Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
1 November 2024 / 29 Rabiul Akhir 1446H
Tadabbur: Menghayati Pesanan-Pesanan Al-Quran
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar taqwa. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara yang dirahmati Allah,
Biasa mendengar “tilawah” al-Quran? Ya? Bagaimana pula dengan “tahfiz” Al-Quran? Tilawah adalah pembacaan manakala tahfiz ialah penghafazan Al-Quran. Kedua-duanya sering dikaitkan dengan cara kita berinteraksi dengan Al-Quran. Sehubungan dengan itu, mimbar pada hari ini akan berkongsi dan memperkenalkan konsep “tadabbur” al-Quran.
Saudaraku, tadabbur melepasi batasan hubungan kita dengan Al-Quran menerusi tilawah atau pembacaan. Tadabbur mengajak kita menggabungkan pembacaan dengan pemahaman dan penghayatan. Inilah mesej utama firman Allah di dalam Surah Sad, ayat 29 yang berbunyi:
Yang bermaksud: “(Ia adalah) sebuah kitab yang Kami turunkan kepada kamu, penuh keberkatan, agar kamu semua merenungkan ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang mempunyai akal fikiran mengambil peringatan.”
Saudara yang dirahmati Allah,
Usaha merenungkan dan memahami maksud di sebalik ayat-ayat kitab suci Al-Quran dikenali sebagai proses tadabbur. Kita digalakkan untuk bertadabbur dengan meluangkan masa menghayati pengajaran yang terdapat di dalam firman Allah. Ini boleh dilakukan dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dalam keadaan tenang, sambil meneliti isi kandungannya, mengambil kira sebab penurunan sepotong ayat. Seperti contoh: Mengapa pada sesuatu ayat, Allah menggunakan perkataan “Muslim”, dan di tempat lain, ia diganti dengan “mukmin”?
Saudara yang dirahmati Allah,
Bertadabbur adalah usaha kita merungkai rahsia dan keistimewaan Al-Quran. Sebagai contoh, dengan menghayati ayat-ayat berkaitan hukum-hakam, kita sebenarnya sedang berusaha memahami hikmah di sebalik perintah Allah, dan seterusnya kita dapat mempraktikkan perintah tersebut dengan tenang, setelah sedikit sebanyak kita bertadabbur ayat-ayat yang dibaca.
Sebuah lagi contoh: Bagaimanakah kita dapat meningkatkan pemahaman kita terhadap Surah Al-Fatihah yang dibacakan pada setiap solat, sepanjang hidup kita? Fikirkan juga, apakah mesej utama yang nak disampaikan Allah menerusi Surah Yasin atau Surah Al-Kahfi, yang telah menjadi surah kelaziman dibaca pada setiap Khamis dan Jumaat?
Tuan-tuan, saudara, para belia sekalian, inilah antara makna kita menjunjung Al-Quran dan menjadikannya petunjuk hidup. Sekiranya ada satu buah tangan yang akan dibawa keluar dari masjid pada hari ini ialah konsep tadabbur, yakni berusaha memahami bukan sekadar terjemahan ayat Al-Quran tetapi juga mesej utama wahyu tersebut.
Dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai orang-orang yang terpilih di kalangan manusia.” Maka ditanya kepada Baginda s.a.w.: “Siapakah mereka golongan terpilih itu?” Baginda s.a.w. menjawab: “Ahli Al-Quran adalah ahli Allah (kekasih Allah) dan golongan istimewa-Nya.’” (Riwayat Ibn Majah)
Para ulama menjelaskan bahawa ahli Al-Quran adalah mereka yang memahami dan mengamalkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran, walaupun mereka tidak menghafalnya.
Saudara yang dirahmati Allah,
Untuk melakukan tadabbur Al-Quran dengan berkesan, terdapat beberapa langkah yang boleh kita ambil:
Yang pertama: Merenungkan maksud terjemahan dan mengenal pasti pengajaran utama. Kita akur, ramai di kalangan kita yang tidak berkesempatan mempelajari atau memahami bahasa Arab. Namun, itu tidak bermakna kita tidak akan dapat memahami Al-Quran kerana terdapat terjemahan yang sedia ada.
Ketika kita membaca terjemahan sebuah ayat, hadirkanlah soalan-soalan di dalam minda seperti: Apakah pesanan yang terkandung di dalam ayat ini? Apakah perubahan yang perlu dilakukan dalam tingkah laku dan peribadi kita sebagai pembaca? Proses ini akan membantu kita mengenal pasti, dan melaksanakan pengajaran yang terkandung di dalam sesuatu ayat dengan lebih baik.
Yang kedua: Menyokong program-program tadabbur Al-Quran yang diadakan oleh masjid-masjid dan badan-badan agama. Kempen Tadabbur Al-Quran yang dijalankan oleh Jawatankuasa QuranSG telah pun bermula semenjak bulan Ogos lepas.
Alhamdulillah, beberapa masjid di Singapura telah menganjurkan beberapa siri syarahan mengenai Siri Tadabbur Al-Quran, dengan Surah Al-Fatihah sebagai contoh yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan.
Hadirin sekalian,
Tadabbur Al-Quran bukan sahaja dapat membantu meningkatkan keimanan, tetapi juga dapat membawa kita kepada tindakan yang lebih baik dalam kehidupan seharian. Dengan merenungkan dan memahami ayat-ayat suci Al-Quran, kita dapat mengambil keputusan yang lebih bijak dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak diredhai Allah s.w.t. Tadabbur sebenarnya membantu kita memahami mesej yang Allah s.w.t. cuba sampaikan kepada kita semua, sebagai umat nabi Muhammad s.a.w.
Usaha untuk membaca dengan tadabbur perlu diperkasakan, bermula dengan diri kita sendiri, kemudian dengan menanamkan budaya ini di dalam kalangan ahli keluarga, dan juga sahabat handai. Bersama kita mengejar keberkatan hidup dengan mendampingi Al-Quran. Dan semoga Allah menjadikan Al-Quran pembela kita di hari akhirat nanti.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, jadikanlah Al-Quran sebagai sumber rahmat dan cahaya buat kehidupan kami. Ya Alim Ya Hakim, bukakanlah pintu hati kami supaya kami dapat memperbaharui hubungan kami bersama kitab suci-Mu. Ya Rauf Ya Wadud, lahirkanlah di dalam hati kami, perasaan cinta kepada Al-Quran. Jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang tergolong daripada Ahlul Quran dan golongan istimewa yang Engkau maksudkan. Amin ya Rabbal Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.