collections khutbah Sifat Mazmumah: Ananiah - Mementingkan diri sendiri
Sifat Mazmumah: Ananiah - Mementingkan diri sendiri

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

6 Mac 2020 / 11 Rejab 1441H

Sifat Mazmumah: Ananiah - Mementingkan diri sendiri

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar ketakwaan. Takwa yang memelihara akhlak dan peribadi kita dari sifat-sifat yang buruk lagi keji.  Takwa yang mendekatkan kita kepada Allah s.w.t. serta memperbaiki hubungan kita sesama insan sehingga berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

 

Saudaraku,

Sifat mazmumah bermaksud sifat-sifat buruk dan keji yang tidak seharusnya ada pada diri seorang Muslim yang beriman kepada Allah s.w.t. dan RasulNya.

Rasulullah s.a.w. telah diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk memperbaiki akhlak serta keperibadian manusia. Rasulullah s.a.w. mempunyai budi perkerti yang sangat mulia sepertimana yang terakam dalam firman Allah s.w.t.:

 

Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyaknya.” (Surah Al-Ahzab, ayat 21).

Ayat ini bukan sahaja memuji ketinggian akhlak serta keperibadian Rasulullah s.a.w., bahkan Allah s.w.t. juga memerintahkan orang-orang yang beriman agar mencontohi serta menuruti jejak langkah Baginda s.a.w.

 

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Di antara sifat mazmumah yang perlu kita jauhi adalah sifat ananiah. Ia mengakibatkan seseorang untuk hanya memikirkan kepentingan serta kemaslahatan dirinya sendiri sahaja tanpa mempedulikan orang lain. Ia juga boleh membawa maksud seseorang yang taksub dengan pendirian serta pandangannya sendiri tanpa mengambil kira pandangan orang lain.

 

Sikap ananiah ini amat berbahaya bagi umat manusia secara umumnya. Lebih-lebih lagi dengan meningkatnya kebergantungan hidup di antara kita di dunia hari ini. Oleh kerana ikatan ekonomi, sosial bahkan kesihatan yang menjalinkan manusia sejagat hari ini. Setiap langkah yang kita ambil itu pasti memberi kesan kepada kehidupan orang lain. 

 

Lihat sahaja bagaimana wabak ini merebak di sebahagian rantau kerana sikap seseorang yang enggan mengambil langkah berjaga-jaga. Sikapnya menolak permintaan petugas kesihatan untuk membuat pemeriksaan ke atasnya telah mengakibatkan penularan wabak yang amat meluas kepada orang di sekelilingnya. Inilah sifat mementingkan diri, serta pandangan sendiri sehingga tidak mengambil kira kesannya terhadap orang lain.

 

Para Jemaah yang dikasihi,

Bagi menangani sifat ananiah ini, kita harus berusaha untuk memupuk sikap ‘ithar’ di dalam diri. Ithar bermaksud sikap mengutamakan keperluan orang melebihi dirinya sendiri. Dalam erti kata lain, seseorang yang berjiwa pemurah yang sentiasa menginginkan kebaikan bagi orang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka hendaklah dia mati dalam keadaan dia beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Dia juga memperlakukan manusia sepertimana dia suka manusia melayaninya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

 

Inilah sikap yang perlu dimiliki setiap Muslim. Lebih-lebih lagi di dalam keadaan yang tidak menentu seperti sekarang ini. Sebagai contoh, ketika berbelanja, jangan kita biarkan sikap ingin memenuhi kepentingan diri sendiri secara melampau, mereka yang lebih memerlukan sesuatu barangan itu dinafikan. Mudah-mudahan berkat kita membangun sifat ithar dan menjauhi sifat ananiah ini, Allah akan memelihara kita, keluarga dan negara daripada sebarang bahaya, ancaman dan anasir keburukan di dunia dan akhirat. Semoga Allah s.w.t. menghapuskan sifat mazmumah di dalam diri kita dan menggantikannya dengan sifat-sifat yang mulia yang membawa kebaikan buat semua.