collections khutbah Menyambut Tahun Baru Dengan Penuh Pengharapan
Menyambut Tahun Baru Dengan Penuh Pengharapan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

1 Januari 2021 / 17 Jamadilawal 1442H

Menyambut Tahun Baru Dengan Penuh Pengharapan

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah memberkati kita di dunia dan akhirat. Amin.

Saudaraku,

Dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, Allah telah mengurniakan kepada kita kesempatan untuk menyaksikan tahun yang baru. Kita masih lagi diberikan kesempatan untuk beribadah kepada-Nya, serta berbakti kepada masyarakat.

Maka sebagai permulaan bagi khutbah pada bulan ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran di sebalik beberapa hadis qudsi. Semoga kita dapat meraih pengajaran serta panduan di sebaliknya.

Saudaraku,

Hadis yang ingin saya kongsikan pada hari ini, bermaksud:

Nabi (s.a.w.) bersabda, Allah (s.w.t.) berfirman: ‘Wahai hamba-Ku, setiap daripada kamu berada dalam kelaparan, kecuali mereka yang Aku berikan makan. Maka mintalah makan daripada-Ku nescaya Aku akan berikan…” (Hadis riwayat Imam Muslim). 

Saudaraku,

Sebagai seorang Mukmin, kita diajar untuk terus bergantung harapan kepada Allah. Kerana Dia sahaja yang berkuasa untuk mengurniakan segala kebaikan bagi hamba-Nya. Dia yang mencukupkan segala keperluan kita di dunia ini. Bahkan segala doa yang kita panjatkan, mahupun harapan yang tersirat di dalam hati, segalanya berada di bawah pengetahuan Yang Esa. Rahmat Tuhan melimpah ruah bagi hamba-hamba-Nya yang beriman.

Dari itu kita diajar agama ini untuk sentiasa memulakan pekerjaan dengan membaca doa. Kita mulakan langkah keluar rumah dengan berdoa. Berdoa ketika menaiki kenderaan. Berdoa ketika hujan turun menimpa. Berdoa ketika makan dan minum. Dan sebagainya.

Amalan berdoa, mengajarkan kita kepentingan untuk memulakan langkah dengan niat serta azam yang baik. Ia juga mengajar kita untuk sentiasa menanam tekad kepada Tuhan. Serta bersandar kepada-Nya pada segenap aspek kehidupan. Pengajaran ini perlu untuk kita hayati, lebih-lebih lagi berhadapan dengan tahun baru ini. Tanamkan tekad yang baru berhadapan dengan cabaran pada hari-hari yang mendatang.

Saudaraku,

Tahun 2020 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran. Pelbagai penyesuaian telah kita terapkan dalam kehidupan seharian. Segala ikhtiyar serta usaha yang dilaksanakan membuahkan hasil. Dan sekarang ini kita telah pun memasuki fasa ketiga, dan keadaan di Singapura juga kelihatannya semakin stabil.

Sepertimana firman Allah (s.w.t.) yang menjanjikan kesudahan yang baik bagi mereka yang berusaha serta bertakwa kepada-Nya. Firman-Nya dalam surah at-Talaq ayat 2 dan 3 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “...Barangsiapa bertakwa kepada Allah Dia akan memberikan baginya jalan keluar. Dan mengurniakan kepadanya rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah menetapkan ketentuan bagi segalanya.”

Maha suci Allah! Di atas segala kurniaan-Nya. Dia kurniakan kepada kita kesihatan. Dia berikan kepada kita huraian serta jalan keluar. Dan pastinya selari dengan panduan agama yang mendorong setiap individu untuk berikhtiyar serta mencari penawar dan ubat, kita menyambut baik berita yang kita terima, iaitu penawar bagi virus berbentuk vaksin yang bakal digunakan di Singapura. Dengan perkembangan terbaru ini, alhamdulillah! Ia juga memberi laluan dan membantu dalam ikhtiyar kita untuk memelihara diri dan masyarakat yang kita sayangi ini.

Semoga Allah (s.w.t.) terus mengurniakan kita kesihatan, memelihara kita dan masyarakat daripada sebarang keburukan, dan mengeluarkan kita daripada ujian pandemik ini dengan segera. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.