Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
4 Oktober 2024 / 1 Rabiul Akhir 1446H
Peningkatan dan Pemerkasaan Sosial
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Berlumbalah untuk melakukan kebaikan. Sokonglah anggota masyarakat yang memerlukan bantuan. Moga dengan itu, keutuhan masyarakat kita akan kekal terpelihara dan kesudahan kita di akhirat nanti lebih baik daripada kehidupan yang sementara ini. Amin.
Saudara yang dirahmati Allah,
Khutbah minggu ini ingin mengajak sidang jemaah berganding bahu menuju ke arah kemajuan, sambil memberikan perhatian yang sewajarnya kepada golongan yang memerlukan sokongan.
Saudaraku, sebagai seorang insan yang sering melakukan kesilapan, terkadang kita terjebak dengan tipu-daya syaitan. Ada kalanya, kita merasakan diri kita lebih baik atau lebih berjaya daripada orang lain. Atau kita lebih banyak menyumbang berbanding orang lain.
Hadirin sekalian,
Sila dengarkan sepotong hadis riwayat Imam an-Nasa’i, bahawa seorang sahabat Rasulullah s.a.w. pernah terdetik di dalam hatinya perasaan bahawa beliau lebih baik daripada sahabat nabi yang lain. Lalu, dengan hikmah, Rasulullah s.a.w. menegurnya dengan sabdanya:
Maksudnya: “Sesungguhnya, Allah membantu umat ini melalui golongan yang lemah di kalangan mereka – menerusi doa, solat, dan ketulusan mereka.”
Dengan latar belakang yang berbeza, setiap dari kita memainkan peranan yang sama penting dalam mencapai kejayaan sebagai sebuah masyarakat. Tidak ada seorang pun di antara kita yang boleh mendabik dada dan mendakwa dirinya lebih baik atau lebih penting daripada orang lain. Rujuk kembali hadis yang dibacakan tadi. Bantuan Allah tidak hanya datang melalui usaha orang yang berkebolehan dan berkemampuan sahaja. Tidak kurang penting, ia juga terhasil melalui keikhlasan hati orang-orang yang memerlukan di kalangan kita.
Saudara yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, masyarakat Islam kita hari ini sering dikaitkan dengan pelbagai kemajuan dan kejayaan. Kita telah menunjukkan kemajuan yang membanggakan dalam bidang pendidikan, ekonomi, dan kini, semakin ramai yang menceburi sektor profesional. Kita wajar berasa senang dan bersyukur atas pencapaian warga Muslim tempatan. Apakan tidak, kita yakin bahawa semua ini adalah rezeki yang datang daripada Allah sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Ash-Shura, ayat 12:
Yang bermaksud: “Milik-Nya adalah (segala) perbendaharaan langit dan bumi. Dia melapangkan rezeki dan membataskannya bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Sungguh, Dia Maha Mengetahui akan segala sesuatu.”
Pada masa yang sama, kita juga akur bahawa masih lagi ada cabaran-cabaranyang masih membelenggu masyarakat kita. Sebagai contoh, kita masih belum benar-benar mengatasi masalah kesihatan. Begitu juga, isu kadar pemenjaraan, salah laku juvenil, kelahiran anak di luar pernikahan, dan isu-isu sosio-ekonomi yang terus hangat diperbincangkan.
Isu-isu ini lebih melibatkan golongan rentan (vulnerable) di kalangan individu, keluarga dan masyarakat awam. Namun, kita semua harus berasa tanggungjawab untuk meningkatkan daya tahan sekaligus memperkasa masyarakat kita.
Saudara yang dirahmati Allah,
Untuk mencapai kemajuan dan memperkasa masyarakat, khutbah pada hari ini mengajak kita semua untuk melakukan dua perkara berikut:
Yang pertama: Berikan perhatian kepada golongan rentan di kalangan masyarakat. Dekatilah mereka. Pandanglah mereka dengan pandangan rahmah. Fahami cabaran yang mereka hadapi. Jangan merendahkan atau meremehkan isu-isu yang mereka sedang berusaha menyelesaikannya.
Sebaliknya, lihatlah isu-isu ini sebagai peluang penambahbaikan bagi kita sebagai sebuah masyarakat. Dengan memupuk sikap empati dan kesatuan, setiap individu akan merasa dihargai sekaligus meningkatkan daya tahan mereka dalam mengatasi cabaran. Perhatikan juga sepotong hadis yang bermaksud: ‘Tidak beriman seseorang di antara kamu hingga dia mencintai bagi saudaranya apa yang dia cintai bagi dirinya sendiri.’” (HR. Bukhari dan Muslim)
Yang kedua: Berikan sokongan semampunya. Ini boleh dilakukan secara langsung, terutama terhadap mereka yang kita kenali. Sebagai contoh: bertanya khabar tentang keadaan kenalan atau kaum kerabat sendiri, mengambil tahu tentang cabaran yang mereka sedang hadapi, dan menghulurkan bantuan dengan cara yang sesuai dan semampunya. Sokongan juga boleh diberikan menerusi usaha kemasyarakatan dan memberikan sumbangan kepada badan-badan sosial.
Bagi individu yang dikurniakan rezeki berupa keselesaan hidup, marilah bersama-sama menyingsing lengan dengan memberikan masa dan perhatian terhadap cabaran yang dihadapi oleh anggota masyarakat kita. Sabda Nabi s.a.w.: “Barangsiapa meringankan kesusahan saudaranya, nescaya Allah akan meringankankan kesusahannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Bagi individu dan keluarga yang masih lagi diuji oleh Allah s.w.t. dengan cabaran-cabaran kehidupan dunia, teruskanlah berusaha untuk memperbaiki keadaan. Di samping itu, teruskan berdoa dengan penuh keikhlasan dan keyakinan. Semoga Allah terus mengurniakan bantuan dan kejayaan bagi masyarakat kita berkat doa-doa tulus yang dipanjatkan pada setiap masa.
Saudara yang dikasihi Allah,
Apa sahaja kejayaan yang kita kecapi, sedarlah pada hakikatnya kita semua adalah fakir dan amat memerlukan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. Firman-Nya di dalam Surah Fatir, ayat ke 15:
Yang bermaksud: “Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah; sedangkan Allah-lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, pandanglah kami dengan pandangan kasih rahmat-Mu. Ya Rauf Ya Latif, kasihanilah kami, dan janganlah Engkau uji kami dengan sesuatu yang lebih daripada kemampuan.kami Ya Muallifal Qulub, satukanlah hati-hati kami, supaya kami dapat terus mengangkat tangan memanjatkan kesyukuran kepada-Mu. Jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Amin ya Rabbal Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.