Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
19 September 2025 / 26 Rabiulawal 1447H
Menyubur Sunnah, Menuju Jannah
Jadikanlah takwa cahaya yang membimbing kita kepada kebenaran. Laksanakan segala perintah Allah dan jauhi segala larangan-Nya. Hiasilah amalan kita dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w., agar jiwa kita pula dihiasi dengan kalungan iman. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Bagaimanakah caranya kita mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w.? Adakah cukup dengan sekadar mempelajari dan mempercayai ajaran Baginda?
Pastinya tidak! Mencontohi Rasulullah s.a.w. bukan dengan sekadar beriman dengan ajarannya. Lebih daripada itu, ia bererti
mencontohi dan menghidupkan sunnahnya – seperti ajarannya, didikannya, perilakunya dan peribadinya.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 31:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Nabi, kepada mereka): ‘Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku; (nescaya) Allah mengasihimu dan mengampunkan dosa-dosamu.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’”
Ayat ini mengajarkan kita sebuah hakikat yang mendalam: jika benar kita mencintai Allah, maka kita mestilah terlebih dahulu mengikuti dan mencontohi Rasulullah s.a.w. Sebagai ganjaran,
Allah akan melimpahkan kasih sayang-Nya serta pengampunan-Nya ke atas kesilapan kita.
Alangkah beruntungnya kita sebagai umat nabi Muhammad s.a.w. kerana tradisi sunnah Baginda kekal mekar hingga ke hari ini. Ia terpelihara hasil daripada usaha para ulama sepanjang zaman. Contohnya, Imam al-Bukhari rahimahullah telah mengembara begitu jauh dan menghabiskan usianya dalam usaha mengumpulkan hadith Rasulullah s.a.w. Bahkan, beliau begitu tekun sehingga menunaikan solat sunnat dua rakaat setiap kali sebelum mula mencatatkan hadith ke dalam kumpulan sahihnya. Mengapa beliau bersusah payah sehingga begitu sekali?
Saudaraku, para ulama seperti Imam Al-Bukhari memahami bahawa tradisi hadith sekaligus sunnah Rasulullah s.a.w. bukan sekadar kata-kata, tetapi sebuah warisan yang hidup merentasi zaman. Walaupun kita tidak berkesempatan bersua dan berbicara dengan Rasulullah s.a.w., sunnah Baginda terus menjadi cahaya yang menuntun jiwa, ibarat pelita yang terus menyala.
Oleh itu, apakah yang harus kita lakukan dengan warisan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.?
Mimbar mengajukan dua cara untuk kita menghidupkan sunnah dalam
kehidupan seharian.
Mulakanlah dengan sunnah yang ringan supaya lebih mudah untuk kita amalkan secara berterusan. Antaranya, doa-doa warid yang terkumpul dalam kitab seperti Al-Azkar dan HisnulMuslim, yang berasaskan hadis untuk setiap keadaan – daripada bangun tidur, makan, masuk dan keluar rumah atau masjid, hinggalah saat kita tidur di malam hari.
Contohnya, antara doa yang dibaca oleh Nabi s.a.w. ketika keluar rumah:
Yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu supaya aku tidak tersesat atau disesatkan, tergelincir atau
digelincirkan, menganiaya atau dianiaya, memperbodohkan atau diperbodohkan.” (Riwayat Abi Daud)
Dengan mengamalkan doa-doa ini, kita sentiasa berhubung dengan Allah sambil mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w.
Sekiranya kita belum terdetik untuk mengamalkan sunnah kerana lebih prihatin terhadap ibadah yang wajib, ketahuilah amalan sunnah boleh menebus kekurangan dalam perlaksanaan yang wajib, seperti dalam urusan solat.
Selain itu, kita juga harus mendidik anak-anak tentang amalan sunnah sejak kecil. Dengan permulaan yang mudah, mereka akan belajar menghargai tradisi sunnah, sekaligus lebih mengenali dan mencintai Rasulullah s.a.w.
Sunnah Rasulullah s.a.w. tidak terbatas kepada urusan ibadah sahaja. Sunnah merangkumi soal akhlak, tutur kata, hubungan dengan keluarga, rakan sekerja dan seluruh masyarakat.
Ya, puasa Isnin Khamis dan solat berjemaah di masjid adalah sunnah yangharus dijaga.
Namun, usah pula kita meremehkan aspek sunnah yang lain: Berbaik sangka adalah sunnah, berwajah mesra dan menegur sapa adalah sunnah, bersikap rendah diri adalah sunnah, sabar dalam berinteraksi juga adalah sunnah.
Apabila seseorang menghayati sunnah dengan teliti, ia dapat membentuk disiplin hidup yang seimbang. Dia lebih menjaga masa, beradab, bersifat kasih sayang sesama insan dan mempunyai kesedaran untuk menjaga kesihatan.
Bukankah aktiviti seperti menunggang kuda, memanah dan berenang juga merupakan sunnah Baginda? Walaupun kita mungkin hanya berpeluang beriadah dengan cara yang lain, namun dengan niat mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w. dalam menjaga kecerdasan, kita berharap meraih ganjaran daripada Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; kamu tidak akan tersasar selama kamu berpegang teguh kepada keduanya: (Dua perkara itu adalah) Kitabullah dan sunnah Rasul-Nya.” (Riwayat Malik)
Marilah kita bersama menjadi penghubung warisan sunnah Nabi Muhammad s.a.w., dengan harapan agar kita layak menjadi penghuni Jannah pada suatu hari kelak. Semoga Allah s.w.t. memberi kita taufik dan istiqamah untuk mencontohi Rasulullah s.a.w. Semoga Allah memenuhi hati
kita dengan cinta terhadap sunnah, menjadikannya sumber kejayaan di dunia dan akhirat.
Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Khutbah Kedua