collections khutbah Uruslah Masa Anda Dengan Sebaiknya
Uruslah Masa Anda Dengan Sebaiknya

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

12 Februari 2021 / 30 Jamadilakhir 1442H

Uruslah Masa Anda Dengan Sebaiknya

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah memberkati kehidupan kita di dunia ini.

Saudaraku,

Kehidupan manusia adalah masa seluruhnya. Setiap detik di dalam kehidupan ini akan membawa kita lebih dekat kepada ajal yang ditentukan oleh Allah (s.w.t.). Apabila umur kita dipenuhi dengan kebaikan, maka kebaikanlah yang bakal menyapa kita di alam sana. Namun jika ia disia-siakan maka ditakuti kesengsaraanlah yang bakal menanti.

Marilah kita menghayati firman Allah (s.w.t.) di dalam surah Al-Asr yang menceritakan tentang masa yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Ayat ini mengingatkan akan perihal seorang hamba yang sentiasa berada dalam kerugian. Meskipun itu, seorang Mukmin tidak akan duduk diam serta membiarkan nasibnya begitu sahaja. Bahkan dia akan berusaha mencari peluang dan masa untuk terus melakukan amal kebaikan. Agar kehidupannya sentiasa dipenuhi dengan perkara yang membawa manfaat, bukan hanya pada dirinya sendiri, bahkan bagi insan sekelilingnya.

Saudaraku,

Masa yang dipinjamkan oleh Allah (s.w.t.) kepada kita di muka bumi ini amatlah terhad sekali. Dengan itu, dalam usaha kita bertungkus lumus memastikan keperluan keduniaan kita terjaga, serta segala cita-cita kita tercapai, janganlah sampai persiapan hari akhirat kelak terabai.

Pastikan bahawa setiap kali kita diberikan kelapangan untuk mendekatkan diri kepada Allah (s.w.t.), kita lakukan dengan sebaik-baiknya. Hindarilah daripada perkara-perkara yang sia-siakan serta tidak mendekatkan diri kepada Tuhan.

Sebagai contoh, apabila kita berpeluang untuk mendirikan solat, jadikanlah solat itu sebagai solat yang paling khusyuk dan paling elok gerak gerinya. Hadirkan diri kita sepenuhnya untuk Tuhan. Seakan-akan ia merupakan solat yang terakhir. Dan tatkala kita dalam kesibukan, ambillah masa sejenak untuk mengingati Allah. Menadah tangan untuk berdoa atau sekadar memikirkan akan kebesaran dan keagungan-Nya.

Hal ini bukan sahaja bakal menjadi saham akhirat yang memberatkan neraca timbangan pahala kita, bahkan ia juga akan menghadirkan rasa tenang dan tenteram dalam jiwa seorang Mukmin. Allah (s.w.t.) berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram.”

Saudaraku,

Cepatnya masa berlalu. Sedar ataupun tidak, kita akan menyambut kedatangan bulan Rejab malam ini. Ia menandakan bahawa tidak lama lagi, kita akan bertemu dengan bulan Ramadan yang mulia. Dengan itu, marilah sama-sama kita terus mempertingkatkan amal ibadah kita kepada Tuhan. Uruslah masa kita sebaiknya. Manfaatkanlah setiap masa yang Allah (s.w.t.) kurniakan untuk kita dengan melakukan amal kebaikan dan kebajikan.

Semoga Allah (s.w.t.) memberkati masa kita, serta menjadikan setiap detik dan saat sebagai modal bagi kita untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.