collections khutbah Sikap Empati: Penjagaan Anak
Sikap Empati: Penjagaan Anak

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

30 Jun 2023 / 11 Zulhijjah 1444H


Sikap Empati: Penjagaan Anak

 

Saudara dan Saudari,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Dengan memenuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t) mengurniakan kepada kita sikap ihsan pada setiap tindak tanduk kita. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Antara perkara yang sangat dititikberatkan oleh agama kita adalah sikap prihatin sesama manusia. Tidak kira yang dewasa mahupun yang muda. Yang mempunyai pertalian darah ataupun tidak. Diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Sayyiduna Nabi (s.a.w) pernah berpesan kepada Abu Dzar (r.a.) ketika mana beliau ingin memasak. Nasihat Nabi kepadanya adalah untuk melebihkan air pada kuahnya supaya ia dapat diberikan kepada jiran tetangga. 

Panduan yang diberikan Nabi (s.a.w) walaupun agak ringkas, akan tetapi pada hemat saya padanya mengandungi pengajaran yang penting. Bagaimana agama ini mengajar kita untuk sentiasa prihatin akan mereka yang berada di sekeliling kita. 

Perkara ini penting untuk kita perhatikan. Kerana kadangkala kita ini sering mementingkan diri sendiri atas saudara kita. Sebahagian antara kita juga kadangkala cepat menghukum dan memandang rendah terhadap individu yang berbeza dengan diri kita. Namun, nilai empati itu mengajar kita untuk melihat, mendengar dan merasakan suatu kesusahan itu melalui perspektif mereka yang sedang menghadapinya. 

Saudara dan Saudari, 

Nabi Muhammad (s.a.w) merupakan contoh terbaik bagi kita. Jika kita imbas kembali sejarah kehidupan Baginda (s.a.w). Bagaimana beliau sentiasa berusaha untuk meringankan bebanan terhadap golongan yang memerlukan. Kita mendapati bagaimana Baginda bukan hanya sekadar mengajar kita, bahkan Nabi Muhammad (s.a.w) memberi contoh tauladan untuk kita pelajari dan ikuti. 

Sebagai contoh, terakam di dalam kisah penjagaan anak buahnya, Sayyiduna Ali bin Abi Talib (r.a).  Pada ketika itu, kaum Quraisy sedang berhadapan dengan masalah kewangan yang besar. Abu Talib ketika itu mempunyai ahli keluarga yang besar dan tanggungan yang ramai di bawahnya, beliau turut terkesan dengan kesempitan tersebut. 

Melihat kesusahan yang dialaminya, Baginda (s.a.w) pun mengambil suatu inisiatif mulia. Baginda menunjukkan sikap empati terhadap ayah saudaranya dan mengambil keputusan untuk menjaga Ali bin Abu Talib (r.a). Yang pada akhirnya, anak buahnya turut beriman kepada Allah (s.w.t) dan mempercayai risalah yang dibawa Baginda (s.a.w). Sehinggakan beliau menjadi salah satu individu penting dalam penyebaran agama Islam.

Begitulah keindahan akhlak Rasulullah (s.a.w). Beliau menzahirkan sifat empati kepada mereka yang berada di sekelilingnya. Inilah merupakan salah satu makna kejayaan tatkala kita melakukan kebaikan. Tidak kira apa jua kebaikan. Sama ada yang kecil mahupun yang besar. Allah (s.w.t) berfirman dalam Surah al-Hajj, ayat 77:


Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

Saudaraku,

Keadaan serta kemampuan kita berbeza-beza. Sebahagian dari kita mungkin diuji dengan kesusahan serta kesempitan. Ada juga yang diberikan kesenangan dan kelapangan hidup. Maka bagi mereka yang diberikan kelapangan hidup, ia sebenarnya merupakan peluang keemasan untuk dia menyumbang serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Pada kesempatan ini, dengan mengambil kira kisah yang telah saya nyatakan di awal tadi berkaitan penjagaan Nabi (s.a.w) terhadap anak sedaranya, demi membantu ahli keluarganya yang memerlukan. Maka fikirkan saudaraku, adakah terdapat ruang untuk kita menjaga anak titipan?

Sebagai contoh, ada anak-anak yang diabaikan, dan ditinggalkan oleh ibu bapa mereka sendiri. Ataupun ibu dan ayah mereka tidak layak untuk menjaga anak tersebut. Sedangkan anak tersebut amat memerlukan kepada rumah yang aman, serta keluarga yang boleh memenuhi keperluan seharian mereka. 

Namun, apakah peranan yang boleh kita laksanakan terhadap mereka? Bagi mereka yang mempunyai kesenangan serta kelebihan yang Allah kurniakan. Pertimbangkanlah untuk menjaga kanak-kanak tersebut. Ingatlah walaupun mereka bukan anak-anak kita sendiri, akan tetapi keprihatinan dan keihsanan yang kita curahkan kepada mereka, pasti akan mengurniakan kepada kita ganjaran yang besar atas usaha yang kita kerjakan. Tambahan itu, melalui penjagaan dan kasih sayang yang dicurahkan dalam suasana keluarga, masa depan anak-anak ini akan lebih terjamin dan selamat InshaAllah. 

Semoga setiap daripada kita menjadi insan-insan yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab kita. Dan menjadi hamba-Nya yang sentiasa sedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan agar dapat mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Amin. 

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.