collections khutbah Menjaga Keseimbangan Ciptaan Allah
Menjaga Keseimbangan Ciptaan Allah

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

15 November 2024 / 13 Jamadil Awal 1446H

Menjaga Keseimbangan Ciptaan Allah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya, dan jauhi segala larangan-Nya. Pertingkatkan setiap amalan kita. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang diberkati dan dilindungi di dunia dan di akhirat. Amin.

Saudara yang dirahmati Allah,

Pada hari ini, kita tadabbur dan renungkan lagi salah satu tanda kebesaran Allah, iaitu keseimbangan alam ciptaan-Nya. Di dalam Surah Ar-Rahman yang biasa kita baca dan dengari, Allah s.w.t. memulakannya dengan menyebut tentang penciptaan insan dan alam semesta. Tentang matahari, bulan, bintang, dan tumbuh-tumbuhan. Kemudian, Allah menyebut tentang Al-Mizan, iaitu neraca keadilan atau keseimbangan. Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi diulangi sebanyak tiga kali. Sila rujuk surah Ar-Rahman, ayat 7-9. Allah s.w.t. berfirman:

Yang bermaksud: “(Dan Allah) telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca. (Supaya) kamu jangan melampaui batas terhadap neraca itu. Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil, dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.”

Allah menciptakan langit yang luas tanpa tiang, bintang-bintang yang beredar tanpa pertembungan, dan alam ini berfungsi secara harmoni. Neraca atau keseimbangan yang Allah nyatakan ini bukan hanya sebagai satu hukum alam, tetapi juga sebagai tanda kasih sayang Allah kepada sekalian makhluknya selaku Ar-Rahman, Tuhan yang Maha Pengasih. Ia juga satu peringatan kepada kita untuk memelihara keseimbangan dalam setiap aspek kehidupan, terutama sekali dalam penjagaan alam sekitar yang diamanahkan kepada kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ayat tentang kesempurnaan dan keseimbangan ciptaan alam ini seharusnya mengajak kita untuk bertadabbur, merenung keindahan dan hikmah di sebalik ciptaan-Nya. Allah merakamkan lagi kehebatan penciptaan langit menerusi surah Al-Mulk, ayat 3:

Yang bermaksud: "(Dia-lah) yang menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Ar-Rahman sesuatu yang tidak seimbang. (Jika engkau meraguinya,) maka lihatlah sekali lagi, adakah kamu melihat sebarang kecacatan?"

Melalui keseimbangan yang Allah tetapkan ini, setiap unsur alam berperanan dan bergantung antara satu sama lain untuk memastikan kesinambungan kehidupan. Sebagai makhluk yang dikurniakan akal, kita diperintahkan untuk menjaga keseimbangan ini. Sekiranya diabaikan, maka kemusnahan yang mengakibatkan kesan buruk kepada makhluk dan dunia sedia menanti.

Saudaraku,

Sebagai Muslim, kita wajib memainkan peranan dalam memelihara keseimbangan alam ciptaan Allah. Justeru, mimbar ingin menyentuh dua aspek yang wajar diberikan perhatian:

Pertama, mengiktiraf sumber alam sebagai anugerah Allah yang perlu dihargai. Antaranya, sumber air yang bersih, tanah yang subur, dan udara yang segar. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Mukminun, ayat 18:

Yang bermaksud: “Dan Kami turunkan air dari langit menurut kadar yang tertentu; lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami berkuasa untuk menghilangkannya.”

Allah menurunkan hujan untuk membekalkan air yang mencukupi bagi makhluknya. Ia diciptakan dengan kadar yang amat sesuai untuk tujuan kehidupan – tidak terlalu sedikit, tidak terlampau banyak. Air ini perlu digunakan secara bijaksana dan tidak disia-siakan, kerana ia adalah sumber yang terhad.

Begitu juga dengan tanah yang kita gunakan untuk mendapatkan hasil bumi. Islam mengajar kita supaya tidak membazir dan menjaga kesuburan tanah dengan tidak mencemarkannya. Apatah lagi, dengan menyebabkan kerosakan di atas bumi Allah kerana kerakusan kita sendiri. Kesedaran ini adalah satu bentuk tadabbur dalam memelihara keseimbangan alam sekitar.

Kedua, keseimbangan juga melibatkan tanggungjawab kita terhadap makhluk ciptaan Allah. Allah menyebutkan di dalam Surah Al-An’am, ayat 38:

Yang bermaksud: “Dan tidaklah binatang-binatang yang melata di bumi, dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka adalah umat-umat (juga) seperti kamu.”

Hadirin sekalian, setiap makhluk Allah, sama ada binatang melata atau burung, adalah makhluk yang turut berhak ke atas kehidupan yang seimbang dan aman. Kita dituntut untuk tidak mengganggu kehidupan haiwan, tidak mencemari habitat mereka, dan tidak merosakkan ekosistem yang mereka diami.

Bahkan, kita seharusnya mengamalkan sikap berpada ketika memanfaatkan kurniaan Allah dalam hal ini. Kita hendaklah memastikan agar ekosistem ini tidak terhapus dek sifat rakus kita. Melalui penjagaan ini, kita turut mempraktikkan keadilan dalam hubungan kita dengan makhluk lain di muka bumi ini.

Saudara yang dirahmati Allah,

Keseimbangan dan keadilan dalam menjaga alam sekitar adalah satu bentuk ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Dengan merenungi ciptaan Allah dan menjaga alam ini, kita bukan sahaja menzahirkan rasa syukur, tetapi juga memelihara amanah yang telah diberikan kepada kita sebagai khalifah di muka bumi.

Semoga kita semua tergolong di kalangan mereka yang memanfaatkan alam dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab, demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang. Dan semoga penghayatan tentang ciptaan cakerawala dan makhluk Allah dengan pelbagai rupa dan bentuk, menjadikan kita lebih insaf akan amanah yang begitu berat yang sedang kita pikul bersama. Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan alam yang kita diami ini dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, di samping memberikan kita kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.