collections khutbah Sikap Terbuka: Kunci Muhasabah Diri
Sikap Terbuka: Kunci Muhasabah Diri

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

13 Disember 2019 / 16 Rabiul Akhir 1441H

Sikap Terbuka: Kunci Muhasabah Diri

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan melakukan segala perintahNya, dan meninggalkan segala larangan serta tegahanNya. Sama-samalah kita merenung kembali segala apa yang telah kita lakukan selama ini, dan sentiasa bermuhasabah dari semasa ke semasa. Mudah-mudahan diri ini sentiasa hampir kepada kasih sayangNya dan beroleh keberkatan dan keredhaanNya. Amin.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Baki beberapa minggu lagi, kita akan memasuki tahun yang baru. Ini bermakna, setahun sudah hampir berlalu meninggalkan kita. Tetapi buat kita di sini, mungkin kita boleh merenung sejenak. Adakah tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang sudah? Jika masih lagi ada kekurangan, bagaimana pula dapat kita memperbaikinya agar hari esok lebih baik dari sebelumnnya, agar tahun mendatang bakal menjadi lebih baik dari tahun ini?

 

Dalam hal ini saudara, saya ingin mengajak untuk kita sama-sama merenung kembali peringatan yang telah Allah s.w.t. sampaikan kepada kita dalam firmanNya melalui surah Al-Hasyr ayat 18:

 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang ia telah disediakan (iaitu dari amalan) untuk hari esok (iaitu pada hari akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

 

Saudara, yang namanya insan, dalam bahasa Arab membawa maksud lupa. Malah sebagai manusia biasa, tidak semua perkara kita tahu dan pastinya kita tidak lari dari kesilapan. Tidak kiralah, jika kita ini mempunyai jawatan di tempat kerja atau di persatuan atau mana-mana institusi. Sama ada kita merupakan seorang pendidik atau guru agama. Sama ada kita ini, seorang suami, isteri ataupun anggota keluarga. Hakikatnya, tidak semua perkara kita tahu dan maklum.

 

Daripada itu, sebagai seorang insan, ada dua perkara yang perlu kita perhatikan dalam rangka kita memperbaiki diri kita sendiri. Yang pertama: Menerima nasihat dan teguran. Dan yang kedua: Sentiasa bermuhasabah.

 

Saudaraku,

Berkaitan menerima nasihat, kadangkala kita memerlukan seseorang untuk menegur kekurangan dan kesilapan kita. Sungguhpun bukan sesuatu yang mudah untuk bersikap terbuka dalam menerima teguran. Apatah lagi jika teguran atau kritikan tersebut datang daripada seorang yang tidak kita kenali atau kita tidak rapat dengannya.

 

Dalam hal ini saudara, dengan kita merujuk kepada Sirah Nabi s.a.w., kita akan mendapati Nabi s.a.w. merupakan seorang insan yang sentiasa terbuka menerima pendapat serta saranan orang lain.

 

Walaupun Baginda seorang Rasul dan merupakan ketua yang memimpin masyarakat. Baginda bersedia menerima pendapat para sahabatnya. Kerana menerima pendapat insan lain itu, bukanlah satu tanda kelemahan, malah ia membawa kemanfaatan serta kebaikan untuk individu tersebut. Dari itu, para ulama menyatakan maksud sebenar daripada “memberi nasihat”, adalah: Menginginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati.

 

Saudaraku,

Begitu juga kehidupan Baginda sebagai suami. Baginda tidak segan dalam meminta pandangan para isterinya, dan bersedia menerima pandangan dan maklum balas mereka. Baginda pernah meminta pandangan daripada isterinya seperti Saidatina Khadijah dan Saidatina Ummu Salamah radiyallahu anhuma, Malah ketika Nabi s.a.w. kegerunan semasa kali pertama menerima wahyu dari Jibril a.s. Saidatina Khadijah lah yang memberi nasihat dan saranan agar mendapatkan pertolongan serta pendapat daripada bapa saudaranya, Waraqah bin Nawfal.

 

Saudaraku,

Pendekatan yang kedua bagi seorang mukmin yang berusaha untuk memperbaiki dirinya, adalah dengan sentiasa bermuhasabah.

Ingatlah, bahawa kejayaan muhasabah diri adalah apabila hati kita menjadi bersih dan mudah melaksanakan segala perintah Allah. Kejayaan bermuhasabah diri juga bermakna kita lebih mudah dalam meninggalkan segala larangan Allah serta berjaya melawan hawa nafsu dan godaan syaitan. Manakala kegagalan bermuhasabah diri pula, membuatkan jiwa ini leka dan lupa kepada Allah, dan berterusan melakukan dosa dan maksiat. Inilah merupakan maksud daripada firman Allah dalam surah Al-Syams ayat 9-10:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bertambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan kekotoran maksiat).

 

Bukan itu sahaja, mereka yang sentiasa bermuhasabah juga dianggap sebagai seorang yang cerdik dan bijak oleh Rasulullah. Manakala mereka yang gagal menilai kelemahan diri, mereka dianggap sebagai seorang yang lemah kerana gagal merancang, lantaran leka dan berangan-angan kosong bagi kejayaan di hari akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w.:

 

Yang bermaksud: “Orang yang bijak adalah mereka yang bermuhasabah dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah.” [Hadis riwayat Imam At-Tirmizi].

 

Maka sentiasalah bermuhasabah diri. Tanyakanlah kepada pasangan kita, atau mungkin dengan kenalan rapat kita bagi mendapatkan maklum balas bekenaan diri kita. Apakah kekurangan kita, bagaimana pula dapat kita memperbaikinya.

 

Ingatlah, apabila kita berlapang dada dan menerima segala maklum balas itu secara positif, kita juga akan dapat menerima kritikan dari orang-orang yang mungkin tidak kita kenali.

Marilah sama-sama kita menjadikan amalan muhasabah diri sebahagian dari kehidupan kita. Mudah-mudahan dengan itu, kita akan lebih bersedia dan mampu untuk berubah dan memperbaiki diri, dan seterusnya menjadi hamba yang sentiasa ingin memajukan diri dan tergolong di kalangan kekasih-kekasihNya pada hari akhirat kelak.