

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
27 Februari 2026 / 9 Ramadan 1447H
Menyuburkan Ubudiyyah di Rumah pada Bulan Ramadan

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Hiasilah diri kita dengan takwa kepada Allah s.w.t.. Marilah berusaha menjalani Ramadan ini seolah-olah ia adalah Ramadan terakhir kita, agar kita peroleh ganjaran yang berkekalan serta jiwa yang bersih daripada dosa. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Pada bulan Ramadan ini, kita melihat masjid-masjid dimakmurkan dengan kehadiran ramai jemaah. Namun, khutbah Kata Kunci: Rumah Ibadah Keluarga Ubudiyyah 2 hari ini bertujuan mengingatkan: usahlah kita mengikat pengabdian kita kepada Allah hanya pada bulan Ramadan atau di masjid semata-mata.
Rumah kita bukan sekadar tempat berehat, berlindung dan menjalani urusan dunia. Bahkan, dalam Islam, rumah adalah madrasah dan persekitaran yang pertama, di mana individu dan keluarga menerima latihan ‘Ubudiyyah, atau pengabdian kepada Tuhannya.
Lihat sahaja bagaimana Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ya‘qub a.s. menyemai didikan iman dari rumah. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 132:

Yang bermaksud: “Dan Ibrahim mewasiatkan perkara itu kepada anak-anaknya, dan demikian juga Ya‘qub (berpesan): ‘Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untuk kamu; maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Muslim.’”
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Di sini kita dapati peranan rumah dalam memastikan perjalanan rohani diteruskan walau di luar bulan Ramadan:
Pertama: Rumah adalah tempat menyemai ibadat dan rohani
Apabila ibadah bernyawa di dalam rumah, ia menjadi sesuatu kebiasaan yang tidak terikat kepada masa. Ia menjadi sebahagian daripada rentak kehidupan seharian. Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu, kerana sesungguhnya sebaik-baik solat seseorang adalah di rumahnya kecuali solat fardu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apabila solat dijaga di dalam rumah, al-Quran dibaca secara konsisten, untaian doa didengari anak-anak dan zikrullah menghiasi persekitarannya, rumah tersebut akan terus menghirup suasana iman yang subur walaupun setelah bulan Ramadan berundur.
Kedua: Ibadah mesti dibina sebagai legasi keluarga, bukan sekadar amalan individu
Iman tidak dimaksudkan untuk dihayati secara bersendirian. Ia perlu dihidupkan, disaksikan dan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya. Para nabi bukan sahaja beribadah kepada Allah, bahkan mereka berusaha memastikan anak-anak mereka juga beribadah dan patuh kepada Yang Maha Esa. Mereka menasihati, membimbing dan menunjukkan teladan melalui perbuatan.
Anak-anak tidak belajar iman sekadar melalui arahan. Mereka belajar melalui pemerhatian. Apabila mereka melihat ibu bapa solat, mereka memahami kepentingan solat. Apabila mereka mendengar ibu bapa berdoa, mereka belajar bergantung kepada Allah. Apabila mereka melihat ibu bapa membaca al-Quran, mereka membina rasa cinta terhadap al-Quran.
Kebiasaan yang dimulakan oleh ibu bapa menjadi benteng perlindungan buat anak-anak. Amalan yang dibentuk hari ini akan menentukan kelestarian iman generasi akan datang.
Maka marilah kita bermuhasabah tentang keadaan rumah kita sendiri hari ini. Adakah ia tempat suburnya ibadah? Bilakah kali terakhir kita solat berjemaah bersama keluarga? Bilakah kali terakhir rumah kita diserikan dengan bacaan al-Quran? Bilakah kali terakhir anak-anak melihat kita tunduk dan bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah?
Sidang jemaah yang dimuliakan,
Sebagaimana kita menghidupkan rumah Allah pada bulan Ramadan ini dengan ibadah kita, marilah berusaha menghidupkan rumah kita sendiri dengan membudayakan suasana iman di dalamnya. Inilah intipati menyemai ‘Ubudiyyah. Semoga Allah s.w.t. memberkati setiap rumah kita dengan keimanan, ketenangan serta rahmat-Nya.

Khutbah Kedua

