

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
7 November 2025 / 16 Jamadilawal 1447H
Menyuntik Ketenangan dalam Hubungan Kekeluargaan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala tegahan-Nya. Terapkanlah ajaran-Nya dalam segenap sudut kehidupan kita. Carilah ketenangan dengan menjaga hubungan dengan Yang Maha Esa. Semoga Allah s.w.t. terus melimpah kebaikan dan keberkatan dalam setiap urusan kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara yang dirahmati Allah,
Pastinya, setiap insan ingin memberi yang terbaik kepada keluarganya. Namun, apakah perkara yang paling didambakan dalam sebuah keluarga? Kasih sayang, nafkah yang cukup, atau rumah yang selesa?
Ya, semua itu adalah sebahagian daripada keperluan penting bagi sebuah keluarga. Namun, nilai utama yang menjadi asas setiap hubungan kekeluargaan ialah sakinah atau ketenangan.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ar-Rum, ayat 21:

Yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah adalah Dia menciptakan untukmu pasangan dari jenis kamu sendiri, agar kamu berasa tenang dan tenteram bersamanya, dan Dia menjadikan di antara kamu perasaan kasih dan sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat keterangan bagi golongan yang berfikir.”
Allah menciptakan kita berpasangan, yakni antara lelaki dan wanita, agar kita dapat hidup dalam suasana yang tenang. Bermula daripada kasih sayang yang lahir antara sepasang suami isteri, disusuli dengan kehadiran cahaya mata, dengan izin Allah. Jalinan kasih juga terbentuk antara adik-beradik, kaum kerabat dan sanak saudara. Kasih sayang ini memekarkan kemesraan. Inilah kebahagiaan, ketenangan dan suasana kasih sayang yang diimpikan dalam setiap keluarga.
Saudara yang dikasihi sekalian,
Sudah menjadi lumrah manusia, tidak semua hubungan kekeluargaan mampu membawa ketenangan. Ada kalanya hubungan menjadi tegang, hilang kasih sayang dan rasa hormat. Kadangkala, puncanya bukan kerana kekurangan nafkah dan keselesaan, tetapi kerana tabiat dan sikap negatif yang mungkin tidak disedari.
Apabila seorang anggota keluarga merasakan dirinya tidak dihargai atau dihormati, dikritik dan diherdik secara berterusan, dibebani pula dengan tekanan emosi, atau mungkin sahaja membawa kepada keganasan, tentu sekali, ia akan merobek ketenangan dan ketenteraman dalam keluarga.
Sedangkan Rasulullah s.a.w. kerap berpesan untuk melayani keluarga dengan baik dan untuk menjaga tingkah laku kita terhadap mereka. Baginda s.a.w. telah menjadi sebaik-baik contoh dalam kehidupan berkeluarga. Sabdanya:

Yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik bersama keluarganya, dan aku adalah yang paling baik bersama keluargaku.” (Riwayat al-Tirmizi)
Berpandukan Hadyun Nabawiy ini, khutbah ingin berkongsi tiga amalan baik yang boleh menyuntik ketenangan dalam hubungan kekeluargaan:
Yang pertama: Komunikasi yang sesuai dengan niat baik di hati
Sebelum berkata-kata atau melakukan sesuatu, cuba fikirkan: adakah ucapan atau tindakan kita bersifat positif atau negatif? Adakah ia akan mendatangkan kebaikan atau sebaliknya? Dan adakah kita menggunakan pendekatan yang paling sesuai dan berhikmah?
Saudaraku, terkadang kita ingin menyampaikan nasihat dan teguran yang dirasakan perlu dan wajar. Namun, niat yang baik sahaja tidak mencukupi sekiranya ucapan dan tindakan kita menggores perasaan. Islam menganjurkan kita menggunakan bahasa yang mendampingi hati, bukan yang mengocak emosi. Pelajarilah kemahiran berkomunikasi yang berkesan dan sampaikanlah dengan cara yang membina, bukan yang menjatuhkan.
Yang kedua: Akui kesilapan, mohon kemaafan
Sebagai manusia, mungkin kita pernah menyinggung perasaan ahli keluarga. Mungkin ada harapan yang belum tercapai selama mereka berada di samping kita. Atau mungkin ada yang merasakan dirinya kurang diberikan perhatian. Bagaimana pula mereka yang masih dibelenggu pengalaman pahit yang belum lagi tuntas dan masih lagi segar dalam ingatan?
Oleh itu, kita harus bersikap insaf dan mempunyai kesedaran. Sekiranya kita tersilap langkah, akuilah kesilapan diri dan dengarkan luahan mereka dengan penuh keprihatinan dan empati. Usah memperlekehkan atau menafikan luka lama. Latih diri untuk memohon maaf, kerana ia adalah tanda kekuatan. Berwaspadalah terhadap sikap ingin menjadi pihak yang “menang” sahaja, sehinggakan ketenangan dan kerukunan keluarga menjadi korban.
Yang ketiga: Kekang kemarahan dengan kesabaran
Adakalanya, interaksi sesama ahli keluarga boleh menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati, malah menambah tekanan emosi. Dalam situasi seperti ini, elak dari bertindak dengan serta-merta. Sesungguhnya bergopoh-gapah dalam bertindak atau membuat keputusan akan berakhir dengan penyesalan.
Apatah lagi, sekiranya ia melibatkan keganasan terhadap ahli keluarga kita sendiri. Keganasan atau berlaku kasar adalah perkara yang tidak boleh diterima sama sekali.
Sebaliknya, apabila marah, ambillah sedikit masa untuk tenangkan diri. Sentiasa ingat akan panduan Nabi: Jika marah, diam sejenak. Bersabarlah dan jangan terburu-buru bertindak. Mintalah perlindungan Tuhan daripada hasutan syaitan dengan ucapan a’uzubillah. Ubah posisi diri untuk meredakan ketegangan emosi. Ambil wuduk untuk menyejukkan dan menenangkan hati. Apabila keadaan kembali reda, bina semula persefahaman dan carilah jalan perdamaian.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Setiap insan layak hidup dalam suasana keluarga yang harmoni dan tenteram, diwarnai dengan kasih sayang dan kemesraan yang terbit dari keimanan. Hubungan erat dan pergaulan baik antara kita dan keluarga mestilah diutamakan. Lindungilah keluarga kita daripada persekitaran yang negatif, termasuklah yang terbit daripada diri kita sendiri. Tanamkanlah tekad untuk sentiasa menjadi insan yang berusaha menuju kebaikan bersama keluarga yang tersayang.
Semoga Allah s.w.t. melimpahkan ketenangan, kasih sayang, dan keberkatan kepada keluarga kita, agar ia menjadi sumber ketenteraman, tempat kasih berkembang dan ladang pahala untuk setiap ahli keluarga. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada musim peperiksaan ini, marilah kita berdoa agar para pelajar dan anak-anak diberikan kelapangan hati dan ketenangan fikiran supaya dapat menghadapi ujian dengan penuh keyakinan. Agar para ibu bapa, ahli keluarga dan guru-guru dikurniakan hikmah dan kesabaran dalam memberi bimbingan.
Semoga Allah memberikan kita ilmu yang bermanfaat serta memanfaatkan kita dengan ilmu yang telah dipelajari. Ya Allah Ya Samī’ Ya ‘Alīm, tetapkanlah dalam hati kami ilmu dan keimanan, agar kami memperoleh kejayaan yang berpanjangan.

