collections khutbah Ramadan: Ke Arah Transformasi Mukmin
Ramadan: Ke Arah Transformasi Mukmin

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

20 Februari 2026 / 2 Ramadan 1447H

Ramadan: Ke Arah Transformasi Mukmin

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Perkukuhkanlah ketakwaan dalam keadaan kita menghirup udara Ramadan yang penuh barakah ini. Semoga kita menjadi golongan yang benar-benar bertakwa di sisi Allah s.w.t.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Kita bernafas dan bernyawa pada hari ini, di bulan Ramadan tahun ini, walaupun tiada jaminan kita berjumpa esok hari. Tidak dinafikan, ia adalah satu nikmat agung dari Ilahi; satu lagi peluang keemasan untuk kita menempah kejayaan yang berkekalan di sisi Rabbul ‘Izzati.

Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadan ini Ramadan yang terbaik yang pernah kita lalui. Ramadan yang bakal memberatkan neraca amalan kita, menjadikan kualiti dan kuantiti amalan kita seluas langit dan bumi.

Ya tuan-tuan, seluas langit dan bumi, sekiranya ia benar-benar dimanfaatkan oleh mukmin yang celik hati, seperti yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadis sahih riwayat Ibn Majah.

Saudara yang dirahmati Allah,

Pada permulaan bulan Ramadan ini, ramai yang masih menyesuaikan diri, dengan ketiadaan makan dan minum di siang hari, ditambah pula dengan terik mentari. Tidak dinafikan, ibadah puasa memerlukan kesabaran. Rasulullah s.a.w. juga bersabda dalam sepotong hadith riwayat Imam At-Tirmizi yang bermaksud: “Ibadah puasa adalah separuh kesabaran.”

Apakah kaitan ibadah puasa Ramadan dengan nilai kesabaran? Untuk menjawab soalan ini, ayuh perhatikan penjelasan seorang alim bernama Abū ‘Abdillāh al-Ḥalīmī asy-Syāfi’ī yang hidup pada kurun ke-4 hijrah. Dalam kitabnya al-Minhāj fī Syu’ab al-Īmān, beliau menjelaskan bahawa setiap ibadah melibatkan antara 2 perkara: melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu.

Apabila seseorang berpuasa, dia mengekang nafsu keinginannya, meninggalkan syahwatnya, maka itu adalah salah satu bentuk kesabaran. Manakala apabila seseorang itu bersungguh-sungguh dalam melakukan tuntutan dan perintah Allah, itu merupakan satu lagi bentuk kesabaran.

Oleh itu, boleh kita rumuskan bahawa bulan Ramadan ini adalah bulan yang melatih kesabaran. Pada siang harinya, kita dididik untuk bersabar mengawal nafsu makan, minum dan apa sahaja yang menjejas ibadah puasa kita. Pada malam harinya pula, kita juga dididik untuk bersabar dalam mengisikannya dengan amalan yang diajarkan seperti bertadarus dan mendirikan solat malam (qiyamullail).

Di sini, terserlah potensi bulan Ramadan sebagai pencetus transformasi mukmin. Ini boleh tercapai menerusi dua cara:

Pertama: Memupuk sifat bertanggungjawab

Ibadah puasa melatih kita untuk lebih berhemah dan bersifat bertanggungjawab, dengan penuh kesedaran bahawa Allah s.w.t mengetahui setiap gerak-geri kita.

Saudaraku, pada siang bulan Ramadan, kita cuba mengawal nafsu daripada perkara yang membatalkan puasa, seperti menjamu makanan yang tersedia di depan mata, walaupun ia halal. Jika kita renungkan, tidakkah latihan ini sepatutnya memudahkan kita untuk meninggalkan perkara yang jelas haram pada pandangan syarak?

Latihan bersabar seharusnya membantu kita mengurus nafsu amarah, sikap boros dan tamak yang merosakkan. Usah hanya membiarkan nafsu makan kita yang kelaparan, sedangkan keinginan dan kerakusan kita terus kekenyangan.

Kedua: Memperhalusi akhlak luaran

Sifat sabar yang dipupuk dalam ibadah puasa seharusnya menjadikan kita lebih berhati-hati dalam tutur kata dan perbuatan. Kita lebih peka dalam percakapan, tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, dan tidak menyampaikan khabar yang tidak pasti kesahihannya jika ia boleh mencetuskan fitnah.

Ramadan mengajar kita untuk menanam kesabaran dalam setiap interaksi, membina empati dan mengutamakan kebaikan dalam setiap hubungan. Dengan ini, akhlak luaran kita menjadi cerminan iman yang suci. Ia tidak hanya tersemat pada ibadah peribadi, namun terpancar juga pada akhlak dan budi pekerti. Inilah ciri-ciri mukmin sejati.

Sidang hadirin sekalian,

Marilah kita melayari Ramadan ini dengan penuh kesedaran iman. Bukan hanya menahan kelaparan dan kehausan. Berikan juga tumpuan pada transformasi diri dan penambahbaikan.

Semoga Allah s.w.t. mengampunkan dosa-dosa kita, dan memberkati usia dan amalan kita.

Khutbah Kedua