collections khutbah Reda – mengemudi kesusahan dan kemudahan
Reda – mengemudi kesusahan dan kemudahan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

26 Mei 2023 / 6 Zulkaedah 1444H

Reda – mengemudi kesusahan dan kemudahan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Iaitu dengan memenuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan keteguhan iman kita ini dapat kita mengemudi layar kehidupan dengan penuh keberkatan-Nya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Saudaraku,

Di dalam kehidupan ini kadangkala terdapat kesukaran, dan pada masa yang lain datangnya kesenangan. Kesusahan dan cabaran pasti wujud dalam kehidupan seharian. Kesusahan merupakan asam garam kehidupan.

Sebahagian insan diuji dengan kesihatan. Ada yang diuji dengan ahli keluarga yang sudah lama tidak bertegur sapa. Tambahan pula dengan masalah global yang dihadapi sekalian insan, seperti kemelesetan ekonomi. Ia boleh menjejas mutu kehidupan seseorang. Ada yang terjejas dengan kehilangan pekerjaan, maka berhadapan dengan cabaran sehinggakan untuk memenuhi keperluan asas keluarga. Masalah yang datang bertubi-tubi ini boleh membawa kepada isu yang lebih rumit.

Sebuah tinjauan daripada kajian yang diterbitkan oleh pakar psikologi, pada tahun 2018 mendapati, terdapat kaitan antara masalah kemurungan dan keterbatasan pada pendapatan seseorang.

Walaupun kita semua ini akur akan segala ujian ini, dan bagaimana ia merupakan suatu lumrah yang tidak dapat dielak. Namun, sebagai orang Mukmin, bagaimanakah kita dapat mengemudi kesusahan dan cabaran kehidupan?

Perhatikan firman   
Allah dalam surah At-Taghabun ayat ke 11:

Yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Saudaraku,

Ayat yang dibacakan tadi memberi panduan yang begitu penting. Bagaimana segala ujian yang menimpa merupakan penetapan dari Tuhan. Dan Allah (s.w.t) akan memandu hati mereka yang beriman, sama ada untuk bersabar, serta diberinya jalan keluar dan huraian. Bagi mereka yang terus beriman, keyakinannya terhadap Tuhan pasti dipertingkat, urusan kehidupannya dipermudahkan, serta hatinya dikurniakan ketenangan dan keamanan. Ini kerana setiap ujian yang kita hadapi, ia merupakan bukti cinta Tuhan buat hamba-Nya.

Perhatikan hadis Nabi (s.a.w.) yang berbunyi: “Sesungguhnya pahala besar untuk ujian yang besar. Dan sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian untuk mereka. Barangsiapa yang reda, maka ia yang akan meraih keredaan Allah. Barangsiapa siapa yang tidak suka, maka Allah murka padanya.” (Hadis riwayat Imam Ibn Majah).

Saudaraku,

Tambahan dari itu, keimanan sahaja tidak mencukupi. Kita sebagai seorang beriman perlu berusaha. Kerana keimanan yang sebenarnya, seharusnya diiringi dengan usaha yang berterusan. Mencari jalan penyelesaian serta membuat perancangan yang teliti.

Contohnya, jika kita berhadapan dengan masalah kurang perbelanjaan. Maka orang mukmin tidak akan berpeluk tubuh, menanti huraian datang bergolek. Akan tetapi, dia akan bergerak mencari jalan. Sama ada dengan mengurus kewangan dengan lebih baik. Mengatur perbelanjaan, dengan mengutamakan keperluan atas keinginan. Dan perkara ini perlu diselarikan dengan kesabaran. Kesabaran dalam mengawal nafsu kita, keinginan kita dan sebagainya. Inilah yang dinamakan sebagai mujahadatun-Nafs ataupun perjuangan melawan hawa nafsu.

Rasulullah (s.a.w) bersabda di dalam sebuah hadis:

الْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ

Yang bermaksud: Orang yang berjihad ialah orang yang berjuang melawan nafsunya.” (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi).

Saudaraku,

Ujian yang datang melanda, sebenarnya merupakan rahmat dari illahi. Di sebaliknya mengandungi hikmah dan pengajaran yang amat berharga. Maka orang mukmin yang sejati, berusaha untuk bangkit daripada mana-mana ujian kehidupan dengan pengajaran-pengajaran. Agar dapat beliau memperbaiki dirinya, serta memperbaiki situasinya.

Begitulah yang dinyatakan oleh Junjungan Tercinta, Nabi Muhammad (s.a.w), tentang ciri dan sifat seorang mukmin. Yang mana seharusnya setiap individu mukmin yang mana jiwanya terbentuk dengan pendidikan keimanan, beliau ini merupakan insan yang bijak. Sehinggakan Nabi (s.a.w) berkata beliau tidak akan buat kesilapan yang sama buat kali yang kedua. Kerana beliau mempelajari hikmah di sebalik setiap kejadian dan ujian.

Semoga Allah (s.w.t) memberi kita semangat serta kekuatan untuk menempuhi ujian-ujian kehidupan ini dengan tenang dan menguatkan lagi iman kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.