Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
8 November 2024 / 6 Jamadil Awal 1446H
Pesanan Al-Quran Tentang Penjagaan Alam
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintahnya dan tinggalkan segala larangannya. Semoga kita peroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Amin.
Saudara yang dirahmati Allah,
Untuk menyahut seruan khutbah minggu lalu berkenaan tadabbur Al-Quran, mimbar pada hari ini mengajak hadirin sekalian merenung ayat-ayat suci Al-Quran berhubung dengan amanah kita sebagai pemelihara kelestarian alam semesta.
Hadirin sekalian,
Tahukah anda, sebagai manusia, kita ada pilihan untuk menjadi pemelihara atau pemusnah alam sekitar dan bumi ciptaan Allah ‘Azza wa Jalla? Ya, ini berdasarkan tadabbur kita pada ayat 30 surah Al-Baqarah:
Yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, ‘Aku akan meletakkan khalifah di bumi.’ Mereka (malaikat) berkata, ‘Apakah Engkau hendak menjadikan perosak dan (dia) yang menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan mensucikan nama-Mu?’ Dia (Allah) berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.’”
Para malaikat telah menjangka bahawa manusia berpotensi menjadi pemusnah bumi ini. Tetapi Allah meletakkan kepercayaan terhadap kemampuan kita sebagai khalifahnya yang mampu menjaga kelestarian bumi dan jagat raya ini. Ya, kita semua adalah khalifah yang sepatutnya mampu melihat amanah menjaga alam ini sebagai tuntutan akidah. Apakah hujjah atau bukti yang menyokong kenyataan ini? Ayuh, tadabbur atau renungkan ayat yang berikut. Firman Allah s.w.t.:
Yang bermaksud: “ (Tuhan yang bersifat demikian) itu ialah Allah Tuhan kamu, tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia, dan Dialah Pemelihara segala sesuatu.” (Surah Al-An’am ayat 102).
Ayat ini jelas memberi isyarat tentang akidah yang benar, iaitu menyembah Allah, Tuhan yang mencipta segalanya, termasuklah alam semesta. Penyembahan, dalam erti kata lain, bererti ibadat yang melepasi batasan tikar sembahyang atau amalan seperti bersedekah sahaja. Pada ayat ini, penghambaan kita dikaitkan juga dengan penciptaan Allah terhadap segala sesuatu. Kesimpulannya, penjagaan alam ciptaan Allah adalah antara cara kita menzahirkan pemahaman tentang tuntutan akidah.
Tanggungjawab sebagai khalifah ini adalah tanda kepercayaan Allah kepada kita, bahawa kita diberikan kudrat untuk mengelola alam dengan bijaksana. Namun, amanah ini juga merupakan ujian sejauh mana kita menghormati dan memelihara keindahan serta keseimbangan ciptaan-Nya.
Allah bukan hanya memberi manusia kuasa ke atas bumi, tetapi juga mengamanahkan kita agar tidak melakukan kerosakan dan memusnahkan alam sekeliling. Kita diciptakan bukan sekadar untuk hidup dan mengambil manfaat untuk diri sendiri. Kita sebenarnya memikul amanah besar dalam menjaga dan memakmurkan alam ini. Ini termasuk menjaga sumber air, tanah, tumbuh-tumbuhan, haiwan, yang semuanya adalah ciptaan Allah s.w.t.
Saudara yang dirahmati Allah,
Alam ini bukan sekadar ciptaan yang bersifat fizikal, tetapi ia merupakan sebuah kitab terbuka, agar kita baca dengan penyaksian yang membawa kita mengenal Allah, melalui kebesaran dan hikmah-Nya.
Apabila kita melihat keindahan dan kesempurnaan ciptaan alam, sesungguhnya kita sedang menyaksikan tanda kehebatan Allah s.w.t., maka ucapkan “Subhanallah!” Sebaliknya, apabila kita bersekongkol membawa kemusnahan alam, hakikatnya kita sedang mencemari bukti-bukti kehebatan ciptaan Allah s.w.t. Hal ini jelas menunjukkan kerakusan kita dan betapa kita tidak bersyukur dengan nikmat Allah yang melimpah ruah melalui ciptaan-Nya ini. Oleh itu, Islam menghendaki kita melihat semua makhluk Allah dengan penuh rasa hormat, tanggungjawab, dan takzim terhadap kebesaran Allah.
Di samping itu, Al-Quran berulang kali mengingatkan manusia untuk menghindari kerosakan atau fasad di muka bumi. Dalam Surah Al-A'raf ayat 56, Allah berfirman:
Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah Allah menciptakannya dengan baik.”
Saudara yang dirahmati Allah,
Kesedaran sebagai khalifah dan penjaga alam ini harus diterapkan dalam kehidupan seharian kita. Penjagaan alam menjadi amanah buat kita semua. Islam telah menggariskan prinsip-prinsip penting seperti kesederhanaan dan keseimbangan dalam setiap perkara. Prinsip ini mengajar kita bahawa setiap tindakan yang kita lakukan terhadap alam akan dinilai oleh Allah s.w.t.
Untuk menunaikan amanah ini dengan baik, marilah kita berusaha untuk mengambil langkah-langkah berikut:
Yang pertama: Ingatlah bahawa kita sekadar penjaga, bukan pemilik alam ciptaan Allah. Segala sesuatu yang ada di bumi adalah ciptaan Allah yang perlu dihormati, dihargai, dan dipelihara. Ya, kita berhak mengambil sekadar keperluan. Namun, kita juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa hak makhluk lain juga terpelihara. Ini termasuk memastikan bahawa persekitaran kita terjaga, dan alam kekal lestari untuk generasi yang seterusnya.
Yang kedua: Ambil tahu dan sebarkan maklumat tentang isu-isu alam sekitar. Ini termasuk soal perubahan iklim, pencemaran, kekurangan sumber alam dan sebagainya. Pengetahuan ini penting agar kita lebih berhemah dalam setiap tindakan kita. Fikirkan, bagaimana tindakan kita meninggalkan kesan kepada alam sekitar? Fikirkan juga, bagaimanakah cara hidup kita selama ini telah menyumbang kepada perubahan suhu dan iklim, yang kesannya dirasakan oleh diri sendiri?
Bayangkan, jika kehangatan jagat berterusan, kemungkinan peribadatan dan syariat kita terkesan sama. Barangkali satu masa nanti, kita lebih sukar menunaikan haji atau umrah disebabkan cuaca yang terlalu panas dan bahaya untuk kesihatan. Mungkin juga haiwan ternakan untuk ibadah korban berkurangan kerana terkesan dengan cuaca panas, kemarau, atau perubahan iklim di serata dunia.
Akhir sekali, ayuh, kita ambil pedoman dan peringatan daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya dunia ini indah dan subur, dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu sebagai khalifah di dalamnya, maka Dia melihat bagaimana kamu bertindak.” (Riwayat Muslim)
Semoga dengan ini, kita dapat menjadi umat yang bukan sahaja menjaga hubungan dengan Allah, tetapi juga memelihara alam ciptaan-Nya. Moga Allah s.w.t. memberi kita kekuatan dan kebijaksanaan untuk menunaikan amanah ini dengan sebaiknya.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.