Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
20 Disember 2024 / 18 Jamadil Akhir 1446H
Mengimbangi Komitmen Kerja dan Keluarga
Saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar ketakwaan. Dengan taqwa ini, semoga kita memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara yang dirahmati Allah,
Khutbah pada hari ini akan membincangkan tentang komitmen kita terhadap kerja dan keluarga, serta bagaimana kita boleh memperoleh keseimbangan menerusi ketaatan kepada Allah, dan mengutamakan-Nya dalam kehidupan harian kita.
Sidang hadirin sekalian,
Kesibukan harian boleh membuat kita terlupa bahawa hanya Allah s.w.t. yang boleh mencukupkan keperluan kita dengan rezeki-Nya, dan membimbing langkah kita dengan petunjuk-Nya.
Mari kita lihat teguran Allah s.w.t. terhadap orang-orang yang beriman di dalam Surah Al-Munafiqun, ayat ke-9:
Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”
Saudaraku yang dikasihi,
Ayat ini tidak bermaksud kita harus melupakan tanggungjawab dalam urusan dunia dan keluarga tercinta, seolah-olah dua perkara ini digambarkan sebagai perkara yang negatif. Sebaliknya, ianya mengingatkan kita tentang objektif utama kehidupan, iaitu untuk beribadah kepada Allah s.w.t., menurut definasi ibadah yang lebih luas, melepasi batasan tikar sejadah.
Dengan menghayati matlamat hidup sebegini, dan dilengkapkan dengan sikap dan keperibadian yang baik, hidup kita akan diberkat i Allah, lalu ia akan membuka jalan kepada penyelesaian terhadap masalah yang sedang atau bakal kita hadapi.
Memang benar, bekerja untuk menyara hidup adalah perkara yang penting dalam kehidupan. Dalam konteks hari ini, bekerja bukan sahaja dilihat sebagai usaha mencari rezeki. Ia juga menjadi wadah untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan ekonomi. Namun, jika tidak diimbangi dengan neraca keimanan, kejayaan dalam pangkat dan kerjaya bakal menjadi kompas yang menentukan definisi kehidupan.
Lumrahnya, seorang insan sering terlupa kerana kesibukan hariannya, dan terkadang boleh beralih pandangan dari tujuan utama seorang hamba Allah yang hidup di bumi yang fana ini.
Begitu juga peranan kita bersama keluarga. Keluarga merupakan antara nikmat yang besar dalam kehidupan kita. Dan oleh kerana ia adalah sebuah nikmat, percayalah, tanpa panduan keimanan, nikmat boleh bertukar menjadi cabaran yang memesongkan keluhuran hati seorang yang beriman.
Zumratal Mukminin Rahimakumullah,
Tentunya kita dapat merasakan cabaran dalam mengimbangi komitmen kerja dan keluarga. Ini bukanlah satu fenomena baru. Maka janganlah kita berputus asa, kerana Allah berfirman di dalam Surah At-Talaq, ayat 2-3:
Yang bermaksud: “..dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, (nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak diduga, dan (ingatlah), sesiapa berserah diri kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
Ayat ini mengarahkan kita meletakkan pengharapan pada dan berserah kepada Allah s.w.t. setelah kita berusaha. Apabila berdepan dengan cabaran hidup, carilah penyelesaian berdasarkan nilai takwa, usaha dan tawakkal. Seterusnya, kita sandarkan segala urusan harian kepada Allah s.w.t. Nescaya, seluruh usaha dan waktu kita akan dinilai sebagai ibadah di sisi-Nya, dan memperoleh pahala dan keberkatan.
Saudaraku yang dirahmati Allah,
Usaha untuk mencari keseimbangan ini merupakan satu perjuangan yang berterusan. Namun, dengan ikhtiar untuk mengurus masa dengan baik, serta meletakkan Allah s.w.t. sebagai keutamaan dalam kehidupan kita, usia dan masa kita akan diberkati, dan segala kesulitan akan dipermudahkan oleh-Nya.
Izinkan khatib berkongsi beberapa cadangan untuk membantu kita mengimbangi komitmen antara kerja dan keluarga, sebagai usaha mentaati Allah s.w.t.:
Yang pertama: Jangan pernah lupa untuk terus berdoa dan bertawakkal kepada Allah s.w.t. Yakinlah pada janji Allah bagi golongan Mukmin yang bertawakkal pada-Nya seperti di dalam Surah At-Talaq yang dibacakan tadi: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya.”
Berdoalah dan mintalah bimbingan Allah, agar masa yang kita luangkan sewaktu bekerja dan bersama keluarga sentiasa diberkati.
Kedua: Dalam usaha kita mencari keseimbangan waktu, janganlah kita lupa untuk menjaga diri kita. Pastikan kita terselamat dari keletihan yang ketara (burnout). Peruntukkan sedikit masa untuk berehat agar dapat mengisi semula tenaga dan memproses emosi yang sedang kita lalui. Objektif rehat adalah untuk membantu kita kembali dengan tenaga dan fokus yang baru lagi segar.
Ketiga: Cari atau bina sistem sokongan (support system) yang boleh membantu kita, terutama apabila melalui masa sukar. Keluarga terdekat dan rakan-rakan yang dipercayai adalah sistem sokongan penting dalam kehidupan kita. Kewujudan dan kata-kata mereka boleh mengurangkan rasa tekanan, membantu kita mengurus masa dengan lebih baik, serta memberikan motivasi dan sokongan emosi.
Moga Allah s.w.t. memudahkan segala urusan kita, melaraskan kerja, mengeratkan ahli keluarga, dan memberkati kehidupan dan usia kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ
الرَّحِيْم.
KHUTBAH KEDUA
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.