collections khutbah Menunaikan Zakat Demi Keadilan Sosial
Menunaikan Zakat Demi Keadilan Sosial

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

30 April 2021 / 18 Ramadan 1442H

Menunaikan Zakat Demi Keadilan Sosial

 

الحَمدُ لِلّهِ الَّذِي فَتَحَ فِي رَمَضَانَ أَبْوَابَ جَنَّتِهِ وَأَغْلَقَ أَبْوَابَ نَارِهِ. وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعدُ، فَيَا أَيُّهَا الـمُسلِمُونَ، أُوصِيكُم وَنَفسِي بِتَقوَى اللazهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَقَد فَازَ الـمُتَّقُونَ.

Saudaraku,

Marilah sama-sama kita terus tingkatkan amal ibadah kita dalam bulan mulia ini, serta menghadirkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) pada setiap keadaan dan semasa. Semoga dengannya, Allah (s.w.t.) akan merahmati kehidupan kita di dunia dan akhirat.

Saudaraku,

Kita sering diingatkan bahawa Ramadan merupakan bulan untuk kita memperkukuhkan hubungan kita dengan Allah (s.w.t.) serta menguatkan keimanan kita kepada-Nya. Akan tetapi, setiap individu Mukmin mengetahui bahawa dalam rangka dia membina hubungan dengan Allah, beliau perlu juga menjaga hubungannya kita sesama insan.

Lihat sahaja panduan kenabian yang dipaparkan Nabi Muhammad (s.a.w.). Baginda sentiasa berusaha untuk menjaga hubungannya sesama insan. Baginda tidak pernah menyakiti hati seseorang, tidak pula Baginda menolak permintaan seseorang yang memerlukan bantuannya. Beliau sentiasa merahmati serta mengasihani setiap insan. Nabi (s.a.w.) bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Ar-Rahman. Maka sayangilah penduduk di bumi, nescaya yang di atas langit akan menyayangi kamu.” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi).

Subhanallah! Bayangkan saudaraku sekalian, betapa besarnya anugerah kurniaan Allah. Dia mengurniakan rahmat-Nya buat sesiapa yang menyebarkan kasih sayang serta keihsanan.

Maka seharusnya hadis tadi menjadi pemangkin semangat kita untuk menghulurkan bantuan serta membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.

Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Kita lebih lagi digalakkan untuk menambahkan amalan soleh, serta memberi, sama ada melalui zakat ataupun sedekah. Sesuai dengan keperibadian Rasulullah (s.a.w.) yang diriwayatkan, di mana Baginda lebih bersifat dermawan terutama sekali pada bulan Ramadan. (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Saudaraku,

Kepentingan ibadah zakat, yang merupakan rukun Islam yang ketiga, adalah antara perkara yang tidak dapat dinafikan lagi. Melaluinya, kita dapat melindungi mereka yang kurang bernasib baik, golongan fakir dan miskin, serta institusi keagamaan kita.

Ibadah zakat bukan sahaja melahirkan sikap rahmah dan ihsan dalam diri kita, bahkan melaluinya kita memahami kepentingan keadilan dan keseimbangan sosial. Ini kerana, zakat memastikan bahawa kekayaan dan kesenangan dalam masyarakat itu, tidak sekadar berlegar di antara sebahagian golongan sahaja.

Di Singapura, kita bersyukur kerana melalui dana zakat yang terkumpul, kita dapat memelihara kemaslahatan masyarakat. Dana zakat telah dapat memberi sinar harapan kepada golongan fakir dan miskin. Mereka disokong menerusi bantuan wang bulanan yang diberi. Juga membuka peluang bagi pelajar yang ingin meneruskan pendidikannya. Dan sebagainya daripada pelbagai inisiatif baik yang termasuk antara usaha yang menyokong asnaf zakat.

Semua ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan masyarakat serta rahmat Allah (s.w.t.) ke atas hamba-hamba-Nya yang taat melaksanakan tuntutan agama ini.

Ingatlah saudara, tambahan daripada kemanfaatan zakat terhadap mereka yang memerlukan, kemanfaatan zakat juga sebenarnya kembali kepada diri serta harta kita. Perhatikan firman Allah (s.w.t.) di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Ambillah sedekah (zakat) daripada sebahagian daripada harta mereka, dengan itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Saudaraku,

Justeru itu, pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, ayuh sama-sama kita mengambil kesempatan ini untuk terus menghulurkan zakat dan bantuan serta memperbanyakkan amal kebajikan.

Semoga ketika kita menunaikan rukun ketiga Islam tersebut, Allah (s.w.t.) bakal merahmati kita, serta mengurniakan kepada kita keberkatan rezeki. Serta dipermudahkan bagi kita segala urusan kita insyallah. Hayatilah sabda Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud: “Allah akan membantu hamba-Nya selagimana hamba-Nya membantu saudaranya yang lain.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Marilah sama-sama kita mensyukuri nikmat Allah (s.w.t.) dan terus mengambil langkah ke hadapan, mencari jalan untuk membantu dan menghulurkan sumbangan. Setiap langkah kebajikan dan keihsanan di dalam masa-masa sukar ini akan menjadi saksi bagi keimanan dan kerohanian kita.

Sama-sama kita memanjatkan doa agar Allah (s.w.t.) terus meningkatkan ketakwaan kita menerusi ibadah, memantapkan dan memperkukuhkan keimanan kita serta mendekatkan kita kepada-Nya. Lebih-lebih lagi juga tatkala kita bakal menyambut 10 malam terakhir bulan Ramadan. Di mana padanya ada satu malam, yang lebih baik daripada seribu bulan. Iaitu malam laylatul qadr.

Semoga Allah (s.w.t.) menerima segala amalan baik dan sumbangan kita serta mengurniakan kita peluang untuk bertemu malam laylatul qadar. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.