collections khutbah Menghayati Objektif Di Sebalik Syariat Islam
Menghayati Objektif Di Sebalik Syariat Islam

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

19 Januari 2024 / 7 Rejab 1445H

Menghayati Objektif Di Sebalik Syariat Islam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah (s.w.t.) dengan sebenar-benar ketakwaan. Patuhi segala perintah-Nya, dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kefahaman agama yang baik buat kita semua dan menerima segala amalan kita di bulan Rejab yang mulia ini. Amin.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Pada beberapa minggu lalu, kita sama-sama telah diingatkan berkaitan kepentingan ilmu. Ilmu yang memperkenalkan kita kepada agama Islam. Ilmu yang membantu kita melihat keindahan ajaran dan syariat Islam. Di sebalik suatu pensyariatan dan hukum-hakam Islam, terdapat objektif yang diberi perhatian dalam agama. Ketahuilah, syariat Islam bertujuan memelihara maslahat manusia. Firman Allah (s.w.t.):

 

Yang bermaksud: “Allah tidak mahu kamu menanggung sesuatu kesusahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, agar kamu bersyukur.” (Surah Al-Maidah, ayat 6).

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa syariat Islam menitikberatkan kemaslahatan manusia secara umum. Hatta, jika kita merenung dan memahami ayat-ayat yang berbentuk hukum-hakam dalam al-Qur’an dan hadis Nabi (s.a.w.), pasti kita dapat melihat kemaslahatan di sebalik ayat atau hadis tersebut. Mari kita merenung objektif di sebalik ayat pengharaman arak dan judi. Allah (s.w.t.) berfirman:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu menerusi arak dan perjudian, dan dia mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”. (Surah Al-Maidah, ayat 91).

Lihatlah, bagaimana syariat Islam menerusi pengharaman arak dan judi bertujuan menjaga kemaslahatan mental dan sosial. Yakinlah, sesungguhnya hukum syarak tidak terbatas pada pemeliharaan keperluan rohani. Bahkan, ia juga menekankan kepentingan aspek lain dalam kehidupan seperti menjaga hubungan baik sesama makhluk.

Para jemaah sekalian,

Begitulah keindahan syariat Islam, ia dibentuk bagi memelihara kepentingan manusia. Imam Al-Juwayni, salah seorang ulama mazhab Syafi’i, di dalam kitabnya Al-Burhan, telah menukil kata-kata Imam Syafi’i berkaitan keutamaan maslahat umum dalam penentuan hukum. Imam Syafi’i menjelaskan bahawa sekiranya sesuatu hukum itu tidak didapati dalam Al-Qur’an dan sunnah Rasul (s.a.w.), maka hendaklah melihat kepada kemaslahatan umum masyarakat dalam syariat sebelum dalil-dalil lain. 

Malahan, ketika ramai para sahabat yang menghafaz al-Qur’an gugur syahid dalam medan peperangan, sayyidina Umar al-Khattab (r.a.) menyarankan kepada khalifah Abu Bakar as-Siddiq (r.a.) agar dikumpulkan ayat-ayat al-Qur’an menjadi satu naskhah yang lengkap bagi memastikannya kekal terpelihara dan tidak hilang kerana kematian para penghafaznya.

Pada awalnya, sayyidina Abu Bakar (r.a.) merasa keberatan menerima saranan tersebut kerana ia merupakan suatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda (s.a.w.). Beliau akhirnya bersetuju untuk membukukan al-Qur’an kerana dorongan untuk memelihara kemaslahatan jangka panjang bagi umat Islam.

Saudara dan Saudari,

Sejarah pembukuan al-Quran yang baru dikongsikan sebentar tadi mengetengahkan beberapa pengajaran yang boleh kita hayati bersama:

Pertama: Kepentingan memahami objektif di sebalik sesuatu hukum. Setiap hukum yang ditetapkan itu bertujuan bagi memelihara kemaslahatan dan kebajikan manusia. Ini termasuk melindungi kita daripada sebarang bentuk kemudaratan atau keburukan yang boleh menjejaskan kehidupan. 

Kedua: Menghargai pandangan para ulama dalam menghuraikan sesuatu permasalahan hukum agama. Setiap suatu pandangan hukum yang diputuskan dan dikeluarkan oleh mereka adalah berdasarkan kepada sandaran agama yang jelas. Matlamat akhirnya adalah, bagi memastikan kemaslahatan manusia akan terus kekal terpelihara serta melindungi manusia daripada sebarang kemudaratan atau kesukaran dalam kehidupan.

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan hikmah dan kebijaksanaan bagi kita semua dalam memahami agama ini. Mudah-mudahan kita peroleh kejayaan di dunia ini dan di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.