collections khutbah Perancangan harta: Menjamin Kesejahteraan Keluarga
Perancangan harta: Menjamin Kesejahteraan Keluarga

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

19 November 2021 / 14 Rabiulakhir 1443H

Perancangan harta: Menjamin Kesejahteraan Keluarga

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan mengamalkan segala perintah Allah dan menjauhi segala yang ditegah-Nya. Semoga kita menjadi hamba Allah yang berjaya dunia dan akhirat.

Saudara dan saudari,

Perancangan adalah suatu perkara yang penting dalam kehidupan kita. Pengalaman mengajar kita bahawa setiap perkara yang dirancang akan berakhir dengan natijah yang baik. Bak pepatah: “Jika kamu gagal merancang, kamu merancang untuk gagal.” Apabila kita merancang, kehidupan kita akan menjadi semakin tersusun dan matlamat kita akan menjadi jelas.

Saudara dan saudari,

Jika kita lihat kepada sirah Rasulullah (s.a.w.), kita akan dapati bahawa Rasulullah (s.a.w.) adalah seorang yang sentiasa merancang sebelum melakukan sesuatu perkara dalam kehidupannya.

Sebagai contoh, perancangan teliti yang dilakukan Baginda (s.a.w.) dalam hijrahnya ke Madinah. Sebelum hijrahnya, Baginda (s.a.w.) menyediakan segala perkara yang diperlukan. Seperti membekalkan makanan, mendapatkan maklumat akan selok-belok perjalananan ke Madinah, dan sebagainya. Malah, Baginda (s.a.w.) juga memilih seorang sahabat yang benar-benar dapat menyokong serta menemaninya dalam perjalanannya. Iaitu Abu Bakar as-Siddiq (r.a.). Ini semua adalah usaha yang dapat menjamin keselamatan serta kejayaan hijrah Rasulullah (s.a.w.) ke Madinah.

Berpandukan panduan kenabian ini, para sahabat juga mengamalkan jejak langkah Nabi (s.a.w.) dalam membuat perancangan dalam kehidupan. Antaranya adalah Sa’ad ibn Waqqas (r.a.), salah seorang sahabat yang telah dijamin syurga.

Sa’ad ibn Abi Waqqas adalah seorang sahabat yang mempunyai harta yang banyak, lalu beliau merancang untuk menggunakan hartanya dengan sebaik mungkin. Maka beliau membuat keputusan untuk mewasiatkan segala hartanya di jalan Allah (s.w.t.) sebelum kewafatannya. Namun apabila beliau bertemu dengan Nabi (s.a.w.), Baginda menganjurkannya supaya tinggalkan sebahagian daripada hartanya untuk keluarganya. Nabi (s.a.w.) bersabda yang bermaksud: “… meninggalkan pewarismu dalam keadaan kaya, adalah lebih baik daripada kamu tinggalkan mereka dalam keadaan papa dan meminta-minta dari manusia lain...” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Perhatikan di sini saudara bagaimana Nabi (s.a.w.) mengajarkan kepada kita untuk sentiasa memikirkan serta merancang untuk kemaslahatan dan kebaikan keluarga terdekat. Meskipun menyerahkan harta kita kepada jalan Allah merupakan satu perkara yang sangat besar di sisi Tuhan, namun pada masa yang sama ia tidak bermaksud mengenepikan kemaslahatan keluarga sendiri. Ia merupakan suatu perkara yang dititikberatkan agama. Sebaliknya, kita seharusnya sentiasa inginkan yang terbaik buat keluarga kita, dengan menyediakan perkara-perkara yang utama, membantu mereka dalam kesusahan dan lain-lain lagi.

Ini selari dengan firman Allah (s.w.t.) di dalam an-Nisaa’ ayat 9:

 

Yang bermaksud: “Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika mereka pula meninggalkan anak-anak yang lemah di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).”

Saudara dan saudari,

Setiap di antara kita mempunyai keadaan serta kedudukan kewangan yang berbeza-beza. Keperluan sebuah keluarga tidak akan pernah sama dengan yang lain. Oleh itu, di sini letaknya kepentingan sikap bijak dalam membezakan antara perkara yang diketegorikan sebagai keperluan dan juga kemahuan atau kehendak.

Ini kerana apabila kita gagal menentukan keutamaan kita, ianya dapat mengakibatkan pembaziran dan kerugian yang besar  baik dari segi kebendaan, kewangan, tenaga dan bermacam lagi. Oleh itu, seharusnya kita mendahulukan keperluan-keperluan utama, seperti memberikan pendidikan setinggi mungkin kepada anak, perbelanjaan dan bil rumah, nafkah anak dan sebagainya.

Inilah sikap yang perlu dipupuk dalam diri kita. Agar kehidupan keluarga kita sentiasa berada dalam keadaan yang aman dan tenteram. Jauh daripada segala tekanan kewangan dan kerisauan.

Pada masa yang sama, saya juga ingin menegaskan dalam menyediakan keperluan keluarga, kita juga perlu berhati-hati dan jauhi sikap boros berbelanja ataupun berhutang. Belanjalah mengikut kemampuan masing-masing. Dan sekiranya anda mengenali mereka yang memerlukan bantuan kewangan, bantulah mereka dengan sumbangan ikhlas. Mudah-mudahan Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita ganjaran yang besar.

Marilah sama-sama kita memohon agar Allah (s.w.t.) memelihara  keluarga kita daripada sebarang keburukan, dan menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.  

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.