collections khutbah Mengimbangi Keteguhan Prinsip dan Perasaan Belas
Mengimbangi Keteguhan Prinsip dan Perasaan Belas

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

20 Jun 2025 / 23 Zulhijjah 1446H

Mengimbangi Keteguhan Prinsip dan Perasaan Belas 

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, 

Bertekadlah untuk menjadi hamba-hamba Allah s.w.t. yang bertakwa. Tunaikan segala perintah-Nya, dan hindari segala tegahan-Nya. Moga Allah s.w.t. mengurniakan kita keteguhan hati dan ketetapan iman, serta sikap prihatin yang didampingi sifat belas, supaya kita bersama dapat melestarikan ajaran Islam dengan sebaiknya sepanjang zaman. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.  

 

Hadirin yang dimuliakan, 

Fikirkan soalan yang berikut: Bolehkah kita berpegang teguh pada prinsipagama, dan pada masa yang sama, kita menaruh perasaan belas terhadap sesiapa yang belum berjaya mengamalkannya? 

Dengarkan firman Allah di dalam Surah At-Taubah, ayat 128: 

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri (Nabi Muhammad s.a.w.); berat terasa olehnya sebarang kesusahan yang kamu hadapi, sangat menginginkan (kebaikan) bagi kamu, (dan) amat belas kasihan serta penyayang kepada orang-orang yang beriman.” 

Bayangkan saudaraku, Rasulullah s.a.w. adalah insan yang meletakkan batu asas prinsip Islam. Namun pada masa yang sama, sifat kasih dan belas Baginda s.a.w. termaktub dalam ayat yang baru dibacakan tadi. Kesimpulannya, kedua-dua sifat ini – keteguhan menjunjung prinsip Islam dan perasaan belas  sesama insan – tidak seharusnya dilihat bercanggah antara satu sama lain. Malah, kedua-duanya boleh wujud bersama, dan dapat kita lihat pada peribadi seorang insan mulia, iaitu Rasulullah s.a.w. 

 

Saudaraku, 

Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan cabaran. Penderitaan manusia akibat peperangan membentuk cabaran fizikal dan mental, manakala budaya yang mementingkan kemajuan material membawa cabaran kerohanian. Ia boleh membuat manusia semakin jauh dan hilang minat terhadap kehidupan beragama dan ketuhanan. Sementara gaya hidup bebas yang melampaui ruang lingkup panduan Ilahi mencabar nilai-nilai murni kehidupan seorang Muslim. Ia berpotensi menjadikan kita semakin jauh dari prinsip agama dan pegangan nilaihidup yang baik. Ini merupakan cabaran ideologi.  

Sebagai seorang yang beriman, kita dituntut untuk berpegang teguh kepada prinsip dan nilai Islam yang suci. Dalam masa yang sama, kita juga diperintahkan untuk bersifat belas dan empati, terutama terhadap mereka yang bergelut dengan kecelaruan dan kebingungan dalam pengamalan beragamanya. 

Situasi ini memerlukan kita berpegang teguh pada nilai-nilai Islam yang sebenar, serta mendidik diri sendiri dan membimbing keluarga dan sahabat dengan penuh hikmah dan perasaan belas.  

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Bantulah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, kami faham bagaimana membantu orang yang dizalimi, tetapi bagaimana kami boleh membantu orang yang zalim?" Baginda s.a.w. menjelaskan, "Kamu cegah dia daripada melakukan kezaliman." (Riwayat Al-Bukhari) 

Inilah keseimbangan yang diajarkan Islam – kita membantu mereka yang melakukan kesalahan dengan mencegahnya daripada terus terjerumus. Pada masa yang sama, kita tidak bersikap kasar atau cepat menghukum tanpa belas dan empati

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, 

Persoalan seterusnya, bagaimana kita boleh mengamalkan sikap seimbang ini dalam kehidupan seharian? Ayuh, kita menelusuri beberapa contoh dakwah Rasulullah s.a.w.: 

Pertama: Didiklah dengan cara yang baik, dan usah cepat menghukum.

Pernah, seorang lelaki meminta izin daripada Nabi s.a.w. untuk berzina. Daripada terus memarahi atau menghina lelaki tersebut, Baginda s.a.w. membimbingnya dengan penuh hikmah dan bertanya, "Adakah kamu suka jika perbuatan ini dilakukan terhadap ahli keluargamu sendiri?" Lelaki itu menjawab, "Tidak." Nabi s.a.w. bersabda, "Begitu juga orang lain tidak menyukainya jika dilakukan terhadap ahli keluarga mereka". Kemudian, Baginda s.a.w. mendoakan kebaikan buat lelaki itu. (Riwayat Ahmad) 

Contoh ini menunjukkan bahawa didikan agama perlu disampaikan dengan bijaksana, sesuai dengan tahap kefahaman individu, dan dengan niat yang ikhlas untuk membimbing, bukan untuk menghukum. 

