collections khutbah Menjauhi Kebakhilan
Menjauhi Kebakhilan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

 13 Mac 2020 / 18 Rejab 1441H

Menjauhi Kebakhilan

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintahNya, jauhi segala laranganNya. Ingatlah bahawa para Malaikat sentiasa mendoakan untuk kita pada setiap pagi. Marilah kita menghayati firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Baqarah, ayat 245:

 

Yang bermaksud: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu dikembalikan.

Saudaraku,

Ayat ini menyentuh tentang sifat kemurahan hati yang perlu dipupuk dalam diri kita sebagai hamba Tuhan. Kerana tanpanya, akan timbul lagi satu sifat yang mazmumah, iaitu sifat bakhil. Terdapat pelbagai cara kebakhilan boleh terjadi, seperti bakhil ilmu, bakhil memberi salam, bakhil berselawat, tetapi yang paling kerap dibincangkan ialah: bakhil dengan harta. Rasulullah s.a.w. bersabda:

 

Yang bermaksud: “Tiada satu pagi pun yang dilalui oleh seorang hamba melainkan ada dua malaikat turun, dan salah satu dari mereka berdoa: ‘Ya Allah, berikan ganti kepada yang memberi’, manakala malaikat kedua berdoa: ‘Ya Allah, berikan kemusnahan kepada yang menahan.’[Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim].

Doa para Malaikat ini merupakan suatu dorongan buat kita untuk memanfaatkan nikmat yang kita miliki ke jalan yang diredhai Allah s.w.t. Doa ini juga merupakan peringatan buat kita untuk menjauhi diri dari sifat kebakhilan yang merugikan kita dan merosakkan hubungan kita dengan manusia di sekeliling kita.

Kita perlu berusaha untuk mengatasinya dengan kita memanfaatkan kelebihan yang kita miliki dan menyumbangnya ke arah kebaikan manusia. Tidak kiralah sama ada sumbangan kita itu berbentuk kewangan, tenaga mahupun saranan, yang paling penting adalah keikhlasan kita

Sama-samalah kita bersatu padu dalam menghadapi masa-masa sukar ini. Berdoalah kepada Allah s.w.t. agar kita, keluarga, masyarakat dan negara kita semuanya dilindungi dari sebarang keburukan. Semoga Allah s.w.t. menerima dan meredhai segala usaha kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.