collections khutbah Pengajaran Daripada Peristiwa Israk Mikraj
Pengajaran Daripada Peristiwa Israk Mikraj

 


 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 January 2025 / 24 Rejab 1446H

Pengajaran Daripada Peristiwa Israk Mikraj

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dengan sebenar-benar ketakwaan. Laksanakan segala perintah-Nya, dan hindari segala tegahan-Nya. Binalah kekuatan diri sebagai Mukmin melalui sifat sabar dan ibadah solat. Moga dengan ini, Allah s.w.t. memberikan kita kemuliaan di dunia dan di akhirat. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tahukah saudara sekalian, peristiwa apakah yang mensabitkan Sayyidina Abu Bakar r.a. dengan gelaran “As-Siddiq?” Menurut para ulama, antara peristiwa utama yang memperkukuhkan status Abu Bakar r.a. sebagai “As-Siddiq”, yakni “yang sentiasa membenarkan” atau “yang sentiasa mempercayai”, adalah peristiwa Israk dan Mikraj. Apakah sebabnya?

Saudaraku,

Perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa, seterusnya menjangkaui tujuh petala langit dalam satu malam, adalah sesuatu yang tidak mudah diterima oleh pemikiran logik. Sehinggakan, diriwayatkan bahawa pada ketika itu, terdapat sebilangan orang telah meninggalkan Islam kerana menolak kebenaran peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Namun, tanpa sedikit pun kesangsian, Sayyidina Abu Bakar r.a. menzahirkan keyakinannya pada khabar tersebut, sekaligus membuktikan keimanannya kepada Rasulullah s.a.w.

Allah s.w.t. berfirman dalam ayat pertama Surah Al-Isra’:

Yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad s.a.w.) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”

Saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan bukti kekuasaan Allah s.w.t. dan mukjizat Rasulullah s.a.w. Ia memperlihatkan rahmah dan kasih sayang Allah terhadap Rasul-Nya yang tercinta. Ia berlaku pada masa sukar yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. Dalam tempoh yang singkat, baginda s.a.w. kehilangan dua tunggak sokongan dakwah dan emosi baginda, iaitu isterinya, Sayyidatina Khadijah r.a., dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Tanpa kedua sosok utama ini, agenda dakwah Rasulullah s.a.w. di Makkah semakin rumit. Tiada lagi perlindungan dari Abu Talib untuk menghalang ancaman Quraisy terhadap baginda, dan tiada lagi sokongan emosi dari Sayyidatina Khadijah r.a. untuk mendakapnya saat baginda mengalami kesedihan dan kekecewaan. Baginda s.a.w. cuba menyebarkan dakwahnya di Taif pula, namun ditolak mentah-mentah.

Di saat setiap pintu harapan seakan-akan tertutup baginya, Allah memberikan Rasulullah s.a.w. sebesar-besar kemuliaan menerusi peristiwa Israk dan Mikraj. Dari Makkah, baginda Rasulullah s.a.w. dibawa ke tempat perhimpunan para nabi, iaitu Masjid Al-Aqsa, sebelum baginda dimikrajkan melepasi tujuh petala langit, dan berbicara secara langsung dengan Sang Pencipta. Di sinilah, Allah s.w.t. mensyariatkan ibadah solat lima waktu bagi kita, umat Nabi Muhammad s.a.w.

Saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Terlalu banyak iktibar yang boleh kita perolehi daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini. Antaranya, keutamaan sifat sabar, dan keyakinan bahawa di sebalik setiap kesukaran, pasti terdapat kemudahan dan hikmah yang mungkin kita tidak ketahui.

Pada kesempatan ini, mimbar ingin memberikan tumpuan kepada satu iktibar utama daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini, iaitu nilai solat lima waktu dalam kehidupan seorang Muslim.

Saudara sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Israk dan Mikraj memberikan iktibar, bahawa solat yang kita dirikan lima kali dalam sehari, adalah satu-satunya ibadah yang disyariatkan di langit yang tertinggi. Dan kerana rahmat dan kasih sayang Allah begitu ketara kepada kita, umat Nabi Muhammad s.a.w., ibadah yang pada asalnya diwajibkan sebanyak 50 kali dalam sehari, dikurangkan kepada 5 kali sehari, sedangkan pahalanya kekal sama.

Ia merupakan anugerah Allah s.w.t. kepada sekalian hamba-Nya, dikirimkan melalui Nabi Muhammad s.a.w., ketika baginda berbicara dengan Tuhan Rabbul ‘Alamin, pada hari-hari yang paling sukar dalam hidupnya. Ia mengisyaratkan kepada kita, bahawa ibadah solat perlu menjadi sandaran setiap Muslim. Ia memberikan ketenangan dan kekuatan di kala susah dan senang, tatkala gembira mahupun kecewa.

Saudaraku sekalian,

Walaupun kita sendiri tidak melalui perjalanan yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w., namun Allah s.w.t. telah mengundang kita untuk berbicara dengan-Nya, mengadu, dan meluahkan segala isi hati kita kepada-Nya, melalui ibadah solat yang kita lakukan setiap hari.

Sekiranya Rasulullah s.a.w. dijemput berbicara dengan Allah s.w.t. dalam peristiwa Israk dan Mikraj, kita pula bertandang kepada Allah dan berada paling hampir dengan-Nya dalam solat kita. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Seorang hamba adalah paling hampir dengan Tuhan-Nya saat dia bersujud, maka perbanyakkanlah berdoa apabila bersujud.”  (Riwayat Muslim)

Saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam memperingati peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita wajar renungkan, adakah ibadah solat yang kita lakukan setiap hari menjadikan kita seorang Muslim yang lebih tenang, lebih baik, lebih kuat dan cekal jati diri? Ataupun masih lagi ada ruang untuk diperbaiki, dari segi kekhusyukan dan penghayatan di  hati? Sama-samalah kita renung penghayatan kita terhadap ibadah yang paling dasar dan  utama dalam hidup kita sebagai Muslim ini.

Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita hamba-hambaNya yang benar-benar menjadikan ibadah solat sebagai sandaran, istiqamah melaksanakannya dalam setiap keadaan, dan melaluinya, kita mendapatkan kemuliaan dan kejayaan. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ارْحَمْنَا وَارْحَمْ وَالِدِينَـا وَارْحَمْ أُمَّةَ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ وُلَاةَ أُمُوْرِنَا، وَوَفِّقْهُمْ لِمَا فِيْهِ صَلَاحُ الأُمَّةِ أَجْمَعِينَ. اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا، وَارْفَعْ مَقْتَكَ وَغَضَبَكَ عَنَّا، وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ وَلَا يَرْحَمُنَا، وَحَوِّلْ حَالَنَا إِلَى أَحْسَنِ الْأَحْوَالِ، وَفَرِّجْ مَا نَزَلَ بِنَا مِنَ الْأَهْوَالِ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ هَذَا البَلَدَ وَسَائِرَ البِلَادِ عَامَّةً آمِناً مُطْمَئِناًّ سَخَاءً رَخَاءً بِقُدْرَتِكَ يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّةَ وَفِي فِلِسْطِينَ، وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.