collections khutbah Tujuan dan keutamaan dalam kehidupan
Tujuan dan keutamaan dalam kehidupan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

19 Disember 2025 / 28 Jamadilakhir 1447H

Tujuan dan Keutamaan Dalam Kehidupan

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Takwa dalam melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Takwa dalam menyusun niat, membuat pilihan dan mengatur arah kehidupan. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita hati yang tenang dan langkah yang teguh atas landasan iman. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Izinkan saya memulakan khutbah pada hari ini dengan beberapa persoalan untuk direnungkan: Apakah keutamaan kita dalam kehidupan ini? Kita hidup bertungkus lumus mencari rezeki dan pendidikan, menjaga keluarga, mengejar kebahagiaan, sebelum kita berangkat kembali kepada Tuhan. Adakah itu sahaja makna dan erti dalam kehidupan seorang insan?

Hakikatnya, ramai di kalangan kita menjalani kehidupan yang sangat sibuk. Namun, kemungkinan kita kurang jelas dengan arah dan tujuan hidup kita. Kita bergegas dari satu tanggungjawab ke satu tanggungjawab, namun jarang sekali kita berhenti untuk menilai: ke manakah arah semua usaha ini?

Sedangkan Allah s.w.t. telah mengingatkan kita bahawa manusia tidak diciptakan sia-sia. Firman-Nya dalam Surah Al-Mukminun, ayat 115:

Yang bermaksud: “Apakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Ayat ini menjelaskan bahawa setiap pekerjaan dan perbuatan seorang Muslim seharusnya tidak kosong daripada makna. Ia menegaskan bahawa setiap kehidupan insan mempunyai tujuan dan setiap tindakan membawa pertanggungjawaban.

Pada zaman ini, amat mudah untuk kita terperangkap dalam kesibukan. Kita bertindak mengikut tuntutan, menyelesaikan tugas demi tugas seakan-akan tidak ada kesudahannya. Tanpa kita sedari, hidup kita lebih banyak ditentukan oleh desakan (demands), bukan oleh tujuan (purpose).

Apabila desakan menjadi penentu, keutamaan menjadi kabur. Yang lebih penting menjadi tertunda. Yang lebih bermakna menjadi sampingan. Sehingga kita terlupa apakah yang patut menjadi tujuan dan keutamaan dalam kehidupan.

Saudara yang dikasihi Allah,

Seorang Muslim yang peka adalah insan yang jelas dengan tujuan kehidupannya. Dia tidak membiarkan tekanan, kesibukan dan kebiasaan harian menentukan arah hidupnya. Sebaliknya, dengan mengenal pasti keutamaan serta tujuan dalam setiap pekerjaan, dia menyelaraskan keseluruhan hidupnya agar sentiasa bergerak ke arah keredaan Allah s.w.t.

Di sini, mimbar membentangkan 3 perkara berkaitan tujuan (purpose) dan keutamaan (priorities) dalam kehidupan:

Pertama: Hidup dengan tujuan memperkasa mutu insan

Mukmin yang mempunyai tujuan hidup yang jelas akan lebih berhati-hati dalam setiap perilakunya. Dia bersifat amanah dalam bekerja, bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan berakhlak mulia dalam hidup bermasyarakat. Dia sedar bahawa setiap peranan dan tindakannya adalah amanah daripada Allah s.w.t.

Tujuan yang jelas akan membentuk disiplin dalaman diri seseorang. Ia menjadi kompas yang membimbing tindakan, sama ada ketika senang mahupun apabila dihimpit tekanan.

Tujuan yang jelas memberi kesan yang baik terhadap mutu keperibadian, kerja serta ibadah kita. Tugas dan pekerjaan tidak lagi dilakukan secara sambil lewa dan ibadah tidak dilakukan secara tergesa-gesa. Setiap tindakan diukur bukan hanya dengan hasil duniawi, tetapi dengan sejauh mana nilainya di sisi Allah s.w.t.

Kedua: Mengimbangi dunia dan akhirat, bukan memisahkan keduanya

Sebagai Muslim, kita harus berwaspada daripada membiarkan dunia menguasai hati kita. Namun, agama juga tidak menyuruh kita mengabaikan urusan dunia sama sekali. Sebaliknya, dunia dilihat sebagai wasilah, bukan matlamat yang terakhir.

Ingatlah, apabila dunia dijadikan tujuan, ia mungkin akan mengecewakan. Tetapi apabila ia dijadikan wasilah, dunia menjadi ladang pahala dan sumber keberkatan.

Sebagai contoh: Kita menuntut ilmu untuk membina masa depan. Kita bekerja untuk menyara keluarga. Kita merancang kehidupan agar lebih selesa. Semuanya ini boleh ditujukan sebagai sebahagian daripada ibadah. Semuanya ini kita lakukan dengan tujuan agar ia membawa kita lebih dekat kepada Allah, bukan menjauhkan kita daripada-Nya.

Hayati ikrar yang kita sebutkan setiap hari dalam solat kita:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.”

Dengan ikrar dan kesedaran ini, ia seharusnya mendorong kita untuk mensyukuri nikmat seperti harta, kesihatan dan kemampuan yang kita miliki. Uruskanlah ia dengan penuh hemah, amanah dan bijaksana.

Ketiga: Mengenal pasti keutamaan dan mensyukuri nikmat

Setiap keutamaan yang dikenal pasti dalam kehidupan, seperti pengamalan agama, kesejahteraan keluarga, kemurahan rezeki dan keselesaan hidup, tidak berdiri dengan sendiri. Ia bergantung pada faktor-faktor lain, seperti suasana kehidupan yang stabil, hubungan insan yang saling menghormati dan persekitaran yang membolehkan kita hidup, bekerja dan beribadah dengan tenang.

Kita mungkin menganggap kesejahteraan ini sebagai sesuatu yang biasa, kerana ia telah kita nikmati sejak sekian lama. Namun, usahlah kita memandang enteng keutamaan menjaga kesejahteraan ini. Kerana, apabila ia terganggu atau hilang daripada kita, barulah kita sedar betapa besar anugerah yang kita nikmati selama ini.

Oleh itu, mensyukuri nikmat bukanlah sekadar dengan ucapan pada lidah semata-mata, tetapi dengan sikap dan tindakan kita setiap masa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Penghujung tahun ini adalah ruang untuk kita menyusun semula keutamaan dan meluruskan haluan hidup kita. Jangan biarkan tekanan dan kesibukan terus menentukan hala tuju kita. Jadikan iman sebagai petunjuk dan keredaan Allah sebagai tujuan.

Semoga setiap peranan yang kita pikul akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t. menerima segala usaha kita dan membimbing langkah kita ke arah kebaikan. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua