Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
23 Jun 2023 / 4 Zulhijjah 1444H
Menghayati Isi Kandungan Al-Quran
Muslimin Dan Muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t) mengurniakan kepada kita kekuatan untuk menambahkan amalan-amalan soleh pada hari-hari yang mulia pada bulan Zulhijjah ini. Amin Ya Rabbal Alamin.
Para Jemaah yang saya muliakan,
Allah (s.w.t) berfirman di dalam surah Al-Fajr ayat 1-2 berkaitan kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah:
Yang bermaksud: “Demi [waktu] fajr dan demi sepuluh malam”.
Sebahagian ulama tafsir menafsirkan “sepuluh malam” pada ayat tersebut sebagai sepuluh hari pertama pada bulan Zulhijjah. Nabi (s.a.w) juga pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang paling agung dan amat dicintai Allah untuk berbuat kebajikan di dalamnya daripada sepuluh hari (Zulhijjah) ini. Maka perbanyakkanlah pada saat itu tahlil (La ilaha illAllah), takbir (Allahu akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”. [Hadis Riwayat Imam Ahmad].
Maka, 10 hari yang pertama yang sekarang ini kita berada padanya, merupakan hari-hari yang begitu mulia di sisi Tuhan. Maka perbanyakkanlah padanya amalan soleh. Lebih khusus lagi dengan mendorong ahli keluarga untuk beramal bersama kita.
Saudaraku,
Apakah amalan soleh yang digalakkan untuk kita lakukan sebanyak mungkin pada 10 hari pertama Zulhijjah?
Amalan soleh seperti melaksanakan sedekah, berzikir, memperbanyakkan solat sunnah. Termasuk juga berpuasa pada hari Arafah, yang mana padanya terdapat ganjaran yang begitu besar sekali. Nabi (s.a.w) bersabda: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala dari Allah, menghapuskan dosa-dosa setahun sebelum dan sesudahnya” [Hadis riwayat Imam Muslim].
Begitu istimewanya puasa pada hari Arafah, sehingga dosa sepanjang dua tahun akan dihapuskan Allah hanya dengan puasa sehari. Maka usahakanlah agar kita dan keluarga dapat bersama meraih kelebihan ini.
Tambahan dari ini, antara amalan soleh yang boleh kita laksanakan adalah dengan memperbanyakkan membaca al-Quran. Kerana setiap ayat, bahkan setiap huruf yang kita baca daripada al-Quran dikurniakan pahala di sebaliknya. Maka tiada kalimah yang lebih afdal, berbandingkan membaca serta menghayati isi kandungan al-Quran.
Pada hari ini, pada bulan yang mulia ini, saya rasa adalah sesuai untuk kita tanamkan tekad untuk kita memperkukuhkan semula hubungan kita dengan kitab suci al-Quran. Bagaimanakah hubungan kita dengan kitab Al-Quran? Adakah kita sering membaca, menghayati isi kandungannya serta berusaha untuk menuruti perintahnya? Ataupun tiada hubungan langsung antara diri kita dengan Al-Quran?
Adakah kita ini tergolong daripada golongan yang mengendahkan petunjuk Al-Quran, serta berusaha untuk mencontohinya? Ataupun kitab suci tersebut, dibiarkan tersisih, jauh daripada kehidupan kita seharian?
Perhatikan firman Allah (s.w.t.) di dalam surah Sod, ayat 29:
Yang bermaksud: “Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu yang banyak keberkatan, untuk mereka memahami dengan meneliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna, beringat serta mengambil iktibar.”
Saudaraku,
Daripada ayat ini, kita dapat memahami bahawa tujuan utama ayat al-Quran diturunkan supaya kita menghayati serta mengambil pelajaran darinya. Meskipun setiap kalimat yang dibaca merupakan sebuah ibadah, namun, menghayati ayat-ayat suci al-Quran juga merupakan tuntutan agama. Ia adalah supaya kita dapat memahami panduan Illahi bagi insan.
Oleh itu saudaraku, marilah sama-sama kita bertekad untuk mempelajari al-Quran serta berusaha untuk memahami isi kandungannya dengan sebaik-baiknya. Terdapat banyak kelas-kelas agama yang disediakan di masjid-masjid, serta pusat pendidikan Islam swasta, untuk kita mempelajarinya, seperti kelas tafsir, tadabbur al-Quran dan lain-lain lagi.
Semoga Allah (s.w.t) menggolongkan kita antara mereka yang berjaya mendapat syafaat al-Quran di akhirat kelak. Dan semoga kita tergolongan daripada golongan yang memuliakan al-Quran serta menunaikan segala panduan serta tuntutannya. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
Khutbah Kedua
الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
Saudaraku,
Pada minggu hadapan, kita semua bakal menunaikan solat sunat hari raya Aidil Adha. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para Jemaah semua untuk membuat persediaan awal bagi menunaikan solat sunat hari raya.
Sebagai contoh pilihlah masjid-masjid yang tidak begitu ramai jemaahnya. Ataupun anda boleh pilih untuk menunaikan solat hari raya pada sesi kedua atau sesi berikutnya.
Semoga Allah (s.w.t) reda akan kebaikan yang kita kejarkan dan meletakkan kita bersama-sama mereka yang soleh di dalam syurga-Nya kelak. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.