collections khutbah Menghidupkan Kembali Nilai Murni
Menghidupkan Kembali Nilai Murni

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

14 Apr 2023 / 23 Ramadan 1444H


Menghidupkan Kembali Nilai Murni

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dapat kita menjadi orang-orang beriman yang berjaya di dunia dan juga akhirat. Amin.

Saudara saudari,

Agama kita menitikberatkan kebaikan. Sama ada kebaikan ini berasal dari panduan agama, juga dari adat dan budaya yang kita warisi. Selagi mana ia baik dan tidak bercanggah dengan syariat serta pegangan Islam, maka ia dianggap baik dan diterima agama. 

Perhatikan hadis Nabi (s.a.w) riwayat Imam Al-Baihaqi. Berkaitan sebuah perjanjian perdamaian yang disaksikan Nabi (s.a.w) sebelum Islam. Rasulullah (s.a.w) bersabda: 

وَلَوْ أُدْعَى بِهِ فِي الإِسْلامِ لأَجَبْتُ

Yang bermaksud: “…. Kalaulah aku diajak untuk mengadakan perjanjian semasa Islam, nescaya akan aku menyahutinya”.

Latar belakang di sebalik hadis ini, berkaitan dengan suatu peristiwa yang dinamakan Perjanjian Al-Fudul.

Perjanjian tersebut diberi pengiktirafan akan kebaikannya oleh Baginda (s.a.w) kerana ia menjaga hak-hak mereka yang dizalimi. Walaupun perjanjian tersebut berlaku pada zaman sebelum Islam, namun, Nabi (s.a.w) sangat menyukai perjanjian tersebut. Ini adalah kerana perjanjian tersebut terikat dengan nilai-nilai murni yang tidak bercanggah dengan tuntutan agama kita. 

Saudaraku,

Daripada kisah ini kita boleh merumuskan bahawa agama ini tidak pernah menolak segala jenis adat dan budaya. Islam mengajar kita untuk selidik dahulu, dan cuba untuk memahami adat serta budaya yang ada. Kerana seandainya ia tidak bercanggah dengan syarak dan terdapat padanya kebaikan, maka wajar bagi kita untuk menghormatinya. Allah (s.w.t) 
berfirman di dalam surah Al-A’raf ayat ke 199:

Yang bermaksud: “Terimalah apa yang mudah untuk engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil.”

Ayat ini mengandungi beberapa panduan serta prinsip yang penting, berhadapan dengan mana-mana isu ataupun perkara. Antaranya ia mengajar kita untuk memilih pilihan yang memudahkan dan tidak membebankan. Selagimana ia tidak bertembung dengan agama. Ia juga mendorong kita untuk melakukan kebaikan secara berterusan. Kerana segala yang kita lakukan, seharusnya merupakan kebaikan ataupun mendorong kepada kebaikan. 

Saudara saudari, 

Izinkan saya untuk membawa satu contoh daripada adat dan budaya kita, yang membawa kebaikan. Kita sering mengamalkannya, akan tetapi mungkin terlepas pandang akan kepentingannya. Setiap kali menjelang Aidilfitri, sudah menjadi kebiasaan kita untuk melafazkan kata-kata memohon kemaafan. Kita akan pergi berkunjung ke rumah anak saudara. Yang tua dihormati dengan menziarahi rumah mereka terdahulu. Dan yang muda disayangi dengan diberikan hadiah tanda kegembiraan. Daripada adat dan kebiasaan ini, kita boleh menilai bahawa ia sebenarnya selari dengan ajaran agama. 

Dari itu ia tidak dilarang agama. Bahkan agama mendorong kita untuk menghidupkan adat dan budaya tersebut.

Begitulah tujuan dan matlamat agama yang kita cintai – agama yang membawa kebaikan bagi kita di dunia dan di akhirat. Agama yang mengelakkan dari kemudaratan dan kesukaran. Agama yang mendidik jiwa yang dipenuhi rahmah dan keihsanan, yang sentiasa suka kepada kebaikan.

Hasil dari pemahaman agama yang baik dan pengamalan agama yang bertanggungjawab, kita dapat menyumbang ke arah keselamatan dan kesejahteraan umat manusia.

Semoga kita menjadi dikalangan mereka yang menghidupkan nilai-nilai murni ajaran agama Islam. Dan semoga Allah (s.w.t) reda akan kebaikan yang kita kejarkan dan meletakkan kita bersama-sama mereka yang soleh di dalam syurga-Nya kelak. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.