collections khutbah Ujian Tanda Cinta Tuhan
Ujian Tanda Cinta Tuhan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

26 November 2021 / 21 Rabiulakhir 1443H

Ujian Tanda Cinta Tuhan

 

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, 

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) sentiasa mencurahkan kepada kita rahmat-Nya. 

 

Saudara dan saudari, 

Setiap di antara kita pasti diuji. Tidak kira yang tua mahupun yang muda, yang kuat mahupun yang lemah. Sama ada yang beriman ataupun tidak. Inilah takdir yang Allah (s.w.t.) telah tentukan buat setiap hamba-Nya. Untuk dinilai siapa yang terus kekal beriman serta berharap rahmat Tuhan, ataupun berpaling jauh daripada-Nya dan berputus asa akan rahmat-Nya. 

Bagi mereka yang terus beriman, keyakinannya terhadap Tuhan pasti dipertingkatkan, urusan kehidupannya dipermudahkan, serta hatinya dikurniakan ketenangan dan keamanan. Ini kerana setiap ujian yang kita hadapi, ia merupakan bukti cinta Tuhan buat hamba-Nya. 

Perhatikan hadis Nabi (s.a.w.) yang berbunyi: “Sesungguhnya pahala besar untuk ujian yang besar. Dan sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian untuk mereka. Barangsiapa yang reda, maka dia yang akan meraih keredaan Allah. Barangsiapa yang tidak suka, maka Allah murka padanya.”(Hadis riwayat Imam Ibn Majah).

 

Saudara dan saudari,

Apabila kita diuji dengan cabaran dan dugaan, sering kali kita menganggap ia perkara yang menyusahkan ataupun yang buruk. Sebagai contoh, seseorang yang kehilangan pekerjaan, ditimpa sakit, dan sebagainya.

Hakikatnya ujian tidak hanya berbentuk sedemikian rupa sahaja. Mari perhatikan firman Allah (s.w.t.) di dalam surah al-Anbiya ayat 35 yang berbunyi: 

 

Yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cabaran. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.”

Ternyata kadangkala kebaikan dan kurniaan Tuhan juga boleh merupakan satu ujian buat kita sebagai seorang hamba. Sebagai contoh, seorang yang dikurniakan Tuhan rezeki yang berlimpah ruah. Namun, dia tidak menggunakannya pada jalan kebaikan seperti membantu mereka yang memerlukan, bersedekah dan lain-lain lagi. Bahkan, dia bersikap sombong dan tamak, hanya memikirkan diri sendiri sahaja. Begitu juga seseorang yang Allah (s.w.t.) telah kurniakan segala hajat dan permintaannya, namun tidak pernah bersyukur kepada Tuhan serta meninggalkan segala kewajipan agama. Ada juga yang mempunyai pengaruh untuk menarik ramai orang kepada kebaikan, namun dia memilih jalan untuk menyesatkan dan mengajak kepada kemungkaran. 

Maka di sini letaknya kepentingan bagi seorang Mukmin agar sentiasa mengingati Tuhan dalam apa jua keadaan. Seorang yang beriman bukan hanya mencari serta mengharapkan rahmat Tuhan apabila dia berada dalam keadaan susah sahaja. Bahkan dia terus beriman serta beribadah kepada Tuhan pada setiap masa dan keadaan. 

Lihat sahaja contoh kekasih kita Nabi Muhammad (s.a.w.). Meskipun Baginda (s.a.w.) merupakan seorang Nabi dan telah dijaminkan tempat di syurga Tuhan. Namun Baginda (s.a.w.) tetap diuji dengan pelbagi cabaran. Pada masa yang sama, Baginda (s.a.w.) tidak pernah berhenti beribadah, mengharapkan kasih sayang Tuhan.

Perhatikan satu peristiwa di mana Rasulullah (s.a.w.) sentiasa menambahkan amal ibadahnya sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan. (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Inilah seharusnya menjadi pendirian kita sebagai seorang beriman.

 

Saudara dan saudari,

Setiap di antara kita sedang menghadapi cabaran dan ujian masing-masing. Keadaan kita tidak pernah sama. Tetapi apa yang seharusnya menjadi persamaan adalah ketakwaan dan keimanan kita kepada Tuhan. Yakinlah bahawa Tuhan tidak akan pernah biarkan kita bersendirian dalam kesusahan, dan Dia tidak akan menguji lebih daripada kemampuan kita. Ingatlah bahawa ujian adalah tanda cinta Tuhan. 

Sebagai penutup, izinkan saya untuk mengongsikan satu doa yang kita boleh mengamalkan bersama. Ia merupakan doa yang diajarkan Nabi Muhammad (s.a.w.) yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud. Doanya berbunyi: 

 

Yang bermaksud: “Ya Allah! Aku mengharapkan rahmat-Mu, jangan Engkau biarkan diriku sekejap mata (tanpa pertolongan atau rahmat dari-Mu). Perbaikilah seluruh urusanku, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.”

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita rahmat-Nya, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi segala ujian-Nya. Mudah-mudahan kita juga dikurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.