collections khutbah Mengharungi Arus Kehidupan Yang Serba Berpengaruh
Mengharungi Arus Kehidupan Yang Serba Berpengaruh

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

2 Jun 2023 / 13 Zulkaedah 1444H


Mengharungi Arus Kehidupan Yang Serba Berpengaruh

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Dengan memenuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ilmu pengetahuan agama, kita dapat mencapai ketakwaan yang sebenarnya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin. 

Saudaraku,

Setiap individu yang berada di bawah tanggungan kita merupakan amanah Allah yang perlu dipelihara. Sama ada ibu ayah kita yang berada di tanggungan, mahupun anak-anak kita yang masih berada di dalam jagaan.


Memelihara amanah yang diberikan, bermakna kita seharusnya peka dengan hak-hak mereka, serta kewajipan agama yang perlu dipelihara. Oleh itu, khutbah pada bulan ini akan menyentuh ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi padanya pengajaran serta panduan bagi ahli keluarga. Sebagai pedoman sepanjang hayat. Allah (s.w.t) berfirman:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya terdiri daripadamanusia dan batu; neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam menuruti segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula melakukan segala yang diperintahkan.”

Saudaraku,

Ayat yang dibacakan sebentar tadi menekankan kepentingan untuk memelihara ahli keluarga sentiasa. Perkara ini adalah penting untuk kita sentiasa ambil kira. Lebih-lebih lagi di zaman ini, dengan kesibukan tugas seharian kita. Ibu bapa perlu keluar bekerja di siang hari demi menyediakan kelengkapan dan keperluan keluarga. Anak-anak pula yang banyak meluangkan masa di luar rumah. Pasti mereka akan terdedah dengan anasir-anasir yang tidak elok seandainya tidak bijak memilih teman-teman yang mengajak kepada kebaikan.

Maka pendidikan anak serta pembentukannya, sebenarnya bermula di rumah. Setentunya dengan membekalkan mereka dengan ilmu pengetahuan agama yang mencukupi. Sejajar dengan tuntutan agama sepertimana yang diriwayatkan, Baginda (s.a.w) bersabda:

طَلَبُ العِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Yang bermaksud: “Menuntut Ilmu itu adalah satu kewajipan atas setiap orang Muslim.” [Hadis riwayat Ibn Majah]

Tidak dinafikan bahawa ilmu yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah ilmu agama. Ilmu agama ini perlu disemai di dalam hati dan sanubari anak-anak demi menjaga pendirian mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak elok. 

Imam Al-Ghazali berkata dalam Ihya’ Ulumiddin menegaskan bahawa kewajipan setiap individu untuk menuntut Ilmu agama, berbeza mengikut keadaan dan situasi individu tersebut.

Contohnya, seorang yang hampir ke umur dewasa ataupun baligh, maka menuntut ilmu berkaitan dengan kewajipan solat menjadi satu kewajipan baginya. Peranan ibu bapa pada situasi ini adalah dengan melengkapkan anak-anak mereka dengan ilmu pengetahuan berkaitan dengan kewajipan solat. Begitu juga bagi mereka yang telahpun dewasa dan masuk ke alam pekerjaan dan berhadapan dengan pelbagai arus dan pemahaman. Setentunya ilmu agama yang wajib untuk mereka pelajari mengikuti perbezaan keperluan seseorang individu.

Saudaraku,

Maka, tanggungjawab seorang ayah dan ibu adalah untuk  berusaha untuk memahami cabaran yang dihadapi anak, pada waktu yang sama berusaha untuk memberi kefahaman, ataupun membekalkan dengan kefahaman agama yang diperlukan. Ini bermakna ibu bapa hari ini bukan sahaja perlu memiliki pengetahuan untuk menyediakan bimbingan dan panduan hala tuju pemikiran dan pengalaman hidup sesuai dengan persekitaran kehidupan dan zaman mereka; akan tetapi kita seharusnya peka akan perkembangan serta cabaran yang dihadapi anak-anak. Peranan ibu bapa tidak hanya cukup untuk memastikan anak-anaknya diasuh dengan ibadah dan pendidikan agama seperti bersolat dan berpuasa sahaja. 

Saudaraku,

Contoh teladan kita dalam membentuk keluarga, adalah kehidupan Nabi (s.a.w). Bagaimana dengan pelbagai peranan yang dimainkan Nabi (s.a.w), iaitu Baginda adalah seorang Nabi, imam, pemimpin, pada waktu yang sama Baginda juga seorang suami, ayah dan atuk. Maka masa-masa Baginda dibahagi-bahagikan antara keperluan keluarga serta masyarakat. 

Oleh itu, luangkanlah masa untuk mendekati ahli keluarga kita, lebih khusus lagi untuk memahami anak-anak kita serta cabaran yang mereka hadapi. Berikan kepada mereka pendidikan ilmu agama yang mencukupi. Ketahuilah bahawa pendidikan anak merupakan tanggungjawab ibu bapa yang bakal dipersoalkan di akhirat kelak. 

Ibu bapa harus menjadi pengaruh yang baik buat anak-anak mereka. Berikan mereka contoh yang baik sebagai iktibar buat mereka. Kerana anak-anak yang dilengkapkan dengan ilmu agama yang kukuh dan ditambah dengan hubungan yang baik bersama ibu bapa. Insya-Allah akan menjadi anak yang bijak mengharungi kehidupan dengan baik. Bak kata pepatah, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.

Semoga Allah (s.w.t) memberi kita semangat serta kekuatan untuk mendidik anak-anak kita dan memelihara mereka daripada api neraka. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.