collections khutbah Muhasabah Setelah Bulan Ramadan
Muhasabah Setelah Bulan Ramadan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

21 Apr 2023 / 30 Ramadan 1444H


Muhasabah Setelah Bulan Ramadan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kita dan menjadikan kita dari kalangan hamba-Nya yang soleh. Amin.

Saudaraku,

Alhamdulillah, pada hari yang mulia ini, kita diberikan peluang sekali lagi untuk meneruskan ibadah puasa di bulan Ramadan. Kita pun telah berada pada hari yang terakhir di bulan Ramadan. Dan esok kita bakal menyambut Syawal yang mulia.

Namun saudaraku, pada kesempatan ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah diri akan setiap amalan yang telah kita lakukan, sepanjang Ramadan ini. 

Bagaimana ibadah puasa yang telah kita laksanakan? Bagaimana pula sedekah, zakat dan amalan kebajikan yang telah kita tunaikan? Adakah terdapat ruang untuk menambahbaik amalan tersebut? 

Maka pergunakan masa-masa yang terbaki daripada bulan Ramadan yang mulia ini, untuk beramal soleh.

Begitulah panduan Nabi )s.a.w( bagi kita. Untuk terus melakukan apa jua bentuk kebaikan walaupun masa yang diberikan kepada kita hanya tinggal sesaat sahaja. Nabi bersabda:

Maksudnya: “Jika terjadi kiamat, sedangkan di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih, jika dia mampu untuk tidak bangun (dari tempat duduknya) sehingga dia menanam (benih) tersebut, maka hendaklah dia melakukannya.” [Hadis riwayat Imam Ahmad]

Saudaraku,

Bagi individu mukmin, segala peluang yang Tuhan kurniakan kepadanya merupakan peluang keemasan. Kita tidak mengetahui keadaan kita esok ataupun lusa. Apatah lagi keadaan kita pada Ramadan tahun hadapan. Yang kita miliki itu kesempatan yang Tuhan kurniakan sekarang. Saat dan detik ini. Ramadan kali ini. Insan yang memahami hakikat ini akan berusaha untuk melaksanakan amalan dengan yang sebaik mungkin. 

Saudaraku, 

Di sini ingin saya menyarankan dua perkara yang boleh kita lakukan. Yang pertamaadalah dengan bersegera bertaubat dan beristighfar kepada Allah. Yang keduaadalah dengan memperbanyakkan amalan-amalan soleh lain. Semoga dosa yang dilakukan dahulu terhapus dengan amalan dan ketaatan. Allah berfirman:

Maksudnya: “Dan dirikanlah solat itu pada waktu pagi dan petang dan pada sebahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” [Surah Hūd 11: 114]

Ingatlah wahai saudaraku. Tiada dosa yang besar, mahupun yang kecil, melainkan Allah (s.w.t) sedia memaafkannya. Dengan syarat seseorang dengan ikhlas bertaubat daripada dosa tersebut. Ketahuilah bahawa Allah Maha Mengetahui segala di dalam hati seorang hamba.

Saudaraku,

Pada keesokan hari, kita semua bakal menyambut bulan Syawal. Hari yang menandakan kemenangan seorang Mukmin setelah sebulan berpuasa. Namun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para Jemaah sekalian supaya tidak mensia-siakan amal soleh yang telah kita laksanakan dengan perbuatan yang boleh merosakan pahala. 

Kerana insan mukmin yang telah sebulan lamanya membina hubungan dengan Allah (s.w.t), pastinya merupakan insan yang hatinya dipenuhi dengan ihsan dan rahmat sesama insan.

Izinkan saya memberi contoh yang mudah untuk kita amalkan pada keesokan hari, melalui solat hari raya yang bakal kita laksanakan pada keesokan hari. 

Kita tentunya ingin melaksanakan solat hari raya esok dengan penuh selesa dan tenang. Bertakbir bersama, serta duduk mendengarkan khutbah dengan penuh khusyuk bersama. Namun, untuk mencapai matlamat tersebut. Amat penting bagi kita untuk kita terus menghayati aspek ihsan dan rahmah dalam pengamalan agama. Iaitu dengan dengan menjaga keperluan insan lain dan bertimbang rasa kemaslahatan saudara Islam kita yang lain.

Persiapan yang kita boleh lakukan untuk keesokan hari adalah dengan memilih masjid-masjid yang tidak begitu ramai jemaahnya, ataupun sekiranya kita tidak mempunyai keperluan mendesak untuk melaksanakan pada sesi pertama, kita boleh pilih untuk menunaikan solat hari raya pada sesi kedua atau sesi berikutnya. Demi memberi ruang kepada mereka yang lebih memerlukan untuk melakukannya pada sesi yang pertama.

Semoga Allah (s.w.t) reda akan kebaikan yang kita kejarkan dan meletakkan kita bersama-sama mereka yang soleh di dalam syurga-Nya kelak. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.