collections khutbah Sikap Tolak Ansur Menjamin Keharmonian
Sikap Tolak Ansur Menjamin Keharmonian

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

26 Februari 2021 / 14 Rejab 1442H

Sikap Tolak Ansur Menjamin Keharmonian

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala yang diperintah-Nya dan menjauhi segala yang ditegah-Nya.

Saudaraku,

Kedamaian dan keamanan merupakan salah satu nikmat terbesar yang Allah beri kepada manusia. Dalam suasana damai, banyak perkara seperti ibadah dan urusan kehidupan dapat dijalankan dengan mudah dan tenang. Begitu juga ketika kedamaian hilang daripada kehidupan, segala urusan kehidupan akan terjejas.

Saudaraku,

Bila sebut tentang keamanan, ia berhubungkait dengan tanggugjawab manusia di muka bumi ini. Manusia telah diberi amanah untuk mentadbirkan bumi ini. Kita bertanggungjawab untuk memastikan kehidupan di dunia ini aman dan selesa untuk didiami. Tanggungjawab itu tidak diserahkan kepada makhluk lain.

Maka pada kesempatan ini, perlu untuk kita memahami apakah antara perkara yang menghambat untuk mengekalkan kedamaian. Ia tidak lain tidak bukan, disebabkan sikap manusia sendiri yang tidak mahu bertolak ansur. Sikap bangga diri dan sombong daripada menerima pandangan lain boleh mencetuskan perbalahan sehingga mengakibatkan persengketaan. Apabila sengketa berlanjutan, ia memberi kesan buruk kepada kehidupan kita.

Oleh itu, seorang Mukmin akan berusaha untuk mencari jalan keluar agar mengekalkan kesejahteraan hidup dalam masyarakat. Sepertimana yang terakam dalam sirah Nabi (s.a.w.) tatkala Baginda tiba di Madinah. Ungkapan pertama Baginda adalah yang bermaksud: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan...” (Riwayat Imam At-Tirmizi).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa objektif utama untuk membina sebuah negara dan masyarakat yang bertamadun, adalah dengan suasana yang selamat. Untuk menghasilkan suasana selamat itu, setiap anggota masyarakat perlu saling hormat menghormati dan bertoleransi. 

Saudaraku,

Dunia yang kita diami sekarang ini memiliki kepelbagaian daripada berbagai sudut. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan masing-masing mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Pelbagai spesis yang berlainan warna dan coraknya. Itulah yang menjadikan alam ini lebih menarik dan sedap dipandang mata.

Begitulah manusia, masing-masing mempunyai latarbelakang dan cita rasa yang berbeza. Inilah hukum alam yang dicipta Allah untuk mengimbangi landskap keperluan hidup yang rencam.

Perbezaaan yang ada pada diri dan pemikiran manusia sepatutnya dijadikan sebagai kekuatan untuk mengukuhkan lagi perpaduan sesama kita. Ia bukanlah penghalang daripada mendapat kebaikan bersama. Perhatikan firman Allah (s.w.t.) yang berbunyi:

Maksudnya: “Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka...” (Surah Hud: ayat 118-119).

Imam Ibn Kathir berpendapat bahawa perbezaan dan perselisihan mengenai soal agama, dan juga pada pendapat di antara manusia akan sentiasa ada. Namun ia tidak seharusnya memecah-belahkan perhubungan sesama kita. Sebaliknya, ia mengukuhkan dan menyatukan ikatan kita bersama.

Justeru para jemaah sekalian, kita perlu sentiasa bersikap tolak ansur agar menjamin keharmonian bersama. Bukalah hati dan minda dalam menerima perbezaan. Dan janganlah kita menolak apatah lagi menghina perbezaan yang wujud.

Semoga Allah menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlapang dada dan bersikap terbuka dalam menerima pandangan yang berbeza, serta mengukuhkan persaudaraan sesama kita. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.