collections khutbah Peranan Seorang Bapa Dalam Kehidupan Anak-Anak
Peranan Seorang Bapa Dalam Kehidupan Anak-Anak

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

3 September 2021 / 25 Muharram 1443H

Peranan Seorang Bapa Dalam Kehidupan Anak-Anak

 

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita terus dapat membina keluarga kita dalam ketaatan dan ketekunan beribadah kepada Allah (s.w.t.).

Saudara dan Saudari,

Setiap di antara kita pasti mendambakan keluarga yang bahagia. Keluarga merupakan tempat pertama di mana nilai-nilai dan karakter seseorang itu dibentuk. Dengan adanya keluarga, kita dapat mencurahkan kasih sayang antara satu sama yang lain lalu menyuburkan dalam jiwa rasa tenang dan aman. Mengambil kira kepentingan tajuk ini, khutbah sepanjang bulan ini akan memberi penumpuan kepada beberapa tajuk berkaitan kekeluargaan.

Saudara dan Saudari,

Terdapat satu tema yang sering berulangan, sama ada di dalam al-Quran mahupun pada sunnah Nabi (s.a.w.). Ia berkaitan dengan kepentingan peranan bapa di dalam keluarga. Sebagai contoh, kisah Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail (a.s), Nabi Yaakob bersama Nabi Yusuf (a.s.).

Begitu juga dapat kita hayati pada kehidupan Nabi (s.a.w.) bersama anak-anak dan cucunya. Bagaimana Nabi (s.a.w.) walaupun dengan kesibukan sehariannya, sebagai utusan Allah, sebagai pemimpin masyarakat, sebagai imam, dan sebagainya. Baginda (s.a.w.) tetap memberi masa yang secukupnya untuk urusan ahli keluarga, serta meluangkan masa bersama anak-anaknya.

Kisah-kisah tersebut menunjukkan kepada kita kepentingan peranan seorang bapa dalam kehidupan anak dan ahli keluarganya. Dan bagaimana kadangkala, ia memerlukan kepada usaha dan tekad untuk melibatkan diri dalam kehidupan seharian anak-anak.

Muslimin dan Muslimat,

Kepentingan peranan bapa dalam kehidupan keluarga tidak dapat dinafikan lagi. Sehinggakan Allah (s.w.t.) berfirman dalam surah at-Tahrim, mendorong setiap Mukmin untuk meningkatkan usaha serta memelihara ahli keluarga daripada terjerumus di dalam dosa. Allah (s.w.t.) berfirman:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim: 6).

“Memelihara ahli keluarga daripada api neraka” bererti memberi kepada mereka panduan berterusan. Anak-anak kita memerlukan tunjuk ajar, nasihat dan bimbingan daripada ibu dan bapa, yang akan memandu mereka ke jalan yang diredai oleh Allah (s.w.t.). Sebagai seorang ayah, kita tidak hanya bertanggungjawab untuk memastikan makan, minum, pakaian, wang dan pembelajaran anak-anak dapat disediakan. 

Saudara dan Saudari,

Peranan seorang bapa dan keberadaannya dalam kehidupan anak-anak boleh menyumbang kepada perkembangan yang baik dalam diri anak-anak daripada pelbagai aspek. Saya meringkaskan beberapa panduan praktikal yang boleh kita usahakan.

Pertama: Untuk kita melibatkan diri dalam kehidupan anak-anak. Sama ada dengan melakukan sesuatu projek atau beriadah bersama. Dari sudut spiritual, lakukan solat berjemaah bersama anak-anak di rumah atau ajak mereka ke masjid. Luangkan masa untuk membaca al-Quran bersama dan bincangkan maksud ayat yang dibaca.

Kedua: Meningkatkan kesedaran melalui usaha mengetahui dan memahami cabaran kehidupan anak-anak dan perkembangan mereka. Seorang bapa yang prihatin akan selalu bertanya tentang perkembangan hidup anaknya. Dia tidak boleh hanya menyerahkan urusan hidup anaknya kepada pihak lain seperti sekolah atau isteri sahaja.

Ketiga: Dari aspek asuhan, seorang bapa hendaklah cuba untuk mendengar apa yang dikatakan anak-anak dengan meluahkan rasa kasih sayang dan memberi perhatian terhadap apa yang mereka cuba kongsikan. Jika mereka melakukan kesalahan, tegurlah mereka dengan penuh hikmah, bukan dengan menghamburkan kemarahan. Dengan usaha-usaha tersebut, anak-anak dapat membina keyakinan dalam diri untuk melakukan yang terbaik dalam hidup mereka.

Perhatikan panduan daripada Nabi (s.a.w.) berkaitan pemberian yang paling berharga seorang bapa boleh memberikannya kepada anak-anaknya. Nabi (s.a.w.) bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik daripada seorang bapa kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.”

Marilah sama-sama kita memperbaiki hubungan sesama kita. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita ketenangan serta kesejahteraan kehidupan berkeluarga sentiasa. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.