Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
3 January 2025 / 3 Rejab 1446H
Meningkatkan Kerohanian di Bulan Rejab
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama tingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Perbaharuilah niat dan kesungguhan dalam melakukan amal soleh. Jangan putus memohon hidayat Allah dan bimbingan-Nya, agar kita dapat menolak desakan nafsu yang mengundang kemurkaan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat dan keberkatan pada kita semua. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara yang dikasihi Allah,
Alhamdulillah, kita umat Islam memulakan lembaran tahun baharu dengan meraikan ketibaan bulan Rejab. Oleh itu, khutbah hari ini mengajak sekalian jemaah menghargai keutamaan bulan yang mulia ini. Pada masa yang sama, kita bermuhasabah, menilai kembali mutu iman dan kerohanian kita. Semoga dengan itu, kita dapat mengharungi hari esok sebagai hamba Allah yang lebih baik rohani dan jasmaninya.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Bulan Rejab adalah salah satu dari empat bulan yang dikhususkan dan dimuliakan oleh Allah s.w.t. sebagai bulan haram. Dalam Surah At-Taubah, ayat 36, Allah berfirman:
Yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah sejak hari Dia menciptakan langit dan bumi; di antaranya ada empat bulan haram. Demikian adalah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu pada bulan-bulan itu."
Menurut sebahagian mufassir (ulama tafsir) seperti Ibn Kathir, bulan-bulan ini – iaitu bulan Zulkaedah, Zuhijjah, Muharram, dan Rejab – dinamakan sebagai bulan haram kerana kelebihan dan kemuliaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Disebabkan itu, apa sahaja dosa atau kezaliman yang berlaku pada bulan-bulan ini dianggap lebih berat di sisi Allah. Manakala setiap kebaikan dan ketaatan yang dilakukan padanya pula, akan digandakan ganjarannya oleh Allah.
Oleh itu, wahai saudaraku, janganlah kita terus-menerus menzalimi diri sendiri dengan bergelumang dengan dosa dan noda, termasuk sebarang persengketaan antara kita. Sebaliknya, perbanyakkanlah amal soleh sebagai tanda syukur atas nikmat usia dan rezeki yang diberikan, sesuai dengan peringatan yang terkandung dalam ayat 36 Surah At-Taubah yang dibacakan tadi.
Saudaraku,
Para ulama menganggap bulan Rejab sebagai pembuka musim kebaikan dan keberkatan. Sebuah kitab berjudul Lataif Al-Maarif karangan Imam Ibn Rajab al-Hanbali ada menyebutkan:
"Tahun itu ibarat sebatang pokok. Bulan Rejab adalah masa dedaun tumbuh menghijau, bulan Syaaban adalah masa pokok subur bercabang, dan bulan Ramadan adalah masa buah dan hasilnya dipetik. Sedangkan orang yang beriman adalah pemetik hasilnya."
Ungkapan ini mengisyaratkan bahawa bulan Rejab merupakan peluang baik bagi kita memperbaharui tekad, mensucikan diri, dan bersedia meraih keberkatan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Sebagai umat Islam, bulan Rejab merupakan ‘checkpoint’ untuk kita merenung sejenak, mengingatkan diri untuk memperbaiki hubungan dengan Allah, dan menyiapkan diri untuk meningkatkan amal. Sebagai insan yang mengakui kelemahan diri, inilah masanya untuk memulakan perubahan.
Sidang Jemaah yang Dikasihi,
Untuk meningkatkan kerohanian kita di bulan ini, marilah kita mengambil langkah-langkah berikut:
Yang pertama: Meletakkan azam untuk tidak mengulangi kesilapan lampau. Sebagai manusia, setiap dari kita melakukan kesalahan. Adakalanya, iman dan tekad terasa kuat, sehingga kita berjaya mengatasi niat dan keinginan buruk. Kadangkala pula, kita alpa dan tewas kepada hasutan nafsu dan syaitan. Namun, janganlah kita berputus asa, atau membiarkan diri terperangkap dalam lingkaran kejahatan.
Bangkitlah! Tinggalkan dosa-dosa lampau dan mohonlah pengampunan Allah. Hadirkan penyesalan yang mendalam, dan perbaharui tekad untuk tidak mengulanginya. Kemudian, lakukanlah pula amal soleh yang boleh memadamkan titik hitam ini. Ingatlah pada pesanan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.
اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana pun kamu berada, dan susuli (suatu) keburukan dengan (sebuah) kebaikan (yang) menghapuskannya, dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Yang kedua: Tingkatkan amal soleh. Peningkatan di sini bukan hanya dari sudut jumlah amalan, walaupun ia wajar diperbanyakkan. Namun, yang lebih utama adalah mutu ibadah dan amalan kita. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Mulk, ayat 2:
Yang bermaksud: "(Dialah) yang menciptakan kematian dan kehidupan, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan sesungguhnya Dia-lah yang Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun."
Kata kunci pada ayat ini adalah “untuk menguji kamu siapa yang lebih baik amalannya”. Cuba kita, secara insaf dan dengan penuh rendah diri bermuhasabah: Sejauh mana keikhlasan kita dalam beramal? Adakah solat kita benar-benar khusyuk? Adakah kita bersedekah dengan hati yang tulus? Adakah kita membaca ayat Al-Quran dengan penuh penghayatan atau tadabbur? Inilah antara soalan renungan yang boleh membantu memperbaiki mutu amalan kita. Kita panjatkan harapan agar muhasabah ini mengundang keredaan dan kasih sayang Allah s.w.t. yang amat kita perlukan untuk mengharungi kehidupan ini.
Saudara sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Ambillah kesempatan pada lembaran baharu ini, berbekalkan usia yang masih dipinjamkan, kita memperbaharu tekad untuk menyemai dan menyuburkan kerohanian, agar ia membuahkan amal soleh yang berterusan di sepanjang tahun. Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik, yang berlumba-lumba melakukan amal soleh, dan dapat mendekatkan diri kepada-Nya hingga ke akhir hayat. Moga Allah memberkati kita semua di bulan Rejab dan Syaaban, serta mempertemukan kita dengan bulan Ramadan.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.