Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
3 Jul 2020 / 11 Zulkaedah 1441H
Semangat Membantu Antara Satu Dan Yang Lain
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Sama-samalah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintahNya dan jauhilah segala laranganNya dengan menjadikan al-Quran sebagai pedoman dan penghias jiwa kita.
Allah s.w.t. telah mengajar kita dalam kitab suciNya ini agar mempunyai sikap prihatin dan berusaha untuk saling membantu antara satu sama lain. Allah s.w.t. menyifatkan dalam surah Ali Imran ayat ke-92 ciri sumbangan kebajikan yang didambakan:
Yang bermaksud: “Kamu tidak akan dapat mencapai hakikat kebajikan (yang sempurna) sehinggalah kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”
Ayat ini mengajar kita agar memberikan yang terbaik ketika menghulurkan bantuan dan sumbangan. Setiap dari kita pastinya menginginkan yang terbaik, maka sudah semestinya kita juga perlu berusaha untuk memberikan yang terbaik. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud “Tidak (sempurna) iman seseorang itu sehingga dia sukakan untuk saudaranya apa yang dia sukakan buat dirinya sendiri” (Hadis riwayat Imam Bukhari).
Saudaraku,
Kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran pada Allah s.w.t. yang telah mengurniakan kepada kita peluang menghadiri solat Jumaat kali ini. Ini merupakan sebahagian dari nikmat yang perlu kita pelihara. Nikmat ini dapat dipelihara dengan kita sama-sama berkorban mengamalkan segala langkah-langkah pencegahan yang diperlukan untuk mengatasi penularan wabak ini. Kami mengharapkan agar kita dapat bersabar dan bekerja sama dalam usaha memelihara keselamatan buat semua. Mudah-mudahan Allah s.w.t. mengurniakan ketenangan dan keamanan buat kita semua ketika kita melaksanakan ibadah Jumaat ini.
Dalam langkah kita menyesuaikan diri dengan norma-norma baru dalam kehidupan kita ini, terdapat dikalangan saudara-saudara kita yang masih lagi tidak berpeluang untuk berjemaah lima waktu dan menunaikan solat Jumaat di masjid. Sebahagian saudara dan teman kita pula memerlukan bantuan untuk membiasakan diri menggunakan alat digital untuk berdaftar melaksanakan ibadah secara berjemaah di masjid. Inilah peluang kita untuk melakukan kebaikan membantu mereka meningkatkan kemahiran tentang pengunaan digital.
Sebahagian yang lain pula, mungkin memerlukan bantuan untuk mencari pekerjaan dan sokongan pada saat-saat getir sekarang ini. Maka berusahalah saudaraku, untuk menghulurkan bantuan serta menyokong dengan apa jua cara meskipun hanya kata-kata semangat dan dorongan.
Disebalik setiap sumbangan kita menunjukkan jalan kepada kebaikan dan pembaikan, kita dijanjikan ganjaran. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menunjukkan suatu kebaikan, maka ia mendapatkan pahala seperti pahala orang yang melakukannya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
Bagi mereka yang telah dapat menunaikan solat Jumaat di masjid. Marilah kita sama-sama memberi peluang dan giliran kepada saudara-saudara kita yang lain agar mereka juga dapat melaksanakan solat Jumaat dalam masa terdekat. Mudah-mudahan dengan kita berkongsi nikmat mendapatkan tempat untuk beribadah di masjid, Allah s.w.t. akan mempermudahkan bagi kita segala usaha kita, sehingga lebih banyak ruang dapat dibuka untuk kita beribadah bersama. Semoga kita tergolong dari kalangan hamba-hambaNya yang berjaya di dunia dan di akhirat. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم