collections khutbah Sumbangan yang Berterusan
Sumbangan yang Berterusan

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

16 Ogos 2024 / 11 Safar 1446H

Sumbangan yang Berterusan

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah pada Allah di mana pun kita berada. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala tegahan-Nya. Mohonlah dengan penuh keinsafan agar kita diberikan kesempatan melakukan amalan soleh, dan dikurniakan pahala yang berterusan walaupun setelah ketiadaan kita nanti. Amin.

Saudaraku yang dikasihi,

Khutbah minggu lalu mengajak kita menjadi anggota masyarakat, yang pertama, bersyukur atas nikmat  Allah kerana menjadikan Singapura tanahair kita. Kedua, sebagai khalifah Allah yang menjunjung amanah menyebarkan kebaikan di atas muka bumi. Pada minggu ini, mimbar akan menyingkap  sumbangan generasi awal masyarakat Islam Singapura.  Semoga ia menjadi  inspirasi untuk kita meneruskan legasi mereka, dan menyumbang harta yang Allah pinjamkan ke arah kebaikan, terutama sumbangan yang melahirkan manfaat dan bersifat jangka panjang.

Saudara,  pernah dengar nama-nama masjid  berikut: Masjid Sultan, Masjid Kassim, Masjid Bencoolen? Bagaimana pula dengan nama madrasah sepenuh masa seperti Madrasah Aljunied, Madrasah Alsagoff, Madrasah Al-Maarif? Apakah persamaan antara kesemua tempat-tempat ini? Benar, kesemua masjid dan madrasah ini adalah  aset wakaf, peninggalan generasi Muslim terdahulu.

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Wakaf merujuk kepada amalan memperuntukkan sebahagian daripada kekayaan atau harta untuk kebaikan masyarakat, dengan niat untuk mencari keredaan Allah. Berwakaf menjamin pahala yang berterusan selagi aset tersebut wujud, walaupun setelah pewakaf atau ‘wakif’ meninggal dunia.

Bagi kita yang masih bernyawa dan meraih banyak faedah dari masjid dan madrasah tersebut hari ini, bayangkan betapa banyak manfaat yang diraih oleh masyarakat kita. Bayangkan juga  ganjaran yang diterima oleh wakif, walaupun mereka telah lama meninggal dunia.

Saudaraku,

Wakaf merupakan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Dalam sepotong hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud, apabila Rasulullah s.a.w. wafat, baginda tidak meninggalkan (warisan berupa) dinar atau  dirham, hamba lelaki atau perempuan, malah tidak ada apa-apa pun yang ditinggalkan, kecuali seekor baghal putihnya, senjatanya, dan sebidang tanah yang dijadikannya sebagai sedekah (yakni wakaf).

Amalan berwakaf selari dengan anjuran Islam untuk kita memberi sumbangan buat maslahat jangka panjang. Amalan menyumbang menerusi harta kekayaan juga membentuk sebahagian definisi kebajikan. Cuba bersama kita perhatikan firman Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 92:

Yang bermaksud: “Engkau tidak akan mencapai (hakikat) kebajikan sehinggalah engkau membelanjakan sebahagian harta yang engkau cintai, dan apa sahaja yang engkau belanjakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.”

Al-Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa tatkala sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Abu Talhah r.a. mendengar ayat ini dibaca, beliau segera menawarkan hartanya yang paling dicintainya berupa sebidang tanah berdekatan dengan Masjid Nabawi untuk diwakafkan. Selain itu, ramai lagi sahabat-sahabat Nabi yang telah mewakafkan harta mereka demi kemaslahatan umat. Di antaranya seperti pewakafan tanah di Khaybar oleh Umar al-Khattab r.a. dan telaga Raumah oleh Uthman bin Affan r.a.

Bayangkan, saudara. Sahabat nabi tak mahu terlepas peluang meraih pahala dan meninggalkan kebaikan melalui amalan wakaf. Inikan pula kita? Tentu sekali, kita lebih memerlukan pahala yang berterusan, terutama sekali apabila berakhirnya hayat kita di atas muka bumi Allah ini.

Wahai saudaraku yang beriman,

Mungkin ada di antara kita yang bertanya: Kita tidak memiliki tanah atau bangunan, macam mana nak wakaf? Masihkah ada peluang untuk kita menyumbang dengan kos hartanah yang kian mahal? Apa keutamaan kita berwakaf untuk generasi akan datang, sedangkan kita susah payah menyara hidup untuk hari ini?

Saudara, walaupun sistem perumahan awam hari ini tidak membolehkan perwakafan rumah kita, ia tidak bermakna bahawa peluang untuk kita berwakaf telah tertutup serta merta. Hari ini, kita mempunyai wadah lain untuk menyumbang secara kolektif demi menghasilkan manfaat untuk generasi akan datang. Dana Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang baru dilancarkan pada 3 Ogos lalu, telah ditubuhkan untuk mencapai niat murni tersebut.

Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) boleh membantu memastikan niat kita untuk melakukan amal jariah secara berterusan tercapai. Ini boleh dilakukan menerusi sumbangan bulanan atau tahunan, mengikut keselesaan masing-masing. Wadah ini berpotensi menjaga kebajikan ekonomi dan sosial masyarakat Islam kita. Di samping itu, kita dapat mengukuhkan pentadbiran institusi-institusi agama pada masa akan datang, termasuk masjid, madrasah, dan program-program sosio-masyarakat kita pada masa hadapan. Kita berharapan, selagi mana institusi agama Islam berdiri dan beroperasi di tanah air ini, selagi itu pahala kebaikan kita terus mengalir dan tidak terputus meski kita telah tiada.

Semoga sumbangan kita, walau kerdil pada pandangan manusia, insyaAllah besar di sisi Allah s.w.t., sesuai dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah yang berterusan, walaupun sedikit.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Ya Allah, Ya Razzaq, berkatilah rezeki yang Engkau berikan kepada kami. Ya Wahhab, permudahkanlah urusan kami untuk menyumbang di atas jalan-Mu. Ya Fattah, bukalah pintu kebaikan dengan seluas-luasnya buat kami. Perkenankanlah segala niat baik yang terpendam di dalam hati kami. Jadikanlah amalan kerdil kami besar di sisi-Mu. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم.

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.