Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
17 Oktober 2025 / 25 Rabiulakhir 1447H
Nilai Persahabatan yang Baik
Zumratal mukminin rahimakumullah,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Ayuh, kita dampingi hamba-hamba Allah yang soleh, agar kita lebih bersemangat untuk meningkatkan ketaatan dan ketakwaan. Semoga Allah s.w.t. memelihara setiap persahabatan yang baik lagi soleh serta menghimpunkan kita di dalam syurga-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Siapakah kawan baik kita? Dan siapakah yang layak dijadikan kawan baik? Mungkin ada yang terbayang raut wajah rakan sekerja, atau teman sedarjah atau sekolah, mahupun mereka yang berkongsi minat yang sama, dan begitulah seterusnya.
Percayakah anda jika saya katakan ada segolongan manusia yang bersahabat di dunia, tetapi mereka akan bermusuhan di hari akhirat nanti? Yakni seolah-olah mereka merasa kesal bersahabat dengannya.
Saudaraku, sila dengarkan firman Allah s.w.t. dalam Surah Az-Zukhruf, ayat 67:
Yang bermaksud: “Pada hari itu, sahabat-sahabat karib sesetengahnya akan menjadi musuh kepada yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (yakni
iman dan amal soleh).”
Ternyata, soal berkawan yang kadangkala kita anggap remeh mempunyai kesan yang mendalam dalam kehidupan seorang Muslim. Dalam erti kata lain, sahabat yang baik adalah sahabat yang mementingkan ketakwaan dan kebaikan; yang suka berbuat baik dan sering mendorong kita ke arah yang sama.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya. Maka hendaklah kamu perhatikan dengan siapa kamu bersahabat.” (Riwayat Abi Dawud)
Rasulullah s.a.w. memperlihatkan kaitan yang jelas antara persahabatan dan perihal agama seseorang. Persahabatan dan persekitaran sosial kita boleh mempengaruhi pengamalan agama dan cara kehidupan kita. Saya yakin ramai antara kita memahami realiti ini. Oleh itu ikutilah pesanan khutbah hari ini dengan hati yang terbuka. Dengan mengambil iktibar daripada ayat serta hadis yang dibacakan tadi, izinkan saya berkongsi tiga petua dalam bersahabat mengikut neraca Islam:
Pertama: Mengenal pasti pengaruh baik dan buruk
Kita perlu bertanya pada diri sendiri: Adakah seorang sahabat itu mendekatkan kita kepada Allah, atau menjauhkan kita daripada-Nya? Ya saudaraku, soalan ini sesuai ditanya oleh segenap lapisan usia, baik yang muda mahupun yang lebih dewasa.
Pada hari ini, persahabatan juga terjalin di alam maya - seperti di wadah-wadah media sosial dan kumpulan komunikasi dalam talian (group chat), yang datang bersamanya pengaruh yang tersendiri. Kita hendaklah menjauhi pengaruh yang berbaur dosa seperti menyebarkan gosip atau berita yang tidak sahih, atau memandang remeh pada perbuatan berdosa. Sebaliknya, apabila kita mengenalpasti dan mendekati pengaruh yang baik, kita akan turut terbentuk dengannya. Nabi s.a.w. menyamakan sahabat yang baik seperti penjual minyak wangi – kita pasti akan turut mengecap haruman kebaikannya.
Kedua: Menjadi contoh persahabatan yang soleh dalam kehidupan kita
Sehubungan dengan ini, kita juga perlu bertanya pada diri sendiri dengan insaf: Adakah kita sendiri menjadi pengaruh yang mengajak rakan-rakan menjadi insan yang soleh? Atau, adakah kita menjadi penyebab kawan-kawan terjerumus ke kancah maksiat?
Saudara sekalian, sebagaimana kita ingin terdedah kepada pengaruh yang baik, kita juga sewajarnya menjadi pemangkin aura positif dalam persahabatan. Marilah bersama kita menjadi individu yang membantu menguatkan iman sahabatnya, menerusi akhlak mulia, berlapang dada, bersikap empati, mendengar tanpa menghukum dan memberi sokongan ketika sahabat kita diuji dan memerlukan pertolongan.
Kita menegur dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Kita bukan sekadar menjadi teman berbual dan bersenda, tetapi juga teman yang bersama mendorong, menuju ke syurga.
Ketiga: Sertailah persekitaran yang menyuburkan persahabatan yang soleh
Kita juga mesti mencari peluang untuk menjalin persahabatan yang soleh – pertalian yang membina kerohanian mukmin, sama ada menerusi amal ibadah, atau kuliah-kuliah agama dan seumpamanya. Persahabatan sebegini merangkumi juga saling mengingatkan akan tanggungjawab sivik seperti aktiviti kebajikan atau kerja-kerja sukarela dalam masyarakat dan lain- lain.
Saudaraku,
Pastinya, apabila kita dikelilingi sahabat yang ikhlas dan sama-sama berusaha ke arah kebaikan, kita akan lebih mudah beristiqamah dalam amalan soleh.
Pada masa yang sama, sekiranya ada di antara sahabat kita yang pernah melakukan kesilapan dan mula menunjukkan tanda-tanda untuk berubah, maka bantulah dan sokonglah mereka. Pimpinlah mereka menuju rahmat Allah dengan penuh ihsan, kerana Rasulullah s.a.w. pernah berpesan yang bermaksud: “Barangsiapa yang menunjukkan arah kebaikan, maka baginya pahala seperti orang yang melakukannya (kebaikan tersebut)” (Riwayat Muslim)
Sidang hadirin,
Persahabatan yang baik bukan sekadar menjalin hubungan persaudaraan dengan siapa yang kita suka, tetapi siapa yang membantu kita menjadi hamba yang disukai Allah dan di redai- Nya. Marilah kita bersama menjadi sahabat yang mengingatkan, bukan sekadar menghiburkan; yang saling menasihati, bukan yang saling menjatuhkan atau menghakimi.
Mudah-mudahan, setiap persahabatan yang kita jalin di dunia ini menjadi persahabatan yang kekal abadi. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita dalam kalangan orang yang bersahabat atas dasar takwa, saling menguatkan dalam kebaikan dan mendapatkan keredaan Ilahi. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Khutbah Kedua