collections khutbah Syaaban: Beramal Pada Masa yang Sering Dilalaikan
Syaaban: Beramal Pada Masa yang Sering Dilalaikan

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

31 January 2025 / 1 Syaaban 1446H

Syaaban: Beramal Pada Masa yang Sering Dilalaikan

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya, dan jauhi segala larangan-Nya. Manfaatkan setiap hembusan nafas yang dianugerahkan untuk memperbanyak amal dan mutu ibadah, serta meraih keredaan Allah s.w.t. Semoga kita mendapat bimbingan dan kemudahan daripada Allah ‘Azza wa Jalla dalam setiap urusan. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Saudara yang dirahmati Allah,

Hari ini merupakan 1 Syaaban. Bermakna, bulan Ramadan akan menjelang sebulan dari sekarang. Mungkin ramai antara kita,  tanpa sengaja, memberikan lebih perhatian bagi persiapan Ramadan, berbanding bulan Syaaban.

Dalam sepotong hadith riwayat Imam An-Nasa’i, seorang sahabat yang bernama Usamah Bin Zaid r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., tentang kebiasaan baginda berpuasa pada bulan Syaaban. Rasulullah s.a.w. menjelaskan:

Ia (Syaaban) adalah bulan yang sering dilalaikan ramai, iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan. Ini adalah bulan di mana amalan-amalan diangkat menuju Allah. Aku suka sekiranya amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.”

Begitulah saudaraku, Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita bahawa bulan Syaaban begitu istimewa, tetapi sayangnya, ia kurang mendapat perhatian. Syaaban bukan sekadar masa peralihan antara bulan Rejab dan Ramadan, tetapi juga waktu terbaik bagi kita membuat persiapan, rohani dan jasmani, untuk menghidupkan bulan Ramadan al-Mubarak yang akan datang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Junjungan kita Rasulullah s.a.w. mendorong kita mengambil kesempatan daripada peluang yang ada sekarang, tanpa berlengah-lengah, dan tidak menunggu hari esok untuk melakukan kebaikan. Peluang beramal pada  esok hari memang kita dambakan, namun peluang beramal pada hari ini, usah kita lalaikan. Kerana khuatir, sekiranya usia dan ajal tidak mengizinkan, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.

Allah s.w.t. juga mengingatkan kita untuk bersegera dan tidak berlengah melakukan kebaikan. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali-’Imran, ayat ke-133:

Yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu, dan Syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Bulan Syaaban ini amat wajar kita manfaatkan sebagai persiapan awal sebelum ketibaan bulan Ramadan nanti.

Para ulama silam menganggap bulan Syaaban sebagai bulan persiapan ahli Al-Quran. Mereka akan mula memperbanyakkan bacaan Al-Quran di bulan Syaaban, supaya terbiasa dan lebih mudah diamalkan dan dipertingkatkan pada bulan Ramadan.

Begitu juga dengan anjuran berpuasa sunat pada bulan Syaaban, sebagai latihan agar kita tidak merasa lemah ketika berdepan dengan cabaran rohani dan jasmani pada bulan Ramadan nanti. Jadikan setiap hari di bulan Syaaban ini peluang untuk memulakan usaha positif dalam amal ibadah secara konsisten.

Sidang Jemaah yang budiman, 

Sehubungan dengan itu, mimbar ingin mengusulkan dua langkah baik yang boleh kita pertimbangkan:

Yang pertama: Manfaatkan bulan Syaaban ini untuk mempertingkatkan amalan, seperti berpuasa sunat, membaca Al-Quran, berzikir, memperbanyakkan solat, dan bersedekah.

Ya, kesemua ini merupakan amalan yang kita rancang untuk lakukan pada bulan Ramadan nanti. Namun, usahlah kita melengahkan amalan-amalan ini, sehingga peluang beramal yang kita miliki sekarang terlepas begitu sahaja.

Ini juga merupakan satu cara kita melatih diri, supaya lebih bersedia mencurahkan segenap usaha dan tumpuan beramal di bulan Ramadan nanti, agar kemanisannya lebih terasa di dalam jiwa. Ini sesuai dengan anjuran Rasulullah s.a.w., supaya bulan Syaaban tidak kita lalaikan.

Yang kedua: Cari peluang untuk beramal pada waktu-waktu yang dilupakan manusia. Contohnya, di sepertiga malam yang terakhir, antara solat Maghrib dan Isyak, dan juga di bulan Syaaban ini. Saudara, ini merupakan antara sebab mengapa Qiyamullail, iaitu beribadah di tengah malam saat manusia lena dalam tidurnya, amat disukai oleh Allah dan rasul-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Masa yang paling dekat antara Tuhan dan hamba-Nya adalah di penghujung malam. Jika engkau mampu menjadi salah seorang yang mengingati Allah pada waktu itu, maka  lakukanlah (ingatlah Dia).” (Riwayat At-Tirmizi)

Imam Ibn Rajab menjelaskan 3 sebab mengapa seorang Muslim digalakkan untuk beramal ketika manusia kurang peka:

Pertama: Amalan itu lebih tertutup daripada penglihatan manusia, membuktikan keikhlasan orang yang beramal.

Kedua: Ia lebih mencabar dan menguji keazaman diri, lantas menjanjikan ganjaran yang lebih besar.

Ketiga: Ia mengelakkan dan melindungi manusia daripada kemurkaan Tuhan.

Saudara sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Gunakanlah nikmat usia yang kita miliki sekarang ini dengan sebaiknya. Rebutlah setiap peluang untuk menambah bekalan akhirat. Usah berlengah dalam melakukan kebaikan. Bangkitlah daripada kelalaian dan kealpaan. Carilah rahmat dan keredaan Tuhan.

Moga Allah s.w.t. memberkati kita semua di bulan Syaaban, dan mempertemukan kita dengan bulan Ramadan. Amin Ya Rabbal ’Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ارْحَمْنَا وَارْحَمْ وَالِدِينَـا وَارْحَمْ أُمَّةَ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ وُلَاةَ أُمُوْرِنَا، وَوَفِّقْهُمْ لِمَا فِيْهِ صَلَاحُ الأُمَّةِ أَجْمَعِينَ. اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا، وَارْفَعْ مَقْتَكَ وَغَضَبَكَ عَنَّا، وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ وَلَا يَرْحَمُنَا، وَحَوِّلْ حَالَنَا إِلَى أَحْسَنِ الْأَحْوَالِ، وَفَرِّجْ مَا نَزَلَ بِنَا مِنَ الْأَهْوَالِ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ هَذَا البَلَدَ وَسَائِرَ البِلَادِ عَامَّةً آمِناً مُطْمَئِناًّ سَخَاءً رَخَاءً بِقُدْرَتِكَ يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّةَ وَفِي فِلِسْطِينَ، وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.