Kedua: Janganlah menghina atau merendahkan.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah menegur seorang sahabat yang mencela seorang peminum arak setelah dihukum. Perhatikan sabda Baginda s.a.w.: "Janganlah kamu menjadi pembantu syaitan terhadap saudaramu." (Riwayat Al-Bukhari) 

Saudaraku, sesungguhnya hadith ini wajar menjadi cerminan sikap kita terhadap mereka yang melakukan dosa dan kesilapan. Walaupun kita tidak boleh bersetuju dengan perbuatan mereka, namun janganlah sampai kita melakukan sesuatu yang juga salah di sisi syarak, seperti menghina, mencela atau menjatuhkan maruah diri mereka. Sikap yang tidak wajar ini sebenarnya didorong oleh bisikan syaitan. Ia hanya akan menjauhkan mereka dari keindahan Islam. Sebaliknya, kita perlu terus menasihati dan membimbing agar hati mereka terbuka untuk kembali ke jalan yang benar. 

 

Sidang Jemaah yang dikasihi, 

Dua hadith yang dikongsikan tadi adalah contoh pendekatan Rasulullah s.a.w. dalam mendidik dan membimbing umatnya, khususnya terhadap mereka yang berkeinginan atau telah pun melakukan sesuatu yang melanggar hukum dan prinsip agama. Tentu sekali, banyak lagi riwayat daripada sunnah dan sirah Baginda s.a.w. yang boleh kita ambil teladan.  

Secara keseluruhan, ketegasan Baginda s.a.w. tidak melenyapkan perasaanbelas dalam dirinya. Sebaliknya juga, sikap prihatin dan kasih sayang Baginda tidak menghalangnya daripada mencegah keburukan, serta mendidik dan menegakkan nilai dan prinsip agama yang benar. 

Nabi Muhammad s.a.w. sangat prihatin terhadap umatnya — baginda merasa berat dengan kesusahan kita, sentiasa ingin kebaikan dan keselamatan untuk kita, serta penuh kasih sayang dan rahmat terhadap orang beriman. Inilah akhlak Rasul s.a.w. yang perlu kita contohi dalam kehidupan sebagai tanda cinta kita kepada Baginda s.a.w. 

Semoga Allah s.w.t. memberikan kita kekuatan untuk berpegang teguh pada tali agama, dan mengurniakan kita hati yang penuh belas terhadap sesama insan. Ya Allah, kurniakanlah cahaya pada hati kami, pada lisan kami, pada penglihatan kami, dan pada pendengaran kami.  Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

Khutbah Kedua 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita menadah tangan ke hadrat Illahi. Dengan hati yang penuh telus. Dengan penuh pengharapan. Agar Allah menerima doa ini. Rintihan daripada seorang hamba yang serba kekurangan. Kepada Tuhan yang Maha Perkasa, yang Maha Mendengar. Doa kita khususnya untuk saudara kita yang terus dihimpit penderitaan dan sengsara di Gaza. Di saat bantuan daripada umat manusia terputus, ayuhlah kita sebagai ‘ibadullah, menghadap Tuhan semesta alam, Tuhan yang lebih berkuasa daripada setiap penguasa, yang lebih perkasa daripada setiap tentera, untuk terus melimpahkan bantuannya kepada mereka.  

Ya Allah, Tuhan yang Maha mendengar suara hati hamba-Nya, kurniakanlah kami pengampunan, sesungguhnya kami adalah hamba-hamba-Mu yang sering alpa dan melakukan kesilapan. Ampunilah dosa-dosa kami yang terdahulu dan terkemudian, yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan, yang kecil dan sedikit mahupun yang seluas lautan. Dan janganlah Kau jadikan dosa tersebut menjadi penyebab terhijabnya setiap permintaan. 

Wahai Tuhan yang memperkenan permohonan hamba-Nya, pada hari dan saat yang penuh keberkatan ini, kami tunduk dengan insaf dan tawaduk, mengemis secebis rahmat-Mu Ya Rahman, bantulah saudara-saudara kami yang tertindas di setiap tempat, khususnya di Gaza dan Palestin. 

Ya Allah Ya Mannan, Kau ringankanlah bebanan mereka, lindungilah mereka dari ancaman kekerasan dan bahaya, sembuhkanlah yang sakit dan terluka, dan kurniakanlah rezekiMu bagi yang lapar dan dahaga.  

Ya Latiff Ya Hannan, dakapilah mereka dengan rahmat-Mu, tempatkan mereka dalam kasih sayang-Mu, teguhkan semangat mereka dengan keyakinan pada bantuan-Mu.  

Ya Allah Ya Dzal ‘Izzi was-Sultan, gantikan ketakutan mereka dengan keamanan, kesempitan dengan kelapangan, keresahan dengan ketenangan, dan kesedihan dengan kegembiraan.