collections khutbah Nilai Kemasyarakatan Dalam Islam
Nilai Kemasyarakatan Dalam Islam

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

2 Ogos 2024 / 27 Muharram 1446H

Nilai Kemasyarakatan Dalam Islam

الحَمْدُ لِلّٰهِ الخَبِيرِ الحَكِيمِ، أَشْهَدُ أَن لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللهُ القَوِيُّ الـمَتِينُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبدُهُ وَرَسُولُهُ الصَّادِقُ الأَمِينِ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنِ اتَّبَعَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الـمُسْلِمُونَ، أُوصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَقَد فَازَ الـمُتَّقُونَ.

Wahai saudaraku yang beriman,

Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Jagalah hubungan kita dengan Allah. Pupuklah hubungan baik sesama insan. Tanamkan azam untuk menjadi Muslim Mukmin yang baik, sehingga manusia sekeliling kita terpikat dengan keindahan Islam melalui akhlak kita dan hidayah Allah s.w.t. Amin.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Jumaat pertama bulan ini mengajak kita menghayati panduan agama dalam hidup bermasyarakat. Saudaraku, pernahkah anda terfikir untuk membawa diri? Jauh daripada kesibukan dunia. Jauh daripada pancaroba hidup. Jauh daripada fitnah manusia. Hidup hanya menyibukkan diri dengan ibadah, dan bersiap untuk mati. Harapannya cuma satu, iaitu menjadi Muslim yang baik, dan mendapat tempat di syurga yang kekal abadi.

Contoh ini kedengarannya amat wajar. Malangnya, itu bukan panduan Islam, kerana agama ini tidak pernah menyuruh kita mengasingkan diri. Sebaliknya, kita disuruh keluar untuk berinteraksi, menyumbang kebaikan, dan bersabar dengan kerenah manusia. Bayangkan saudaraku, kalaulah Nabi Muhammad s.a.w. menyendiri di Gua Hira selepas mendapat wahyu kerana ingin menjauhi masyarakat jahiliah pada ketika itu, tentu sekali, risalah Islam tidak sampai kepada kita pada hari ini.

Cabaran hidup bermasyarakat akan menjadikan kita insan yang lebih kental, berkeyakinan dan berdaya tahan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim yang bergaul dengan manusia, dan bersabar atas kelakuan mereka lebih baik daripada seseorang yang tidak bergaul dengan manusia, dan tidak bersabar atas kelakuan mereka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Dengan panduan hadis ini, kita kembali bertanya pada diri sendiri, adakah kita patut memencilkan diri? Jika Rasulullah s.a.w. menunjukkan semangat kekitaan dalam hidupnya, kenapa pula kita ingin menyendiri? Kalau Sayyiduna Umar bin Khattab r.a. keluar berinteraksi untuk mengetahui keadaan masyarakatnya, tidakkah kita juga wajar melakukan yang sama?

Saudaraku yang dikasihi,

Mimbar pada hari ini mengajak kita menghayati prinsip dan panduan agama dalam berinteraksi sesama manusia. Mudah-mudahan ia dijadikan oleh-oleh Jumaat kali ini:

Yang pertama, tingkatkan persaudaraan dan perpaduan antara anggota masyarakat. Seperti yang disebut dalam hadis tadi, Islam menggalakkan kita untuk bergaul dengan masyarakat dan tidak hidup menyendiri. Perpaduan dalam masyarakat akan dapat dicapai apabila kita bertegur sapa, mengiktiraf perbezaan, dan berhubungan baik.  Kalau belum terbiasa, mulakan dengan yang paling dekat atau mudah seperti jiran, jemaah masjid, teman sekolah atau rakan sejawat. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13:

Yang bermaksud: “Wahai manusia! Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku, supaya kamu saling berkenal mesra. Sesungguhnya, yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.”

Ayat ini menjadi panduan penting bagi kita. Sebagai masyarakat yang beriman, kita perlu terus menonjolkan keindahan akhlak, seperti mengutamakan keperluan dan kemaslahatan awam, berbanding kepentingan sendiri. Nilai utama ini disebut dalam tradisi Islam sebagai إيثار ‘Īthār’.

Yang kedua, memupuk kesedaran sosial dan tanggungjawab bersama. Masyarakat Islam adalah sebuah masyarakat yang bertanggungjawab, seperti dalam kisah Muhajirin dan Ansar pada khutbah minggu lalu. Kita berusaha mencurahkan sebarang kebaikan semampunya. Sekecil mana sumbangan kebaikan itu, kita percaya bahawa ia pasti akan memberi kesan kepada keimanan kita dan kesejahteraan awam. Ingatlah sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa iman itu mempunyai beberapa peringkat, dan peringkat yang paling rendah adalah mengalihkan duri (bahaya atau halangan) dari jalanan.

Begitulah akhlak seorang yang beriman, kehidupannya memenuhi tanggungjawab agama dan pada masa yang sama memelihara kemaslahatan awam. Dalam hal ini, cuba fikirkan soalan-soalan berikut: Adakah wajar kita mendirikan solat sunat qabliyah/ba’diyah di depan pintu masjid, sehingga menghalang pergerakan jemaah lain? Adakah merokok dan menggunakan vape untuk kepuasan diri itu lebih utama daripada menjaga kesihatan diri dan kesejahteraan awam? Ini adalah satu noktah muhasabah untuk kita renungkan dan perbaiki bersama.

Marilah kita sama-sama berazam menjadi seorang Mukmin yang menghasilkan kebaikan buat dirinya, dan masyarakat seluruhnya. Marilah berlumba-lumba menjadi Mukmin contoh bagi mereka di sekeliling kita.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, ampunilah segala dosa dan kesalahan kami dengan kasih sayang dan rahmat-Mu. Ya Quddus, Ya Salam, berkatilah masyarakat kami dengan keamanan dan kesejahteraan. Ya Hadi, Ya ‘Alim, Engkau lebih mengetahui akan kelemahan kami. Bantulah kami memenuhi amanah yang Engkau berikan kepada kami dengan sempurna. Ya Fattah, Ya Mujib, perkenankanlah doa kami, bukakanlah pintu-pintu kebaikan buat kami. Kurniakanlah kami rahmat-Mu di dunia ini dan di akhirat kelak. Amin Ya Mujibas sa‘ilin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.