collections khutbah Menghidupkan Hati dan Jiwa Dengan Al-Quran (Bahagian 1)
Menghidupkan Hati dan Jiwa Dengan Al-Quran (Bahagian 1)

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat 

14 Mac 2025 / 13 Ramadan 1446H

Menghidupkan Hati dan Jiwa Dengan Al-Quran (Bahagian 1)

الحمْدُ هَلِلّ الهذَي  وَهَبَ   لَ نا  شَهْ رَ رََمضَانَ، وَفَ تحَ لَنا فيهَ أَبْ وَابَ الهرحْْةَ وَالغفْرانَ، وَأَنْ زَلَ فيهَ آيات هَ  يَ هْدَي بََِا الَإنسَ وَالجا هن، وَأَشْهَدُ أنْ لََ إَلٰهَ إهلَ ا هلِلُّ وَحْدَهُ لََ شَريكَ لَهُ، وََأشْهَدُ أ هن سَي دَنََ مُُهمدًا عَبْدُهُ وَرسُولهُ. اللههُهم صَ لَ وَسَل مْ عَلى سَي دَنََ مُُهمدٍ وَعَلى آلهَ وَمَنْ تبعَهُمْ  بََحْسَانٍ. أهما بَ عْدُ، فَ يا عَبادَ الهرحْْٰنَ، اته قُوا ا هلِلَّ وَاذكُرُوْهُ فِ كُ لَ آنٍ. قالَ ا هلِلُّ عَهز وَجَ هل: ﴿شَهْرُ رمَضَانَ الهذَي أنزلَ فيهَ القُرْآنُ هُدًى للنهاسَ وَبَ يَ ناتٍ  مَنَ الْْدَىٰ وَالفُرْقا نَ

 

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Marilah kita memupuk ketakwaan dalam diri dan sentiasa sedar akan kehadiran Allah s.w.t. Jadikan takwa sebagai petunjuk yang membimbing kita untuk mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Marilah kita menjadikan AlQuran sebagai pendamping yang paling akrab, sambil berdoa dan memohon agar Allah s.w.t. menjadikan Al-Quran penyegar hati kita, penghilang kesedihan, dan penghapus keresahan.

Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita sering mendengar bahawa Ramadan merupakan Shahrul Quran – Bulan Al-Quran. Pernahkah kita merenung mengapa bulan suci ini diberikan gelaran yang begitu mulia?

Sesungguhnya, Ramadan digelar sebagai Bulan Al-Quran kerana dalam bulan yang penuh keberkatan ini, Allah s.w.t. menurunkan kata-kata sucinya dari Al-Lawh Al-Mahfuz ke AsSama’ud-Dunya; yakni langit dunia.

Selain itu, dalam bulan ini juga, insan terbaik yang pernah diciptakan, iaitu Nabi Muhammad s.a.w., menerima wahyu pertama melalui perantaraan malaikat Jibril, sekaligus mengubah sejarah kehidupan manusia selama-lamanya.

Subhanallah, bagaimana mungkin kita membiarkan bulan yang mulia ini berlalu tanpa memperkukuhkan hubungan kita dengan Al-Quran, serta merebut peluang untuk menyuburkan hati dan jiwa kita dengannya?

Sidang Jemaah yang dikasihi Allah,

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat 1:

 

Yang bermaksud: "Alif Lam Ra. (Ini adalah) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya, dengan izin Tuhan mereka, ke jalan (Allah) Yang Maha Perkasa, lagi Maha Terpuji."

Ingatlah, wahai saudara-saudaraku, bahawa Al-Quranul Karim adalah kunci dalam menyucikan hati dan jiwa kita. Oleh itu, marilah kita membuka pintu-pintu kebangkitan rohani dengan menghidupkan Al-Quran. Izinkan saya berkongsi beberapa langkah yang boleh kita ambil untuk menghidupkan Al-Quran dalam kehidupan kita.

