collections khutbah Menghayati Maksud Ibadah Yang Lebih Menyeluruh: Sumbangan dan bakti 
Menghayati Maksud Ibadah Yang Lebih Menyeluruh: Sumbangan dan bakti 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

11 Ogos 2023 / 24 Muharram 1445H


Menghayati Maksud Ibadah Yang Lebih Menyeluruh: Sumbangan dan bakti 

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Allah (s.w.t) berfirman:

Yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku."  [Az-Dzariat:56]

Saudaraku,

Ibadah merupakan tanggungjawab seorang Muslim dalam rangka mendekatkan dirinya kepada Allah (s.w.t). Ia merupakan tujuan utama penciptaan kita.

Namun, sebahagian individu, sering membataskan maksud ibadah sebagai amalan ritual semata-mata. Maka yang disangkakan, bahawa ibadah itu hanyalah berbentuk ibadah kita di atas sejadah, berzikir dan sebagainya. 

Sedangkan, hakikat ibadah yang sebenarnya jauh lebih luas dan menyeluruh maknanya. Ia meliputi sikap serta tingkah laku kita dalam berinteraksi dengan makhluk ciptaan yang Maha Esa. Melalui niat yang ikhlas, suatu amalan kebiasaan, boleh merubah menjadi ibadah. Sebagai contoh, kita semua yang sedang duduk di rumah Allah ini. Apabila dikaitkan amalan “duduk” ini dengan niat iktikaf, ia berubah menjadi suatu ibadah yang bakal menjana pahala.

Saudaraku,

Satu lagi aspek berkaitan ibadah yang ingin saya ketengahkan adalah berkaitan dengan sumbangan dan bakti. Tanpa kita sedari, segala sumbangan dan bakti kita untuk kebaikan masyarakat awam, ia sebenarnya merupakan ibadah.

Perhatikan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban, ia merupakan nasihat Nabi (s.a.w) kepada seorang sahabat bernama Fudaik, yang meminta pendapat Nabi (s.a.w) berkaitan berhijrah. Adakah beliau sepatutnya meninggalkan kampungnya, lalu turut bersama dengan Nabi (s.a.w) di kota Madinah? Rasulullah (s.a.w) bersabda:

يَا فُدَيْكُ أَقِمِ الصَّلاَةَ وَاهْجُرِ السُّوءَ وَاسْكُنْ مِنْ أَرْضِ قَوْمِكَ حَيْثُ شِئْتَ

Maksudnya, "Wahai Fudaik, dirikanlah solat, tinggalkanlah perbuatan maksiat, dan tinggal di tanah kaummu di mana pun kamu suka." 

Terdapat beberapa pelajaran yang ingin saya kongsikan daripada hadis tersebut.

Yang pertama, Nabi (s.a.w) mengajar kita, bahawa di mana sahaja kita berada, selagi mana terdapat peluang untuk menyumbang, di situ seharusnya kita menaburkan bakti. 

Panduan agama ini adalah jelas. Umat Islam, adalah warga negara yang sentiasa menyumbang kepada kesejahteraan ramai. Menjaga perpaduan. Menghormati perbezaan. Dan berusaha membawa kesan kebaikan di dalam masyarakat kita.

Kerana segala jenis kebaikan itu dipandang tinggi oleh Tuhan. Setiap amalan itu bernilai. Bayangkan, sehinggakan dalam sebuah hadis dikhabarkan tentang pahala senyuman yang anda ukirkan di bibir, amalan itu juga mendapat pahala.

Yang kedua, seorang Muslim yang hidup dalam masyarakat majmuk seharusnya berpegang teguh dengan prinsip serta ajaran agama. Kita dapat lihat bagaimana Baginda (s.a.w) mengajar kita untuk terus menegakkan solat di mana sahaja kita berada. 

Kita perlu sentiasa berusaha untuk menjaga kesucian hati, melalui introspeksi diri dan menghindari perbuatan maksiat yang keji. Dengan meninggalkan maksiat, kita akan mendekatkan diri kepada Allah dan mencapai kehidupan yang lebih bermakna.

Saudaraku,

Sebagai rumusan, marilah sama-sama kita merenung kembali hakikat ibadah yang tidak terbatas hanya pada amalan ritual semata-mata. Akan tetapi ia mencakupi segenap aspek kehidupan kita. Interaksi kita terhadap sedara-mara. Jiran tetangga serta semua individu yang berada di sekeliling kita. Tidak kira yang berkedudukan ataupun tidak.

Ketahuilah bahawa cara interaksi kita terhadap saudara kita mencerminkan ketakwaan kita terhadap Allah (s.w.t). Kerana di antara ciri-ciri utama seorang Mukmin adalah mereka yang berakhlak mulia.

Semoga dengan menjalani ibadah secara menyeluruh, kita mendapatkan keberkatan dalam kehidupan dunia ini dan kesejahteraan di akhirat nanti. Semoga kita terus bersemangat dan kekal positif pada setiap masa serta tenteram hidup bersama keluarga dan juga masyarakat yang kita cintai. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.