Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
16 Disember 2022 / 21 Jamadilawal 1444H
Sikap Bertolak Ansur: Ciri Masyarakat yang Berjaya
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ketaatan yang kita lakukan, kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.
Saudara dan saudari,
Khutbah minggu ini ingin mengajak para hadirin sama-sama menghayati sikap tasamuh ataupun sikap bertolak ansur dalam masyarakat.
Agama Islam tidak hanya terhad pada ritual ibadah sahaja. Selain itu, aspek yang sangat diambil berat oleh Islam adalah aspek akhlak dan ihsan dalam setiap perbuatan dan pergaulan kita bersama orang lain. Sifat tasamuh merupakan sifat yang harus ditonjolkan kepada semua tidak kira agama dan bangsa. Allah (s.w.t.) berfirman:
Yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah; dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang; oleh itu, layanlah mereka dengan cara yang elok.” [Al-Hijr: 85]
“Al-Safh Al-Jameel” yand disebutkan dalam ayat yang dibacakan sebentar tadi bermaksud memperlihatkan pengampunan yang baik. Lihat bagaimana Allah (s.w.t.) mengaitkan sifat tersebut dengan kecantikan, yakni cara kita bergaul dengan mereka, berlapang dada dan memaafkan mereka haruslah dengan keindahan budi pekerti.
Saudara dan saudari,
Sikap bertolak ansur ini dapat diteladani sepanjang sirah Nabi (s.a.w.) seperti dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah atau lebih dikenali sebagai Fathu Makkah. Bayangkan keadaan Baginda (s.a.w.) selepas melalui pelbagai kesusahan dan cabaran oleh kaumnya. Dimaki dan dicaci hamun oleh kaumnya sendiri. Kemudian dilontar najis, dipulau dan dihalau keluar dari negeri sendiri. Meskipun begitu, Baginda tetap memaafkan kaum Quraisy walaupun mereka telah melakukan pelbagai kesalahan terhadapnya.
Bahkan, Baginda (s.a.w.) bukan sahaja memaafkan kesalahan mereka. Malah, Baginda berlaku baik dengan membebaskan mereka dari penghambaan. Inilah yang dimaksud dengan Al-Safh Al-Jameel yang disebutkan dalam ayat sebentar tadi iaitu pengampunan yang diiringi dengan kecantikan dalam perbuatan tersebut. Untuk umatnya yang dicintai, Baginda terus mengingatkan agar bersikap pemaaf hatta terhadap orang yang melakukan kezaliman terhadap kita sekalipun. Itulah yang dinasihatkan oleh Baginda (s.a.w.) kepada seorang sahabat yang bernama Uqbah. Rasulullah (s.a.w.) bersabda:
يَا عُقْبَة بن عَامِر! صِلْ مَنْ قَطَعَكَ، وأَعْطِ مَنْ حَرَمَكَ، وَاعْفُ عَمَّنْ ظَلمَكَ
Yang bermaksud: “Wahai Uqbah bin ‘Amir! Jalinkanlah (silaturrahmi) dengan sesiapa yang memutuskannya, dan tetap memberi kepada sesiapa yang menghalangnya dari kamu. Dan maafkanlah mereka yang menzalimi kamu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Saudara dan saudari,
Sikap bertolak ansur sesuai untuk dipraktikkan pada setiap masa. Kita wajar bersyukur kerana hidup di dalam masyarakat majmuk yang aman dan selamat. Ini adalah antara hasil pengorbanan dan tolak ansur sesama kita.
Asam garam kehidupan dalam masyarakat majmuk ini pasti tidak terlepas dari perkara yang tidak disenangi, akan tetapi sebarang isu akan dapat diatasi dengan sifat tasamuh.
Contohnya dalam pengamalan ibadah kita, janganlah sampai kita menyakiti atau menimbulkan rasa kurang senang kepada orang lain. Ketika kita berwuduk di tempat awam, jagalah kebersihan tempat tersebut.
Jika kita diuji pula dengan perkara yang tidak disenangi dari amalan agama lain, janganlah kita melakukan sikap provokasi atau menghina.
Inilah dakwah Islam yang sebenarnya, yang jauh daripada sifat ekstrim ataupun berlebih-lebihan, malah bersifat wasatiy (sederhana) dan tasamuh (tolak ansur). Sifat-Sifat ini merupakan nilai-nilai yang penting untuk memupuk kesatuan dan keharmonian dalam sebuah masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.
Kita memohon kepada Allah (s.w.t.) agar memberikan kita taufik untuk bersikap tolak ansur sepertimana yang diajarkan oleh Nabi (s.a.w.) Semoga keluarga, masyarakat dan negara yang kita cintai terus diberkati oleh Allah (s.w.t.) dan kekal dalam keamanan dan keharmonian, serta dijauhkan dari segala bencana dan ancaman. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
Khutbah Kedua
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.