Pertama: Membaca Al-Quran

Langkah pertama dalam menghidupkan Al-Quran adalah dengan membacanya. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah AlMuzzammil, ayat 20:

 

Yang bermaksud: "Maka bacalah apa yang mudah bagi kamu daripada Al-Quran."

Kita hendaklah berusaha membaca Al-Quran sebanyak mungkin, walaupun hanya dengan surah-surah pendek seperti Surah An-Nas atau Al-Falaq. Kedua-dua surah ini merupakan sebahagian daripada zikir harian yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Meskipun ia kelihatan ringkas, namun ia mempunyai kedudukan yang sangat istimewa di sisi Allah ‘Azza wa Jalla.

Bagi mereka yang menghadapi kesukaran dalam membaca Al-Quran, janganlah berasa kecewa atau putus asa. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Orang yang mahir membaca Al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia lagi taat, dan orang yang membaca AlQuran dengan tidak lancar serta mengalami kesukaran (namun tetap berusaha), maka dia akan memperoleh dua ganjaran." (Riwayat Muslim)

Ini bermakna, walaupun bacaan Al-Quran kita belum lancar, usaha kita tetap dihargai dan diberikan ganjaran besar oleh Allah s.w.t.

Kedua: Menghafal Al-Quran

Bagi mereka yang dikurniakan daya ingatan yang baik, berusahalah untuk menghafal sebanyak mungkin ayat-ayat AlQuran. Ini adalah salah satu cara untuk memelihara kalamullah serta meningkatkan kerohanian seseorang.

Namun, bagi mereka yang mendapati hafalan sebagai sesuatu yang mencabar, janganlah merasa terbeban. Kita boleh bermula dengan surah-surah pendek, supaya dapat cuba membacanya dalam solat harian kita.

Bagi mereka yang mempunyai anak, marilah menggalakan mereka menghafal Al-Quran, tanpa mengira usia. Dengan berbuat demikian, kita memupuk budaya pemeliharaan dan ketaatan pada agama dalam keluarga kita.

Ketiga: Mempelajari dan Berkongsi Ajaran Al-Quran

Setiap Mukmin mempunyai peranan dalam menyebarkan hikmah Al-Quran. Namun, kita hendaklah hanya membincangkan dan mengulas perkara yang kita fahami, yang diperolehi dari sumber yang sahih. Usaha ini boleh dimulakan dengan pendekatan yang mudah seperti berkongsi kisah para nabi, ayat-ayat yang boleh dijadikan doa harian, atau zikir yang mudah diamalkan.

Apa yang paling penting adalah istiqamah atau keberterusan dalam usaha ini. Perkongsian dalam bentuk kecil tetapi berterusan akan lebih berkesan dan mudah diterima oleh orang lain.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Setelah memahami keutamaan membaca, menghafal, mempelajari, dan berkongsi ajaran Al-Quran, marilah kita memastikan hubungan kita dengan kitab suci ini sentiasa berterusan dan berpanjangan. Kita juga harus sentiasa berdoa kepada Allah agar kita dikurniakan istiqamah dalam usaha ini.

Ya Allah Ya Hādī, bimbinglah kami supaya mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan seharian kami. Ya Mannān, anugerahkanlah kami kemuliaan untuk menjadi pendukung Al-Quran. Ya Mujīb, perkenankanlah doa kami dan berilah kami kekuatan untuk istiqamah berinteraksi dengan Al-Quran, menjadikannya pendamping yang paling berharga. Ya Karīm, jadikanlah kami dalam kalangan mereka yang memberikan penghormatan, kemuliaan, dan penghargaan yang selayaknya kepada kitab suci-Mu. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

أقُ وْلُ قَ وْلِ هَذَا وَأسْتَ غفَرُ اللهَ العَظَيْمَ لِ وَلكُمْ، فاسْتَ غفَرُوهُ إنههُ هُوَ الغفُوْرُ الهرحَيْم.

