collections khutbah Semangat Berjuang Dan Positif
Semangat Berjuang Dan Positif

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 Jul 2020 / 3 Zulhijjah 1441H

Semangat Berjuang Dan Positif

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintahNya dan jauhi segala laranganNya. Semoga kita kekal positif dalam menjalani kehidupan ini. Amin.

Pada hari yang penuh barakah ini, saya ingin mengajak kita menghayati akan pengajaran di sebalik sepotong ayat suci al-Quran, yang walaupun menceritakan tentang musibah dan ujian, akan tetapi sebenarnya ia merupakan pengajaran bagi insan untuk sentiasa berfikiran positif. FirmanNya yang berbunyi:

Yang bermaksud: Mereka yang mana apabila ditimpa ke atas mereka musibah, mereka berkata sesungguhnya kami ini milik Allah, dan kepadaNya kami akan kembali (Surah al-Baqarah: ayat 156).

Saudaraku,

Kita diajar agama ini untuk mengucapkan lafaz (innalillahi wa inna ilayhi rajiun) ketika ditimpa sesuatu musibah. Mengapakah kita didorong untuk melafazkannya ketika musibah datang melanda? Hikmah dan rahsianya terkandung di sebalik maksud kalimah suci tersebut. Kalimat itu bermaksud: Sesungguhnya kami ini milik Allah, dan kepadaNya kami akan kembali.

Tuhan mengingatkan kita pada ayat tersebut bahawa kita semuanya dimiliki Tuhan yang Maha Berkuasa. Sekiranya sedemikian, adakah Tuhan akan memudaratkan diri insan yang sentiasa berada di bawah pemilikan Tuhan?

Perumpamaannya, seperti anda yang memiliki sesuatu harta, seperti rumah, kereta, ahli keluarga dan sebagainya. Adakah anda akan memudaratkan perkara yang berada di bawah pemilikan anda?

Maka begitulah Tuhan, Dia mengingatkan insan agar sentiasa peka dan akur bahawa kita semuanya merupakan hamba Tuhan. Berada di bawah pemilikannya. Tuhan tidak akan sekali-kali memudaratkan hamba-hambaNya. Dari itu, kalimat suci tersebut, sebenarnya merupakan panduan untuk sentiasa berfikiran positif. Lebih-lebih lagi di saat ujian datang melanda.

Saudaraku,

Semangat juang dan positif ini dapat menghasilkan beberapa kesan yang baik pada diri kita. Pertama: Seorang yang positif dapat menerima sebarang perubahan dengan hati yang terbuka. Beliau redha dengan sebarang ketentuanNya. Beliau turut meyakini bahawa setiap sesuatu itu mempunyai hikmah disebaliknya.

Kedua: Seorang yang positif sentiasa prihatin dengan keadaan orang di sekelilingnya. Semangat juangnya turut mendorongnya membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Perhatikan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang meringankan suatu kesusahan seorang Mukmin di dunia, Allah s.w.t. akan meringankan kesusahannya pada Hari Kiamat. Barangsiapa yang memudahkan urusan seseorang yang menghadapi kesulitan, Allah s.w.t. akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Saudaraku,

Sungguh pantas masa berlalu, kita telah pun memasuki bulan Zulhijjah yang mulia. Maka marilah sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadah dan amal soleh. Semoga melaluinya, Allah s.w.t. akan mengurniakan kepada kita rahmatNya dan jalan keluar bagi ujian ini. Marilah bersama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana kita masih lagi dikurniakan peluang dan kesempatan untuk beribadah kepadaNya, meskipun terdapat beberapa langkah penyesuaian yang perlu diambil. Inilah usaha, perjuangan dan pengorbanan kita untuk membendung penularan wabak ini. Tambahan dari itu, berikanlah sokongan dan dorongan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan sama ada dari sudut moral atau material. Kita saling memerlukan sokongan antara satu sama lain kerana kita semua melalui ujian ini bersama.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita hati yang teguh dan sentiasa yakin akan bantuan dariNya. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menerima segala usaha dan perjuangan kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلِذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.