collections khutbah Tadabbur Alam Menerusi Ayat-Ayat ‘Kauniyyah’
Tadabbur Alam Menerusi Ayat-Ayat ‘Kauniyyah’

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

13 November 2026 / 3 Jamadilakhir 1448H

Tadabbur Alam Menerusi Ayat-Ayat ‘Kauniyyah’

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita pancaindera yang sentiasa mengingati-Nya dan mensyukuri segala nikmat ciptaan-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

Jemaah yang dirahmati Allah,

Pernahkah kita memandang langit yang terbentang luas, mendengar kicauan burung, atau menikmati hembusan angin, lalu bertasbih menyaksikan kebesaran Allah?

Ada antara kita yang mengingati Allah s.w.t. ketika solat, membaca Al-Quran atau mendengar ceramah agama. Namun, tidakkah ciptaan Allah yang terhampar di sekeliling kita juga mengundang kita untuk merenungi kebesaran-Nya?

Renungkan firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 190:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, serta pertukaran malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal.”

Inilah yang dikenali sebagai ayat-ayat kauniyyah, iaitu tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t. yang dapat kita renungi melalui ciptaan-Nya. Setiap makhluk menjadi bukti kebesaran al-Khaliq, Tuhan yang Maha Pencipta.

 

Saudaraku,

Marilah kita hayati tiga pengajaran tentang hubungan insan dengan alam berpandukan neraca iman.

 

Pertama: Melihat alam sebagai makhluk yang bertasbih

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 44:

Yang bermaksud: “Dan tiada sesuatu pun (makhluk) melainkan bertasbih memuji-Nya, tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka.”

Bayangkan, pepohon yang menghijau, sungai yang mengalir, bahkan makhluk sekecil-kecilnya, semuanya bertasbih kepada Allah dengan cara yang tidak kita fahami.

Apabila menyedari hakikat ini, mampukah kita sewenang-wenangnya merosakkan alam? Ternyata, alam bukan sekadar sumber untuk dipergunakan, tetapi ciptaan Allah yang turut mengagungkan-Nya. Memeliharanya bererti menghormati ciptaan Allah, manakala merosakkannya pula seolah-olah menghentikan deras tasbih para makhluk terhadap Allah s.w.t.

 

Kedua: Bermuhasabah terhadap kerosakan alam

Allah s.w.t. mengingatkan dalam Surah Ar-Rum, ayat 41:

Yang bermaksud: “Telah timbul kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia.”

Wacana tentang alam sekitar pada hari ini kerap menekankan kesan buruk kapitalisme dan kemajuan teknologi yang pesat terhadap kelestarian alam. Dengan menghayati ayat ini, kita sedari bahawa krisis alam sekitar juga merupakan satu bentuk krisis rohani.

Apabila insan kurang menghayati dan menghargai tanda kebesaran Allah menerusi alam semesta ini, dia lebih berpotensi menyebabkan kerosakan alam sekitar, dan lebih buruk lagi melalui cara yang tidak terkawal.

Oleh itu, pemeliharaan alam bermula dengan muhasabah diri. Adakah gaya hidup kita mencerminkan kesyukuran, atau menyumbang kepada pembaziran dan kerosakan?

 

Ketiga: Menunaikan amanah sebagai khalifah di bumi

Benar, dalam Surah Al-Baqarah, ayat 30, Allah s.w.t. menggelarkan manusia sebagai khalifah di bumi. Namun, kita harus fahami bahawa peranan ini bukan sekadar suatu kemuliaan, tetapi juga amanah yang perlu ditunaikan.

Oleh itu, setiap daripada kita sebagai khalifah, di medan kita yang tersendiri, mulakanlah dengan perubahan sederhana. Elakkan pembaziran, kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, dan berjimatlah ketika menggunakan sumber, termasuk air ketika berwuduk, sesuai dengan panduan Rasulullah s.a.w.

Usahlah memandang remeh tentang perkara ini. Setiap tindakan mencerminkan kesedaran kita terhadap amanah yang Allah berikan, demi kesejahteraan generasi seterusnya.

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Alam yang kita diami ini bukan sekadar tempat kita menjalani kehidupan, tetapi hamparan tanda kebesaran Allah. Semakin kita menghayati dan memikirkan ciptaan-Nya, semakin bertambah keimanan dan rasa tanggungjawab kita terhadapnya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita hati yang peka terhadap tanda-tanda kebesaran-Nya, serta membimbing kita menjadi hamba yang mensyukuri nikmat dan memelihara amanah ciptaan-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

Khutbah Kedua