collections khutbah Peranan Ayah: Mengajak Kepada Kebaikan Kunci Kebahagiaan
Peranan Ayah: Mengajak Kepada Kebaikan Kunci Kebahagiaan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

9 Jun 2023 / 20 Zulkaedah 1444H

Peranan Ayah: Mengajak Kepada Kebaikan Kunci Kebahagiaan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Iaitu dengan memenuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t) menetapkan hati-hati kita di dalam ketaatan kepada-Nya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Setiap daripada kita mencari kebahagiaan. Kebahagiaan ketika menjalani kehidupan seharian, di alam pekerjaan dan sebagainya. Dan di antara sumber kebahagiaan yang paling bernilai yang kita miliki merupakan keluarga; pasangan kita, ibu ayah dan anak-anak. Namun, hakikat kebahagiaan dalam sebuah keluarga terhasil apabila hubungan tersebut terbina di atas landasan takwa. Itulah resipi kejayaan sebuah keluarga. Inilah yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Ismail (a.s.) seperti yang dikisahkan dalam Al-Quran.
Allah (s.w.t) berfirman di dalam surah Maryam ayat 55:

Yang bermaksud: “Dan ia -Nabi Ismail (a.s)- menyuruh keluarganya untuk mengerjakan solat serta memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya!”

Ayat yang dibacakan sebentar tadi menunjukkan keprihatinan Nabi Ismail (a.s) terhadap ahli keluarga beliau. Dengan mengajar dan mengajak keluarganya kepada kebaikan, beliau meraih keredaan Allah (s.w.t).

Saudara dan Saudari,

Imam Al-Sha’rawi menjelaskan bahawa Allah (s.w.t) mengkhususkan lafaz keluarga di dalam ayat -Iaitu Ahlahu- tersebut kerana ingin menekankan kepentingan menjaga ahli keluarga kita. Seseorang yang prihatin dan sayang akan keluarganya, akan beriltizam untuk mengajak kepada kebaikan serta memelihara keluarganya daripada sesuatu yang tidak diredai oleh Allah (s.w.t). Pastinya apabila kita menyayangi  seseorang, kita inginkan kebaikan buat beliau, sama ada di dunia mahupun di akhirat. 

Tidak dinafikan bahawa tugas untuk melindung keluarga daripada anasir-anasir yang tidak sihat ini bukan tugas yang mudah. Ia memerlukan usaha yang menyeluruh. Komitmen daripada ayah dan ibu dalam mendidik anak perlu sentiasa diberikan dalam apa jua keadaan. Ini jelas diajar oleh Baginda (s.a.w). Nabi Muhammad (s.a.w) membahagikan masa seharian beliau kepada 3 bahagian. Yang pertama, masa untuk Allah (s.w.t.). Ianya diisi dengan ibadah kepada-Nya. Yang kedua, masa untuk keluarga. Dan yang ketiga, masa untuk diri sendiri.

Baginda (s.a.w) mengetepikan satu pertiga daripada masa sehariannya untuk diluangkan bersama keluarga. Melayani mereka, menyantuni mereka dan berkhidmat kepada mereka. Ini jelas terakam di dalam sebuah hadis bilamana Sayyidah ‘Aisyah (r.a) ditanya tentang apa yang dikerjakan Nabi (s.a.w) ketika berada di rumah. Sayyidah ‘Aisyah menjawab, “Beliau selalu membantu keluarganya, jika datang waktu solat maka beliau keluar untuk melaksanakannya.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Begitulah komitmen Baginda (s.a.w) untuk keluarganya dan juga untuk agamanya. Walaupun Rasulullah (s.a.w) menggalas tugas yang begitu berat sebagai pembawa risalah Allah (s.w.t). Namun Baginda tidak pernah sekalipun mengabaikan tanggungjawab serta komitmen beliau buat keluarganya.  Ingatlah bahawa masa yang diluangkan buat keluarga juga merupakan sebuah ibadah yang dianjurkan oleh agama.

Saudara dan Saudari,

Komitmen seorang ayah kepada anak-anaknya adalah dengan meluangkan masa berkualiti bersama mereka. Kita juga boleh mengambil peluang daripada aktiviti-aktiviti keluarga yang disediakan oleh pihak masjid, ataupun agensi komuniti. Gunakan masa tersebut dengan sebaiknya. Rebutlah peluang tersebut untuk mengenal serta mengeratkan lagi ikatan keluarga. Apabila ikatan keluarga menjadi erat, anak-anak akan merasa senang serta tenang untuk meluahkan segala benak fikiran mereka. Begitu juga dengan segala masalah yang mereka hadapi di dalam kehidupan mereka. Ini adalah supaya seorang ayah dan ibu dapat mendidik anak dengan lebih efektif. 

Sebagai suami pula, kita perlu memberi komitmen kepada isteri kita juga. Berikan tumpuan yang sepenuhnya ketika kita sedang berada di sisi mereka. Kadangkala sebahagian individu terlalu sibuk dengan perkembangan di alam maya, seperti di media sosial. Sedangkan kehidupan sehariannya terjejas. Kerana terlalu sibuk dengan telefon bimbit sehinggakan mengabaikan hak pasangan.

Luangkan masa lapang berkualiti bersama. Ketahuilah bahawa urusan kekeluargaan adalah tanggungjawab bersama antara suami dan isteri. Inilah usaha kita untuk memperkukuhkan institusi keluarga kita. 

Sebagai seorang ayah kepada anak-anak dan juga suami kepada isteri kita. Berikan komitmen yang sepenuhnya untuk mengajak dan mengajar kepada kebaikan. Kerana pada akhirnya, kita bukan hanya inginkan keluarga kita bahagia di dunia. Akan tetapi kita inginkan kebahagiaan di syurga juga. 

Semoga Allah (s.w.t) memberikan kita kekuatan serta iltizam yang kukuh untuk terus menjalankan tanggungjawab kita kepada keluarga kita. Dan semoga Allah (s.w.t) terus melindungi kita serta keluarga kita dan memberikan kita kebahagian di dunia dan akhirat juga. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.