collections khutbah Ramadan: Bulan Memperhalusi Jiwa
Ramadan: Bulan Memperhalusi Jiwa

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

1 May 2020M / 8 Ramadan 1441H

Ramadan: Bulan Memperhalusi Jiwa

 

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Teruslah bertakwa kepada Allah, dengan melatih hati kita berusaha mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala tegahanNya.

Seminggu sudah kita menyambut Ramadan yang mulia ini, saudara-saudara sekalian. Sudah seminggu juga kita melalui pengalaman yang tidak pernah kita lalui sebelum ini, iaitu melaksanakan ibadah Ramadan di rumah sendiri sahaja bersama keluarga. Namun saya berharap, bahawa ini tidak sedikit pun mengurangkan nilai dan penghayatan ibadah kita di dalam bulan Ramadan ini.

 

Nikmat yang Allah kurniakan kepada kita masih banyak dan luas.  Kesyukuran tetap perlu terus kita panjatkan. Pengabdian kita kepada Allah Yang Satu adalah di antara bukti syukur kita.  Bukan kerana Allah itu perlu kepada kesyukuran kita, sepertimana Allah tidak akan pernah menjadi lemah, rugi atau miskin jika kita engkar kepadaNya. Kerana Allah itu Maha Sempurna dalam kekayaan dan kekuasaanNya. Allah tidak perlu kepada kita. Sebaliknya, kita makhluk yang lemah ini yang selamanya perlu kepada rahmat dan kemurahan Allah.

 

Oleh itu, saudara, abdikanlah diri kita kepada Allah dengan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah kita untukNya, sebagai tanda kesyukuran kita yang tulus di atas segala kurniaanNya. Syukur yang kita panjatkan adalah untuk keperluan dan kebaikan kita sendiri. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Luqman, ayat ke-12:

 

Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Luqman hikmah, iaitu hendaklah engkau bersyukur kepada Allah.  Sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, adapun sesiapa yang engkar, maka sesungguhnya Allah itu kekal Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

 

Saudara-saudara yang diramati Allah,

Bulan Ramadan yang penuh dengan barakah dan kemuliaan ini adalah bulan yang dipilih Allah untuk kita isikan dengan pelbagai bentuk ibadah. Di dalam Islam, terdapat dua jenis ibadah. Ada ibadah yang khusus, yang ditetapkan peraturan, waktu dan cara pelaksanaannya yang tertentu, seperti solat, puasa yang sedang kita jalankan ini. Termasuk juga ibadah haji, zakat dan sebagainya.  Ada pula ibadah yang merupakan pengabdian yang umum, di mana apa sahaja perlakuan kita di dalam kehidupan kita ini diselarikan dengan apa yang dikehendaki dan diizinkan oleh Allah, demi mendapatkan keredhaanNya. Ini termasuklah bekerja, berniaga, menuntut ilmu, berumahtangga, menguruskan keluarga, menjaga keselamatan awam, memuliakan jiran, membantu orang susah, menjaga kebersihan dan kesihatan, memelihara silaturrahmi dan sebagainya. Semuanya adalah sebahagian daripada ibadah kita kepada Allah, jika dilakukan sesuai peraturan yang ditetapkan Allah, dengan niat yang ikhlas dan jiwa yang murni.

 

Oleh itu, saudara, amat penting sekali untuk kita menyedari bahawa dalam masa kita melaksanakan kewajipan berpuasa di dalam Ramadan ini, janganlah sampai kita terlepas pandang, menyangka seolah-olah hanya lapar dan haus itu sahaja ibadah kita, atau solat terawih dan witir sahaja, atau bersahur dan berbuka sahaja, atau berqiyamullail sahaja, atau bertadarus membaca al-Quran itu sahaja ibadah kita. Sebaliknya keseluruhan Ramadan ini adalah medan ibadah kita. Siang dan malam kita, sedar dan tidur kita, bicara dan diam kita, lapar dan kenyang kita, bergerak dan duduk kita. Semua itu seharusnya menjadi ibadah. Semua hukum Allah wajib dipatuhi, kerana hukum-hakam Allah itu tidak terbatas hanya kepada ibadah-ibadah yang khusus sahaja seperti yang saya nyatakan awal tadi.

 

Ini akan mampu kita lakukan jika kita mahu mendidik jiwa kita menjadi lembut dan murni daripada kekotoran.  Usah dibiarkan jiwa kita terus keras dengan dosa yang tidak kita kesalkan.  Maka rebutlah peluang bulan pengampunan ini untuk bertaubat kepada Allah dan memperbanyakkan istighfar.  Usah dibiarkan jiwa kita terus gersang dengan kebakhilan dan sifat mementingkan diri sendiri.  Maka indahkanlah bulan rahmat Allah ini dengan menghulurkan keihsanan demi melegakan kesempitan golongan yang memerlukan. Usah dibiarkan jiwa kita terus bergelap dalam kekecewaan akan kasih sayang Allah.  Ambillah kesempatan dari Ramadan ini untuk terus bersangka baik terhadap Allah, memperbanyakkan doa dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah tidak akan membiarkan kita tanpa kurniaan dan perlindunganNya.  Usah dibiarkan jiwa kita terus sempit kerana tidak pernah merindui alunan ayat-ayat Allah.  Maka hiasilah Ramadan bulan al-Quran ini dengan mendampingi Kitab Allah ini, dibaca ayat-ayatnya, direnung isi kandungannya.

 

Beruntung sekali kalau kita dapat melakukan perkara-perkara yang menjadikan jiwa kita suci dan murni sepanjang Ramadan ini. Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-Shams ayat 7-10:

 

Yang bermaksud: “Demi jiwa manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya, lalu Allah mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan juga ketaqwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya, dan sesungguhnya rugilah pula orang yang mengotorkannya.

 

Ayuh, saudara!  Kita semarakkan Ramadan kita dengan kesedaran dan penghayatannya yang sebenar, seperti yang diinginkan oleh Tuhan yang menghadiahkan kita Ramadan ini.  Masih banyak ruang dalam bulan Ramadan ini untuk kita mekarkan dengan kesegaran. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita taufikNya untuk mampu kita mengecapi kemanisan iman, keharuman syukur dan keluhuran ibadah sepenjang Ramadan ini. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.