collections khutbah Sikap Kebertanggungjawapan Dalam Pertuturan
Sikap Kebertanggungjawapan Dalam Pertuturan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

25 Ogos 2023 / 8 Safar 1445H


Sikap Kebertanggungjawapan Dalam Pertuturan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan sebenar-benar ketakwaan. Dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,


Allah (s.w.t) berfirman:

Yang bermaksud: "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (mencatit dan menulisnya)." [Surah Qaf: 18]

Ayat ini pada hemat saya, menyemai dalam diri setiap individu itu, untuk bertanggungjawab terhadap segala lafaz yang diungkapkan. Bayangkan saudaraku, segala yang kita lafazkan, akan sentiasa dicatit oleh para malaikat. Kemudian esok, bakal menjadi hujjah ke atas kita di Akhirat kelak. Sekiranya baik penuturan kita, maka alhamdullilah, ia mendekatkan kita kepada keredaan Allah dan pengampunan-Nya. Begitu juga sebaliknya.

Subhanallah. Amat berat tanggungjawab ini. Ia menyebabkan kita untuk lebih berjaga-jaga dalam mengemukakan pendapat, serta dalam menuturkan kata-kata. Adakah sesuatu lafaz serta pendapat yang diutarakan itu, merupakan perkara yang benar ataupun palsu? Adakah ia bermanfaat ataupun sebaliknya? Adakah ia bakal menyatukan ataupun membawa kepada pemusuhan dan perbalahan?

Tidak menjadi satu keaiban apabila seseorang itu berdiam kerana kurang mengetahui akan kesahihan maklumat berkaitan sesuatu perkara. Bahkan, ia menunjukkan kebijaksanaan dan bukan sebaliknya. Perhatikan adab yang ditunjukkan sendiri oleh Imam Malik (r.a) apabila ditanya 40 soalan agama. Beliau menjawab 36 daripada soalan tersebut dengan: “Aku tidak tahu”.

Ia tidak mengurangkan darjat Imam Malik itu sendiri. Kerana sememangnya beliau tidak mengetahui jawapan bagi persoalan tersebut, dan memerlukan kepada penelitian serta kajian lanjut. 

Ia tidak merendahkan darjat Imam Malik sedikit sekalipun. Bahkan beliau tetap terkenal dengan kepakaran beliau dalam ilmu agama. Dan buku-bukunya kekal menjadi rujukan, sehingga ke zaman ini.

Adab inilah yang diajar oleh Baginda (s.a.w) seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis.

عن عُقْبَة بن عامر رضي الله عنه قال: قلتُ: يا رسولَ اللهِ مَا النَّجَاةُ؟ قال: أَمْسِكْ عَلَيْكَ لِسَانَكَ وَلْيَسَعْكَ بَيْتُكَ وَابْكِ عَلَى خَطِيئَتِكَ

Yang bermaksud: "Dari 'Uqbah bin 'Amir, beliau berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah, apakah jalan keselamatan [di Dunia dan Akhir]? Beliau menjawab: "Jagalah lisanmu, hendaklah rumahmu membuatmu lapang dan menangislah ke atas dosa-dosamu." [Hadis riwayat Imam Tirmizi].

Maka menjaga lisan serta penuturan, merupakan antara adab dan pekerti yang dititikberatkan Nabi (s.a.w).

Jemaah yang dirahmati Allah,

Dengan perkembangan teknologi maklumat di zaman ini, ia membuka ruang serta peluang bagi setiap individu untuk mendapatkan maklumat dengan begitu mudah. Segala informasi, pendapat termasuk juga maklumat berkaitan kehidupan peribadi individu boleh dikongsikan. Ia memberi kebebasan kepada seseorang untuk meluahkan pendapatnya tanpa batas.

Kita dapat lihat bagaimana sebahagian individu mengutarakan pendapat mereka tanpa menghormati serta mengambil kira pendapat yang lain. Seolah-olah pendapat beliau sahaja yang betul. 

Tidak dinafikan bahawa ini merupakan hak individu untuk memberi dan berkongsi pendapat. Namun, dalam usaha kita untuk mengemukakan sesuatu pendapat, terdapat prinsip agama yang wajar kita perhatikan iaitu; sikap tanggungjawab yang perlu diperhatikan pada setiap pernuturan.

Fikirkanlah terlebih dahulu kesahihan serta kesan pendapat kita sebelum bertutur. Ingatlah bahawa kata-kata kita mempunyai kuasa dan kesan untuk mempengaruhi orang lain. Oleh itu saudaraku, kita harus peka dan teliti dengan kata-kata yang kita lontarkan supaya ia membawa manfaat bagi diri kita serta masyarakat, insyaAllah.

Semoga Allah (s.w.t.) memberkati segala usaha kita semua untuk memperbaiki diri dan menanamkan nilai-nilai Islam dalam diri kita. Semoga kita menjadi umat yang bertanggungjawab dalam menyebarkan kebenaran dan kasih sayang dalam setiap kata-kata kita.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.