collections khutbah Menghargai Masa Sebagai Nikmat Allah
Menghargai Masa Sebagai Nikmat Allah

 


Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

6 December 2024 / 4 Jamadil Akhir 1446H

Menghargai Masa Sebagai Nikmat Allah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhilah larangan-Nya. Syukurilah setiap nikmat yang diberikan kepada kita, termasuk nikmat masa dan usia. Mudah-mudahan, dengan sifat syukur ini, hidup kita lebih terpandu, dan kita dikurniakan kejayaan di dunia dan akhirat. Amin.

Sidang Jemaah sekalian,

Hari ini, mimbar ingin mengajak sekalian jemaah melihat kelapangan masa sebagai satu nikmat yang wajib disyukuri. Masa adalah nikmat yang sangat besar daripada Allah s.w.t. Ia adalah anugerah yang tidak ternilai, namun sering kali kita alpa dalam menghargainya. Islam memberikan perhatian yang begitu besar terhadap masa. Banyak ibadah utama kita terkait rapat dengan masa. Contohnya, solat lima waktu yang ditetapkan pada masa yang tertentu, puasa sebagai kewajipan hanya di bulan Ramadan, pembayaran zakat yang disempurnakan setelah genap setahun (haul), dan ibadah haji yang hanya boleh dilaksanakan pada masa tertentu pada bulan Zulhijjah.

Bukan hanya itu, Allah s.w.t. menamakan salah satu surah dalam Al-Quran dengan masa, iaitu Surah Al-Asr. Dalam surah ini, Allah s.w.t. berfirman:

Yang bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Surah ini mengingatkan kita bahawa secara asal (by default), manusia berada dalam kerugian. Namun, Allah memberikan pengecualian kepada mereka yang memenuhi empat syarat, iaitu: beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Maka, keimanan yang sejati bukan sekadar kepercayaan dalam hati, tetapi harus diterjemahkan dalam bentuk pengisian masa dengan amal ketaatan dan perkataan yang baik sesama manusia.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Setiap nikmat yang diberikan kepada kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, termasuk nikmat masa. Allah s.w.t. berfirman  dalam Surah At-Takathur, ayat kelapan:

Yang bermaksud: “Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang segala nikmat (yang telah kamu perolehi).”

Maka, sebagai Muslim, kita wajib menghargai nikmat masa dan mengaturnya dengan penuh tanggungjawab. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis yang biasa kita dengar:

“Manfaatkan lima perkara sebelum (datang) lima perkara: (masa) mudamu sebelum (masa) tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, (masa) kayamu sebelum (masa) sempitmu, masa lapangmu sebelum (masa) sibukmu, dan hidupmu sebelum kematianmu.” (Riwayat al-Hakim)

Rasulullah s.a.w. memberikan panduan yang jelas tentang pentingnya menggunakan masa sebaik mungkin, terutama semasa kita masih muda, sihat, dan berada dalam keadaan lapang. Masa yang berlalu tidak akan kembali, dan mereka yang gagal menghargainya akan menyesal di kemudian hari.

Bagi yang bergelar ayah dan ibu, musim cuti sekolah seperti sekarang ini, adalah waktu yang sangat baik untuk kita bermuhasabah, di samping membimbing dan mendidik anak-anak kita tentang kepentingan mengatur masa. Ia adalah peluang untuk menunjukkan teladan yang baik kepada mereka.

Sebagai contoh, apabila sedang bercuti, kita tidak mempunyai alasan untuk melengahkan solat. Sebaliknya, kita boleh melatih diri dan keluarga untuk menjaga solat pada awal waktu. Ini adalah salah satu cara asas untuk mensyukuri dan mengatur nikmat masa dengan sebaiknya. Pada masa yang sama, usaha sebegini menjadi latihan menjauhi pembaziran waktu.

Ada kata-kata hikmah yang masyhur dan dinisbahkan kepada Imam Asy-Syafie rahimahullah, yang bermaksud:

Masa itu bagaikan pedang. Jika engkau tidak memotongnya atau menggunakannya (yakni menggunakan masamu dengan baik), maka ia akan memotongmu. Jika dirimu tidak disibukkan dengan kebaikan, pasti akan disibukkan dengan perkara sia-sia.”

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Di waktu musim cuti ini, ada beberapa cara untuk kita menghargai nikmat masa dengan bijak:

Yang pertama: Gunakan masa lapang untuk berehat serta memperbaiki diri.

Masa rehat merupakan hak badan atas diri kita sepertimana anjuran Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang pekerja mahupun pelajar, inilah masanya untuk kita berehat seketika, mengembalikan kecergasan, supaya kita kembali bertenaga dalam pekerjaan dan pembelajaran nanti. Selain itu, masa lapang juga boleh diisi dengan aktiviti untuk memperbaiki diri, seperti membaca Al-Qur'an, menghadiri majlis ilmu, dan sebagainya.

Yang kedua: Luangkan masa bersama keluarga.

Masa lapang adalah peluang baik untuk mempererat hubungan kekeluargaan. Sepanjang tahun ini, sekiranya kita sibuk  dengan urusan kerja mahupun sekolah, gunakanlah masa cuti ini untuk memberi tumpuan kepada keluarga. Lakukan aktiviti bersama, seperti makan bersama, adakan perbualan yang mesra, atau luangkan masa mendengar cerita anak-anak. Hubungan yang sihat akan membentuk keluarga yang harmoni, sekaligus membentuk syakhsiah Muslim yang sihat. Ini juga merupakan salah satu sunnah Nabi Muhammad s.a.w. yang patut kita contohi.

Sidang Jemaah sekalian,

Masa yang digunakan dengan bijak akan menjadi saksi kebaikan bagi kita di akhirat kelak. Sebaliknya, masa yang disia-siakan hanya akan menjadi penyesalan. Maka, marilah kita sama-sama berusaha menghargai masa dan memanfaatkannya untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Moga Allah s.w.t. menjadikan kita semua hamba-hamba-Nya yang menghargai nikmat masa, yang memanfaatkannya dengan kebaikan.  Semoga Allah s.w.t. menjauhkan kita daripada perbuatan yang sia-sia, serta mengampunkan kita sekiranya pernah tersilap dalam mengurus nikmat masa.  Semoga kita semua diberikan kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.