Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
21 Mac 2025 / 20 Ramadan 1446H
Zumratal Mukminin Rahimakumullah,
Marilah kita menjadikan takwa sebagai panduan yang membimbing kita untuk mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Marilah kita memanjatkan doa dengan penuh keikhlasan, memohon agar Allah s.w.t. mengurniakan kita rahmat-Nya supaya dapat meraih keberkatan malam Lailatul-Qadr. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Khutbah minggu lalu telah menggariskan tiga cara untuk menghidupkan hati dan jiwa kita dengan al-Quran. Hari ini, kita akan menelusuri dua lagi kaedah: dengan merenungi ajaran alQuran serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Sad, ayat 29:
Yang bermaksud: "Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) dengan penuh keberkatan, agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal sempurna dapat mengambil pelajaran daripadanya."
Allah menyeru kita merenungi ayat-ayat al-Quran yang mengandungi peringatan dan pengajaran yang abadi. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Sekaligus, ia menjadi cahaya yang menerangi perjalanan hidup kita. Penghayatan yang mendalam bukan sahaja memperkaya kefahaman kita, malah ia menjadi cerminan dalam menilai amal perbuatan serta tahap perjalanan kerohanian kita.
Zumratal Mukminin rahimakumullah,
Kita bakal memasuki sepuluh malam terakhir Ramadan, dan kini berada di ambang Lailatul-Qadr, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Marilah kita memperbaharui tekad untuk memanfaatkan setiap detik yang tersisa dengan merenungkan al-Quran dan menjadikannya panduan dalam kehidupan kita.
Izinkan saya berkongsi empat perkara penting dalam hal ini:
Pertama: Mengingati Allah s.w.t.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 152:
Yang bermaksud: "Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (terhadap-Ku)."
Kita diajak untuk menilai sejauh mana kita mengingati Allah s.w.t. dalam kehidupan seharian, kerana zikrullah menyucikan hati dan mengukuhkan hubungan kita dengan-Nya. Jika kita mendapati kekurangan dalam zikir kita, maka perbanyakkanlah mengingati Allah melalui nama-nama-Nya yang sempurna lagi indah, yakni Asmaul Husna.
Kedua: Bersyukur kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Mulk, ayat 23:
Yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Dialah yang menciptakan kamu serta mengurniakan kepada kamu pendengaran, penglihatan dan hati; namun hanya sedikit daripada kamu bersyukur kepada-Nya."
Kita dianjurkan untuk bermuhasabah terhadap rasa syukur kita atas segala nikmat yang dikurniakan Allah. Dengan nikmat pendengaran dan penglihatan, kita dapat berada di sini mendengar dan menyaksikan khutbah ini. Renungilah, berapa kerapkah kita mengucapkan ‘Alhamdulillah’ atau berzikir sebagai tanda syukur atas nikmat iman, bimbingan Allah, alQuran, Ramadan, doa-doa yang dimakbulkan? Dan banyak lagi.
Ketiga: Mentaati Allah s.w.t.
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 132:
Yang bermaksud: "Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat."
Ayat ini menghubungkan rahmat Ilahi dengan pilihan harian kita – dari menahan diri daripada mengumpat, bersabar ketika menghadapi kesesakan lalu lintas, hinggalah menunaikan solat tepat pada waktunya meskipun keletihan. Setiap ketaatan kita kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w., walau sekecil mana pun, adalah anak tangga menuju rahmat-Nya yang tidak terhingga.
Keempat: Beribadah kepada Allah s.w.t.
Ibadah bukan sekadar amalan ritual semata-mata. Ibadah adalah hakikat kewujudan kita yang mengalir dalam setiap nafas dan degupan jantung. Apabila kita selaraskan fikiran, kata-kata dan perbuatan dengan panduan Ilahi, maka setiap detik menjadi ibadah, sekaligus menghidupkan ajaran al-Quran dalam kehidupan kita.
Zumratal Muslimin,
Pada penghujung khutbah ini, saya menyeru diri saya sendiri dan setiap jiwa yang hadir di masjid ini, agar merebut peluang berharga untuk memperdalam hubungan kita dengan al-Quran, serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian. Marilah kita membersihkan niat dalam ibadah dan menadah tangan, memohon kekuatan serta kesejahteraan daripada Allah s.w.t., agar kita dapat meraih malam Lailatul-Qadr, dan menyempurnakan baki Ramadan ini dengan kerohanian dan semangat yang baharu.
Yā Allah Yā Salām, kurniakanlah ketenangan di dalam hati kami setiap kali kami mengingati-Mu dan menyebut nama-Mu. Yā
Syakūr, tanamkanlah dalam diri kami rasa syukur yang mendalam atas segala nikmat-Mu, dan sucikanlah kami daripada sifat bongkak dan takbur. Yā Dzal-Jalāli wal-Ikrām, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau, maka suburkanlah rasa cinta dalam ibadah kami kepada-Mu.
أقُ وْلُ قَ وْلِ هَذَا وَأسْتَ غفَرُ اللهَ العَظَيْمَ لِ وَلكُمْ، فاسْتَ غفَرُوهُ إنههُ هُوَ الغفُوْرُ الهرحَيْم.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami bersyukur di atas anugerah peluang bertemu bulan rahmat dan pengampunan ini. Izinkanlah kami mengemis secebis rahmat dan maghfirah-Mu Ya Rahman, ampunilah dosa dan kesilapan kami Ya Ghafur. Lanjutkan hembusan nafas kami, agar dapat menyempurnakan tuntutan Ramadan, dan dapat menjadikannya sesempurna Ramadan, yang penuh dengan amal kebajikan, peribadatan, keikhlasan, pengampunan, penyucian rohani, dan pembebasan dari belenggu nafsu dan hasutan syaitan. Supaya kami menjadi hamba-Mu yang layak menghuni syurga-Mu yang dijanjikan bagi golongan yang beriman.
Di bulan yang penuh berkat ini, kami memohon belas-Mu Ya Latif, agar Engkau bukakan pintu-pintu kesejahteraan dan keamanan bagi penduduk Palestin saat ini, dan bagi semua umat Nabi Muhammad s.a.w. yang sedang dicengkam kegusaran, ketakutan dan kezaliman.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan juga di akhirat, dan peliharalah kami dan mereka yang kami sayangi daripada azab neraka-Mu.