collections khutbah Teguran Berhikmah: Membuka Pintu Kebaikan
Teguran Berhikmah: Membuka Pintu Kebaikan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

5 Ogos 2022 / 7 Muharram 1444H


Teguran Berhikmah: Membuka Pintu Kebaikan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) menjadikan kita umat yang bersungguh-sungguh mengejar yang terbaik di dunia dan di akhirat. Amin.
 

Saudara dan saudari,

Pada saat dunia yang sedang menghadapi pelbagai cabaran seperti ancaman penyakit yang berjangkit dan isu-isu sosial di kalangan masyarakat, ada baiknya kita memperbaiki keadaan, dengan bermula dengan diri sendiri dan keluarga kita.
 

Nabi Muhammad (s.a.w.) bersabda ketika tiba di kota Madinah:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصَلُّوا وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

Yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang-orang sedang tidur, nescaya kamu akan masuk Syurga dengan selamat.” (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi)
 

Saudara dan saudari,

Dalam hadis yang dibacakan sebentar tadi, Baginda (s.a.w.) menekankan ciri penting dalam perhubungan manusia. Menyebarkan salam dapat memperkukuhkan lagi hubungan baik sesama manusia dengan menyebarkan keamanan terutama sekali di antara ahli keluarga. Ahli keluarga kitalah yang patut didahulukan untuk mendapatkan kemesraan dan salam. Menyebarkan salam bukanlah hanya dengan ucapan. Akan tetapi, ia merangkumi kelakuan kita juga.
 

Bagi mendapatkan kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga, setiap ahli keluarga hendaklah berusaha untuk melakukan perkara yang makruf dan menjauhi yang mungkar. Suasana awal tahun baru hijrah ini sering mengingatkan kita untuk bermuhasabah diri. Oleh yang demikian, amat sesuai dalam suasana ini, kita tanamkan azam untuk sentiasa berusaha menyebarkan keamanan dan kesejahteraan dengan melakukan kebaikan dan menjauhi perkara-perkara mungkar.
 

Saudara saudari,

Dalam usaha membina keluarga yang sejahtera dalam dunia yang pesat berubah ini memang amat mencabar. Kita akan sentiasa berhadapan dengan ujian dan cabaran. Sama ada dalam bentuk kesukaran hidup, mahu pun desakan hawa nafsu kita sendiri atau anggota keluarga atau teman kita untuk melakukan perkara mungkar.  
 

Dalam menanganinya, ada yang menentang dengan keras. Walaupun mungkin, ia melibatkan perlakuan dosa besar seperti hubungan seks di luar pernikahan atau di luar batasan yang dibenarkan syarak, kita diajar oleh agama untuk membenci perbuatan dosa besar itu.

Tetapi kita sama sekali tidak diajar untuk membenci atau mengutuk pelaku-pelakunya hingga menjauhkan mereka dari agama. Apatah lagi jika mereka adalah anggota keluarga kita sendiri. Lebih teruk lagi, jika kita memutuskan hubungan kekeluargaan sehingga mereka tidak merasa ketenangan berada dalam kalangan keluarga sendiri.
 

Saudara dan saudari,

Jika kita menelusuri sirah Nabi Muhammad (s.a.w.), kita akan mendapati bahawa Baginda sentiasa mengajar untuk melihat kepada kebaikan seseorang itu walaupun dia telah melakukan kemaksiatan ataupun dosa yang besar.
 

Rasulullah (s.a.w.) pernah mendengar para sahabatnya mencaci salah seorang dari kalangan mereka yang minum arak, padahal ia telah diharamkan. Baginda lantas bersabda: “Janganlah kalian mencacinya, kerana dia masih mencintai Allah dan Rasul-Nya” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

  
Subhanallah! Alangkah indahnya keperibadian Baginda dalam menegur. Ini sejajar dengan firman Allah (s.w.t.):

Yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakal lah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)
 

Di sinilah pentingnya peranan setiap ahli keluarga untuk mewujudkan suasana yang selamat dan sejahtera. Khususnya bagi ayah dan ibu yang menjadi ketua dalam keluarga. Contoh baik yang diberikan mampu memberi semangat kepada seluruh ahli keluarga untuk sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.
 

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita akhlak yang mulia sesama manusia terutama sekali dengan ahli keluarga sendiri. Amin ya Rabbal ‘Alamin!

 

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.