Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
17 January 2025 / 17 Rejab 1446H
Pengajaran Daripada Hijrah Pertama ke Habsyah
Zumratal Mukminin Rahimakumullah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Mintalah bantuan Allah, dan sandarkan harapan kepada-Nya. Moga kita terus mendapatkan perlindungan dan petunjuk Allah dalam setiap urusan kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada bulan Rejab yang mulia ini, telah berlaku dahulu satu peristiwa penting dalam sejarah Islam. Ia berkaitan peristiwa hijrah pertama umat Islam, bukan ke Madinah seperti yang biasa kita dengar, tetapi ke sebuah negara bernama Habsyah (Ethiopia).
Saudaraku,
Perjalanan Rasulullah s.a.w. menyampaikan risalah Islam tidak sunyi dari ujian dan kepayahan. Walaupun baginda s.a.w. dikenali sebagai seorang yang jujur dan sentiasa berkata benar. Namun selepas menerima wahyu, dan diangkat menjadi seorang nabi dan rasul, baginda s.a.w. dicaci, dihina, malah diancam oleh kaumnya sendiri.
Begitu juga nasib para sahabat yang terlebih dahulu beriman dengan Rasulullah s.a.w. Antaranya, Bilal bin Rabah, Khabbab bin Al-Arat, dan keluarga ‘Ammar bin Yasir r.a. Mereka menjadi mangsa penyeksaan semata-mata kerana beriman kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa.
Melihat keadaan ini, Rasulullah s.a.w. mengizinkan para sahabat untuk berhijrah dari Makkah ke Habsyah, demi memelihara keselamatan mereka. Menurut baginda s.a.w., Habsyah diperintah oleh seorang raja yang adil dan tidak berlaku zalim. Ini memberikan jalan keluar bagi para sahabat untuk dapat mengamalkan Islam dalam suasana yang lebih aman.
Hadirin sekalian,
Penghijrahan ke Habsyah tidak wajar dilihat sebagai tanda berputus asa dan tidak bertawakal kepada Allah. Sebaliknya, hijrah ini memerlukan iman dan keyakinan yang cukup tinggi, pergantungan kepada Allah, serta hikmah dalam mengatasi cabaran.
Saudara yang dirahmati Allah,
1400 tahun yang lalu, kedudukan seseorang dalam masyarakat bergantung kepada status keluarga, suku kaum, dan ikatan antara kabilah di sesuatu tempat. Dengan berhijrah meninggalkan kesemua ini, para sahabat telah mempertaruhkan kedudukan, harta dan keselamatan diri. Dengan serta-merta, mereka kehilangan sebarang bentuk kekayaan, status, dan perlindungan.
Di sinilah terkandung pengajaran pertama bagi kita, iaitu kebergantungan atau tawakkal kepada Allah.
Dalam mengatasi cabaran dan menghadapi masa depan yang tidak pasti, keimanan Rasulullah s.a.w. serta para sahabat r.a. tidak pernah luntur. Mereka ditimpa kesusahan yang seakan-akan tiada penghujung, namun mereka pasti bahawa Allah jualah yang berkuasa meleraikan kesusahan tersebut.
Inilah sikap yang patut kita contohi apabila berdepan dengan sesuatu cabaran atau suasana yang tidak menentu, sama ada dalam urusan peribadi atau kehidupan masyarakat. Kita harus berusaha sedaya upaya untuk mengatasi sesuatu kesempitan. Pada masa yang sama, kita tetap yakin dan meletakkan harapan bahawa Allah s.w.t pasti akan memberikan jalan keluar bagi setiap kesusahan yang kita hadapi.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ahzab ayat ke-3:
Yang bermaksud: “Dan berserahlah kepada Allah; dan cukuplah Allah sebagai Pentadbir urusanmu.”
Saudara sekalian,
Tidak lama selepas para sahabat disambut baik oleh Raja Najasyi di Habsyah, kaum Quraisy menghantar sekumpulan delegasi untuk menghasut raja, dan memburuk-burukkan para sahabat Rasulullah s.a.w. di hadapan raja. Mereka dituduh sebagai golongan yang menimbulkan banyak masalah. Para sahabat juga difitnah menghina agama yang dianuti Raja Najasyi pada ketika itu.
Di kalangan para sahabat, Sayyidina Ja’far bin Abi Talib r.a. menghadapi tuduhan itu dengan penuh hikmah. Beliau tidak membalas dengan meninggikan suara atau menggunakan bahasa yang kasar. Sebaliknya, beliau menjelaskan nilai-nilai baik yang menjadi gagasan ajaran Islam, seperti berkata benar, menghormati tetangga, dan tidak menumpahkan darah (benci pada permusuhan dan kezaliman).
Tanpa membelakangkan keimanannya, Sayyidina Ja’far r.a. berjaya menyangkal fitnah yang didalangi oleh Quraisy. Beliau mengambil hati Raja Najasyi melalui sifat keadilannya, serta mempertahankan hak umat Islam melalui nilai-nilai yang dikongsi bersama.
Di sini terkandung pengajaran kedua dari peristiwa ini, iaitu mengatasi cabaran dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Tuan-tuan, hari ini, umat Islam di seluruh dunia masih lagi berdepan dengan cabaran persepsi yang tidak tepat terhadap agama. Ada yang menuduh Islam sebagai agama yang mundur, menggalakkan kebencian, menindas hak wanita dan sebagainya. Sebagai Mukmin, bagaimanakah kita dapat mengatasi cabaran ini?
Saudaraku, di sinilah peluang untuk kita bermuhasabah, sama ada kita benar-benar mencerminkan nilai-nilai sebenar Islam dalam setiap tindak-tanduk kita. Bayangkan, sekiranya setiap Muslim mencerminkan keindahan Islam melalui perbuatan dan keperibadiannya, tidakkah ini dapat memperbetulkan dan memperbaiki tanggapan terhadap Islam? Selebihnya, hanya Allah s.w.t. yang memberi hidayah dan membuka hati sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Peristiwa hijrah pertama ke Habsyah ini sarat dengan pengajaran dan nilai-nilai buat kita. Antaranya, kita perlu terus meletakkan keyakinan kepada Allah, walaupun dalam menghadapi kesempitan atau ketidakpastian. Kita juga perlu mengambil sikap hikmah dalam mencari penyelesaian dan mengatasi cabaran, di samping memaparkan keperibadian mulia seorang mukmin sejati.
Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita hikmah dan kebijaksanaan, serta menetapkan keimanan dalam hati kita, dalam melayari hari-hari yang akan datang. Ya Allah! Kurniakanlah hidayah dan petunjuk-Mu hingga ke akhir hayat kami. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ارْحَمْنَا وَارْحَمْ وَالِدِينَـا وَارْحَمْ أُمَّةَ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ وُلَاةَ أُمُوْرِنَا، وَوَفِّقْهُمْ لِمَا فِيْهِ صَلَاحُ الأُمَّةِ أَجْمَعِينَ. اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا، وَارْفَعْ مَقْتَكَ وَغَضَبَكَ عَنَّا، وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ وَلَا يَرْحَمُنَا، وَحَوِّلْ حَالَنَا إِلَى أَحْسَنِ الْأَحْوَالِ، وَفَرِّجْ مَا نَزَلَ بِنَا مِنَ الْأَهْوَالِ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ هَذَا البَلَدَ وَسَائِرَ البِلَادِ عَامَّةً آمِناً مُطْمَئِناًّ سَخَاءً رَخَاءً بِقُدْرَتِكَ يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّةَ وَفِي فِلِسْطِينَ، وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.