 

KHUTBAH KEDUA

الحمْدُ للَه حَْدًا كَثيرا كَمَا أَمَرَ، وَأشْهَدُ أن لََ إلهَ إهلَ اللهُ وَحْدَهُ لََ شَريكَ لهُ، وَأشْهَدُ أ هن سَي دَنََ مَُُهمدًا عَبْدُهُ وَرسُولهُ. اللههُهم صَ لَ وَسَلَ مْ عَلى سَي دَنََ مَُُهمدٍ وَعَلى آلهَ وَأصْحَابهَ أجْْعَينَ. أهما بَ عْدُ، فَ يا عَبادَ الله، اته قُوا اللهَ تَ عَالََ فَيمَا أمَرَ، وَانتَ هُوا عَهما نََاكُم عَنْهُ وَزجَرَ.

ألََ صَلوا وَسَلَ مُوا عَلى النه بَ المُصْطفَى، فَ قَدْ أمَرَنََ اللهُ بذَلكَ حَيْثُ قال فِ كتابهَ العَزيزَ: إ هن اللهَ وَمَلََئكَتهُ يصَلونَ عَلى النه بَ يَ ا أيُّ هَا الهذَينَ ءَامَنوا صَلوا عَليهَ وَسَلَ مُوا تسْلَيمًا. اللههُهم صَ لَ وَسَلَ مْ وَبََركْ عَلى سَي دَنََ مُُهمدٍ وَعَلى آلَ سَي دَنََ مُُهمدٍ. 

وَارْضَ اللههُهم عَنَ الخلفَاءَ الهراشَدَينَ المهْدَي ينَ سَادَاتنا أبِ بكْرٍ وَعمَرَ وَعثمَانَ وَعَلَ يَ، وَعَن بقَيهةَ ال هصحَابةَ وَالقَرابةَ وَالتهابعَينَ، وَتََبعَي التهابعَينَ، وَعَنها مَعَهُم وَفَيهَم برَحْْتكَ يَا أر حَمَ الهراحََْينَ. 

اللههُهم اغْفَرْ للمُؤْمَنينَ وَالمؤْمَناتَ، وَالمسْلَمَينَ وَالمسْلَمَاتَ، الأحْياءَ مَنهُم وَالأمْوَاتَ. 

 

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami bersyukur di atas anugerah peluang bertemu bulan rahmat dan pengampunan ini. Izinkanlah kami mengemis secebis rahmat dan maghfirah-Mu Ya Rahman, ampunilah dosa dan kesilapan kami Ya Ghafur. Lanjutkan hembusan nafas kami, agar dapat menyempurnakan tuntutan Ramadan, dan dapat menjadikannya sesempurna Ramadan, yang penuh dengan amal kebajikan, peribadatan, keikhlasan, pengampunan, penyucian rohani, dan pembebasan dari belenggu nafsu dan hasutan syaitan. Supaya kami menjadi hamba-Mu yang layak menghuni syurga-Mu yang dijanjikan bagi golongan yang beriman. 

Di bulan yang penuh berkat ini, kami memohon belas-Mu Ya Latif, agar Engkau bukakan pintu-pintu kesejahteraan dan keamanan bagi penduduk Palestin saat ini, dan bagi semua umat Nabi Muhammad s.a.w. yang sedang dicengkam kegusaran, ketakutan dan kezaliman. 

Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan juga di akhirat, dan peliharalah kami dan mereka yang kami sayangi daripada azab neraka-Mu.

 

عَبادَ اللَه، إ هن اللهَ يََمُرُ بََلعَدْلَ وَالَإحْسَانَ وَإيتاءَ ذَي القُرْبََ، وَيَ نْ هَى عَنَ الفَحْشَاءَ وَالمنكَرَ وَالبَ غيَ، يعَظكُمْ لعَلهكُمْ تذهكرُونَ، فاذكُرُوا اللهَ العَظَيمَ يذكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلى نعَمَهَ يزدكُمْ، وَاسْألوهُ مَن فضْلَهَ يُ عْطَكُم، وَلذكْرُ اللَه أكْبََُ، وَاللهُ يَ عْلمُ مَا تصْنَ عونَ.