai sedekah.

Saudara dan Saudari,

Inilah contoh sunnah Nabi Muhammad (s.a.w.) untuk kita ikuti dan laksanakan dalam kehidupan. Sifat memberi dan meringankan beban orang lain perlu dilahirkan bila-bila masa sahaja, terutama dalam suasana yang tidak menentu sekarang ini. Berilah menurut kemampuan diri masing-masing.

Saudara dan Saudari,

Dalam suasana hidup hari ini yang banyak berurusan secara maya, penting juga untuk kita pastikan agar pemberian kita mengikuti cara betul dan selamat. Ini dapat menghindar dari terperangkap dalam penipuan secara online. Sehingga hari ini, masih terdapat mangsa-mangsa penipuan online yang terpedaya dan terjerat. Maka marilah sama-sama kita terus menghulurkan bantuan kepada badan-badan yang rasmi serta diyakini.

Selari dengan ini, pada kesempatan ini ingin saya berkongsi dengan para jemaah semua akan usaha yang sedang dijalankan badan rasmi seperti persatuan Palang Merah Singapura (Singapore Red Cross, ataupun SRC) lagi mengutip derma untuk menyokong krisis kemanusiaan yang berlaku di Afghanistan. Marilah kita hulurkanlah sumbangan ikhlas untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Maklumat lanjut untuk menderma boleh didapati di lelaman web SRC. Semoga sumbangan ikhlas kita dapat memberikan sinar harapan dan kekuatan agar mereka yang terjejas dapat meneruskan kehidupan.

Semoga Allah memberikan kita semua keikhlasan hati dalam memberi, memupuk semangat dalam berbakti, berusaha demi kebaikan negara, masyarakat, keluarga dan diri. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.